Fatwa: JAIS tegar sesatkan HTM tanpa tabayyun – bertaubatlah!

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terus berdegil mempertahankan fatwa berbaur fitnah yang dikeluarkan terhadap Hizbut Tahrir meskipun telah berulang kali didesak untuk menariknya. Terkini, JAIS melalui Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid telah memasukkan nama Hizbut Tahrir sebagai salah satu daripada ‘ajaran-ajaran yang difatwakan sesat’ dalam doa di penghujung teks khutbah Jumaat pada minggu ini. Teks khutbah berjudul “Bijak Mengurus Kewangan Peribadi” tersebut dikeluarkan untuk dibacakan di masjid-masjid sekitar Selangor. Dalam doa penghujung khutbah tersebut, ajaran Qadyani turut disebut sebagai ‘ajaran yang terkeluar daripada Islam’ sebelum nama Hizbut Tahrir disebut dalam ayat yang sama.

Rentetan daripada khutbah tersebut, beberapa orang anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pihak pengurusan masjid termasuk imam dan khatib di beberapa buah masjid sejurus selepas selesai solat Jumaat. Pertemuan ini dibuat bagi menjelaskan pendirian dan bantahan yang dibuat terhadap fatwa berbaur fitnah tersebut. Terdapat khatib yang bersetuju setelah mendengar penjelasan daripada anggota HTM dan memberikan komitmen untuk tidak membacanya dalam khutbah akan datang sekiranya teks doa yang sama masih dikeluarkan.

Namun, terdapat juga khatib yang menyatakan bahawa mereka hanya membaca khutbah seperti yang diarahkan oleh pihak JAIS. Dengan kata lain, mereka sekadar mengikut arahan semata-mata. Dalam hal ini, kita perlu sedar bahawa kita tidak boleh berlepas diri daripada pertanggungjawaban dengan memberikan alasan “hanya mengikut arahan pihak atasan”. Di akhirat kelak, kita selaku insan yang mukallaf akan dipertanggungjawabkan atas setiap perbuatan kita, termasuklah setiap tutur kata yang diungkapkan. Mungkin sahaja khatib tersebut belum pernah mengetahui tentang bantahan atas fakta yang menyeleweng dalam fatwa tersebut, dan mungkin juga mereka tidak mengetahui usaha HTM menuntut pihak JAIS dan Jawatankuasa Fatwa Selangor untuk bermuzakarah sekali gus menarik semula fitnah dan fakta yang diselewengkan.

Namun, setelah dimaklumkan oleh anggota HTM, para khatib tidak sewajarnya terus-menerus mengikut secara membuta-tuli tanpa memastikan kesahihan teks yang disediakan. Bahkan sewajarnya teks yang semestinya sudah diterima lebih awal ini disemak terlebih dahulu kerana mungkin sahaja terdapat kesilapan di dalamnya, termasuklah doa perlindungan daripada ‘ajaran’ Hizbut Tahrir yang disandarkan kepada fatwa berbaur fitnah tersebut.

Sudah tentu para khatib dan pihak pengurusan masjid yang ikhlas dan menjunjung kebenaran tidak akan membiarkan diri mereka terus dipergunakan oleh pihak berkepentingan bagi menyebarkan fitnah demi menyekat dakwah yang dibawa oleh gerakan Islam seperti Hizbut Tahrir.

Dalam pada itu, buat kesekian kalinya, kami ulangi seruan yang telah dibuat oleh HTM agar pihak JAIS dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta negeri-negeri lain yang turut mengeluarkan fatwa berbaur fitnah ini agar menarik balik serta memohon maaf secara terbuka atas tuduhan yang dilemparkan ini. Institusi agama di negara ini tidak sewajarnya dipergunakan oleh pihak tertentu melalui pewartaan fatwa yang mengandungi fitnah serta bermotifkan politik ini. HTM bersedia untuk bermuzakarah bagi membuktikan kepincangan dan kepalsuan yang terdapat dalam fatwa tersebut. Bahkan penjelasan tersebut sememangnya tersedia untuk tatapan umum di laman web rasmi HTM atau naskah bercetak yang dikeluarkan.

Ketahuilah bahawa ‘fatwa’ mahupun apa sahaja bentuk sekatan yang dikeluarkan tidak sedikitpun akan menyebabkan HTM gentar dan mundur daripada meneruskan tugas mulia selaku hamilud dakwah. Atas dasar kasih dan sayang sesama saudara, kami ulangi sekali lagi seruan oleh Hizbut Tahrir Malaysia kepada kalian supaya berhenti daripada terus menyebarkan fitnah melalui fatwa yang penuh dengan kepalsuan serta penyelewengan fakta ini. Sesungguhnya, musuh kita yang sebenar adalah pihak yang menentang Islam, serta mereka yang membenci golongan yang memperjuangkan penerapan Islam secara kaffah meliputi segenap aspek kehidupan.

Editor