JAINJ teruskan khutbah fitnah ke atas Hizbut Tahrir

Walaupun telah diperingatkan melalui memorandum bantahan dan satu himpunan aman telah pun diadakan di hadapan ibu pejabat Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) agar JAINJ menarik balik khutbah yang memfitnah Hizbut Tahrir, namun pihak berkuasa agama Johor itu tetap juga meneruskan khutbah tersebut.

Penerusan khutbah tersebut sungguh mengecewakan kerana pihak yang seharusnya menjaga kesucian Islam dan menjaga kesucian masjid, telah mengotorinya dengan fitnah. Mimbar yang seharusnya diguna untuk mendidik dan membangkitkan umat Islam, ternyata telah di salah guna dengan penaburan fitnah dan pendustaan ke atas Hizbut Tahrir.

Antara perkara lain yang disebut dalam khutbah berkenaan ialah pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor telah memutuskan bahawa ajaran atau fahaman Hizbut Tahrir diharamkan dan dilarang di negeri Johor. Ini juga amat mengecewakan, di samping mengejutkan kerana pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor tidak pernah sama sekali memanggil atau berbincang dengan Hizbut Tahrir sebelum mengeluarkan fatwa sedemikian. Mana mungkin sesuatu fatwa dikeluarkan tanpa proses yang benar, tanpa tabayyun, penuh pendustaan dan penuh dengan kesalahan fakta?

Bagaimanapun, menurut laporan yang diterima, terdapat beberapa masjid yang tidak membacakan khutbah fitnah tersebut. Kami mengucapkan jazahumullahu khairan kepada para khatib yang ikhlas dan berani berbuat demikian. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas kebaikan kalian. Terdapat ramai juga jemaah yang tidak bersetuju dengan khutbah tersebut, malah ramai yang terperanjat dengan isi kandungannya dan mereka mengkritiknya di media sosial.

Semoga pihak JAINJ dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memerhatikan hal ini dengan serius, dan semoga terlahir golongan yang ikhlas lagi bertakwa yang akan menerajui badan-badan ini dan semoga Allah melindungi golongan yang difitnah.