Sorotan 2020 – Umat Islam masih menjadi mangsa pengkhianatan para penguasa dan percaturan kuasa kuffar dunia

Meskipun terdapat beberapa peristiwa politik yang besar tercetus pada tahun ini, namun hakikatnya senario politik di negara ini dan dunia amnya tidak banyak berubah. Umat Islam secara umumnya masih lagi tertindas dan dicengkam oleh tata dunia yang dicorakkan oleh kuasa-kuasa kuffar dalam belenggu sistem demokrasi sekular kapitalisme.

Ketika 2020 baru sahaja membuka tirainya, buat ke sekian kalinya negara adidaya dunia, Amerika Syarikat (AS) di bawah pentadbiran Trump telah berbuat sesuka hatinya dengan membunuh seorang jeneral Iran, Qasem Soleimani melalui serangan drone. Tindakan tersebut mengundang kegusaran akan tercetusnya peperangan berskala penuh, namun ternyata reaksi Iran tidak seperti yang dijangka.

Pada awal Disember lalu, dunia sekali lagi digemparkan dengan pembunuhan seorang saintis yang memainkan peranan penting dalam projek nuklear Iran, Mohsen Fakhrizadeh. Pastinya perkembangan ini menimbulkan persoalan khasnya dalam kalangan para penganalisis politik.

Pembunuhan ini terjadi ketika Trump sedang berusaha untuk menjayakan ‘Deal of the Century’ di Timur Tengah. Sejak awal, polisi Trump di Timur Tengah jelas memihak kepada sekutunya, entiti haram ‘Israel’ tatkala ia mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara ‘Israel’ dan memindahkan kedutaannya ke bandar tersebut pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Trump juga berusaha untuk mengurangkan keberadaan tenteranya daripada campur tangan secara langsung dalam konflik di rantau itu, sejajar dengan polisi pentadbirannya yang lebih mengutamakan isu-isu domestik.

Namun, ini tidak bererti AS mulai melepaskan peranannya sebagai ‘polis dunia’. Sebaliknya ia lebih kepada peralihan strategi dasar luar. Hakikat ini dapat dilihat melalui langkah Trump yang menaja proses normalisasi hubungan antara negara-negara umat Islam dengan ‘Israel’. Setakat ini, lima orang penguasa umat Islam telah memeterai perjanjian normalisasi dengan entiti haram Yahudi itu. Amat jelas kini yang para penguasa ini sudah tidak lagi malu untuk mengakui pengkhianatan mereka terhadap umat Islam, dengan menandatangani perjanjian pengkhianatan tersebut secara terang-terangan.

Dalam pada itu, 2020 juga menandakan genap sedekad sejak tercetusnya ‘Arab Spring’ yang melanda beberapa buah negara Arab. Namun, ternyata perubahan yang diharapkan tidak terjadi kerana kebangkitan tersebut berjaya dibengkokkan dan ‘dirampas’ oleh Barat. Akhirnya, rejim-rejim pengkhianat umat Islam di beberapa buah negara masih tetap bertahan dan umat Islam masih lagi tertindas. Peperangan di Syria juga masih berlarutan, bahkan turut menjadi medan percaturan geopolitik kuasa-kuasa besar dan kuasa serantau melalui perang proksi. Di samping itu, Yaman turut menjadi medan perang proksi yang menyebabkan penduduk di negara itu berdepan dengan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.

Sementara itu, umat Islam di Eropah, terutamanya di Perancis turut berhadapan dengan tekanan ekoran sentimen Islamofobia yang dimainkan oleh parti-parti berhaluan kanan. Di Perancis, permusuhan terhadap Islam cuba ditutup dengan bersembunyi di sebalik alasan memerangi Islam Politik, sedangkan kebencian kuffar terhadap Islam begitu jelas, sepertimana yang dapat disaksikan dalam insiden penghinaan demi penghinaan terhadap junjungan mulia Rasulullah (saw) yang berulang kali dilakukan atas nama kebebasan bersuara. Hakikatnya apa yang dilakukan pemerintah Perancis ialah cuba untuk membendung kebangkitan umat Islam di negara tersebut ke arah Islam yang sebenar.

Selain itu, kita juga dapat menyaksikan bagaimana sebuah lagi kuasa besar kuffar yang sedang berkembang, China, turut melakukan penindasan ke atas umat Islam di negaranya, khususnya di wilayah Xinjiang. Jutaan Muslim Uighur ditahan di ‘kem-kem pendidikan semula’, dinafikan hak untuk mengamalkan Islam, bahkan dilaporkan sehingga ke tahap dipaksa untuk memakan babi setiap hari Jumaat!

China juga menjadi semakin berani untuk meluaskan pengaruhnya di Laut China Selatan. Malangnya, negara-negara kaum Muslimin di rantau ini cuba mengimbangi pengaruh China melalui pendekatan bermuka-muka demi kepentingan ekonomi, di samping meletakkan pengharapan kepada regionalisme ASEAN yang rapuh dan sentiasa gagal.

Apa yang lebih menyedihkan ialah, terdapatnya sebilangan umat Islam di negara ini yang diracuni sentimen ashabiyyah (nasionalisme) sehingga melihat isu-isu yang melanda umat Islam di negara lain sebagai isu-isu luar yang tiada kaitan dengan mereka. Sedangkan umat Islam adalah umat yang satu. Malangnya disebabkan batas sempadan negara bangsa yang diwariskan oleh penjajah kuffar, terputus ikatan akidah Islam sehingga ada yang memperlekeh dan mengeji saudara mereka sendiri! Hal ini amat jelas kelihatan dalam isu pelarian Rohingya.

Apakah dengan ketibaan tahun baru 2021 ini kita akan terus menyaksikan keterbelakangan dan kehinaan menimpa umat Islam? Kaum Muslimin wajib bersatu menggembleng usaha ke arah penyatuan yang hakiki di bawah satu negara (Khilafah) dan berhenti daripada terus bergantung harap pada badan-badan dunia mahupun kuasa-kuasa besar yang mengawal tata dunia.

Di Amerika, kemenangan Biden dan keengganan Trump untuk mengakui kekalahannya berkemungkinan untuk mencetuskan perpecahan dalam negara tersebut. Perkembangan ini juga berpotensi untuk menjadikan pengaruh negara Uncle Sam itu di persada geopolitik dunia akan semakin lemah. Seandainya ini berlaku, maka pastinya ia memberikan sinar harapan buat umat Islam untuk membebaskan diri daripada terus dibelenggu kuasa kuffar itu.

Namun semua ini tidak akan terjadi seandainya tiada keazaman politik dan usaha sungguh-sungguh daripada kaum Muslimin untuk bersatu di bawah satu kepimpinan dalam bingkai Khilafah Rasyidah – sebuah kuasa besar yang mampu menamatkan hegemoni kuasa-kuasa kuffar ke atas umat Islam. Tanpa usaha sebegini, pasti akan ada kuasa kuffar lain yang akan mengambil tempat AS yang akhirnya akan merugikan umat Islam juga. Semoga hal ini tidak terjadi, dan Khilafah akan tegak lebih awal bagi menyelamatkan dan mempersatukan umat ini Insya Allah.

Wallahu a’lam.