Sorotan 2020 – Cabaran akidah dan ibadah umat Islam

Tahun 2020 banyak mencatat peristiwa-peristiwa terkait akidah dan ibadah umat Islam, apatah lagi apabila dunia dilanda pandemik COVID-19. Dalam mengekang penularan penyakit tersebut, pemerintah telah mengenakan pelbagai langkah dan Standard Operating Procedure (SOP) yang telah memberi kesan kepada aktiviti-aktiviti yang melibatkan ibadah umat Islam.

Pada awalnya, masjid-masjid telah ditutup dan solat berjemaah serta solat Jumaat tidak dibenarkan, suatu hal yang tidak pernah ada dalam Islam, dan tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam. Setelah beberapa bulan kemudiannya barulah pemerintah membenarkan solat Jumaat dan solat berjemaah, itu pun secara berperingkat dan dengan peraturan-peraturan yang ketat. Warga asing tidak dibenarkan solat Jumaat dan juga berjemaah di masjid, suatu lagi hal yang tidak pernah wujud dalam Islam. Apa yang lebih malang ialah, pemerintah telah menguatkuasakan penjarakan saf sebagai sebahagian daripada SOP yang wajib dipatuhi umat Islam, dan ia masih berlangsung hingga sekarang. Sesungguhnya pemerintah telah menanggung dosa besar dengan melakukan semua ini, dan lebih buruk telah melakukan bidaah apabila menguatkuasakan SOP penjarakan saf.

Dari sudut akidah pula, kita menyaksikan bagaimana segelintir umat Islam termasuk selebriti dan pemimpin masyarakat yang mengambil mudah berhubung isu perayaan Krismas atas alasan toleransi dalam masyarakat majmuk. Bukan sekadar ucapan perayaan, bahkan terdapat segelintir umat Islam yang turut sama meraikannya atas alasan toleransi dan mengenakan pakaian Santa Clause, suatu perbuatan yang jelas haram kerana ia terkait dengan madaniah khas orang-orang kafir dan termasuk dalam hadharah kufur.

Dalam pada itu, umat Islam di Malaysia juga digemparkan dengan video tular seorang perempuan Melayu yang berkahwin dengan lelaki Sikh dan menjalani majlis perkahwinan mengikut ritual Sikh di India. Meskipun dilaporkan bahawa pihak perempuan tersebut telah memohon maaf dan menyatakan kejahilannya dalam hal ini, namun hal ini masih belum selesai kerana beliau masih belum kembali ke Malaysia untuk diambil tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa agama. Apa pun, kejadian seumpama seharusnya menjadi iktibar dan wajib diambil tindakan segera kerana ia melibatkan soal akidah.

Di peringkat global pula, kita disajikan dengan berita-berita penindasan terhadap Muslim Uighur, termasuklah jutaan yang ditahan di kem-kem ‘pendidikan semula’ di wilayah Xinjiang, China. Mereka bukan sekadar dilarang daripada mengamalkan ajaran Islam seperti ibadah-ibadah, bahkan masjid-masjid telah ditutup dan ada yang dirobohkan. Lebih memilukan apabila terdapat laporan bahawa Muslim Uighur dipaksa untuk memakan babi pada setiap hari Jumaat.

Demikianlah sedikit coretan peristiwa-peristiwa terkait cabaran-cabaran akidah dan ibadah yang dihadapi oleh umat Islam. Apa yang menyedihkan, cabaran-cabaran ini bukan hanya di negara minoriti umat Islam, bahkan turut berlaku di negara-negara kaum Muslimin sendiri seperti di Malaysia. Sesungguhnya, tidak mustahil peristiwa-peristiwa sebegini akan terus berulang selagi Islam tidak diterapkan secara kaffah dalam segenap aspek kehidupan di bawah naungan negara Khilafah.

Wallahu a’lam.