Fitnah ke atas Hizbut Tahrir: Institusi Agama, Media perlu tabayyun dan berlaku adil

Buat kesekian kalinya, pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor meneruskan lagi penyebaran fatwa berbaur fitnah terhadap Hizbut Tahrir (HT). Baru-baru ini, ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Haji Mat Jais bin Kamos telah bersiaran ke udara dalam segmen Bicara Fatwa pada 16 Ogos lalu di saluran radio Selangor FM. Segmen tersebut membawa tajuk “Fatwa Kedudukan Hizbut Tahrir” dan disiarkan secara langsung pada petang Jumaat lalu.

Dalam segmen tersebut, Mat Jais telah mengulang siar isi kandungan fatwa yang diwartakan di Selangor ke atas HT meskipun hampir keseluruhan isinya merupakan fitnah dan penyelewengan fakta yang bertujuan buruk terhadap gerakan Islam antarabangsa ini. [Sila rujuk laman rasmi HTM bagi mendapatkan artikel bantahan penuh terhadap fatwa tersebut: https://mykhilafah.com/bantahan-fatwa/]

Di awal rancangan, Mat Jais antara lain telah mendakwa bahawa pendaftaran HT ditolak kerana “mirip-mirip militan”, namun dalam masa yang sama secara tidak langsung mengakui bahawa dakwaan tersebut tidak lebih berdasarkan sangkaan dan andaian semata-mata apabila ia menyatakan bahawa ia “belum nampak lagi”.

Tidak cukup dengan itu, Mat Jais mengulang semula fitnah bahawa HT mengkafirkan pemerintah dan ulama Islam serta harus diperangi. Perlu dijelaskan bahawa semenjak fatwa tersebut dikeluarkan lagi, langsung tiada bukti yang dapat dikemukakan oleh pihak Jawatankuasa Fatwa dan JAIS. Namun fitnah tersebut masih diteruskan sehingga ke hari ini. Di samping itu, tuduhan-tuduhan lain yang turut dibangkitkan dalam rancangan tersebut juga telah pun dijawab oleh pihak HT. Malangnya, Mat Jais masih lagi mengulang dakwaan tersebut dan kelihatan banyak membaca skrip atau teks yang telah disediakan tanpa berhenti sejenak untuk menilai kesahihannya.

Apa yang lebih menyedihkan, apabila salah seorang pemanggil meminta dikemukakan bukti dakwaan HT berhubung isu kemaksuman Nabi sebelum kenabian, Mat Jais dengan bersahaja memberikan alasan “tidak membawa rujukan R&D (research and development)” untuk mengelak daripada mengemukakan bukti terhadap dakwaan yang dibuat ke atas HT berhubung isu tersebut. Respon sebegini jelas menunjukkan bahawa ia tidak membuat persediaan secukupnya ketika hendak menjelaskan fatwa berbaur fitnah tersebut. Sikap sebegini tidak sepatutnya ada pada seorang pegawai yang berada dalam jawatankuasa fatwa di sebuah institusi agama.

Pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan Sahibus Samahah Mufti Selangor khasnya sewajarnya menarik balik fatwa yang berbaur fitnah dan jelas bermotifkan politik ini. Ingatlah bahawa setiap perbuatan kita di dunia ini pasti akan dihisab di akhirat kelak. Selaku pihak yang dipertanggungjawabkan dalam hal-ehwal agama, kalian sewajarnya berlaku adil dalam menilai, dan tidak teragak-agak untuk menarik semula fatwa tersebut kerana ia tidak disandarkan kepada bukti yang benar, sebaliknya penuh dengan fitnah.

Demikianlah sikap terpuji yang perlu ada sekiranya kalian benar-benar ikhlas dan amanah dalam menjalankan tugas. Kalian juga sepatutnya lebih ke hadapan dalam menasihati dan memuhasabah pemerintah agar menerapkan syariat Islam, bukannya bersekongkol dalam usaha menghalang gerakan Islam yang memperjuangkan penerapan Islam secara kaffah seperti Hizbut Tahrir.

Dalam pada itu, pihak media pula sewajarnya bersikap adil dengan memberi ruang kepada pihak Hizbut Tahrir untuk tampil menjelaskan perkara-perkara yang ditimbulkan dalam fatwa tersebut. Pihak radio Selangor FM dan mana-mana media sekalipun tidak sepatutnya hanya mendapatkan maklumat secara sepihak, sebaliknya perlulah mengambil langkah tabayyun dengan merujuk kepada Hizbut Tahrir sendiri.