Wahai Mufti, bagaimana pula dengan fitnah terhadap Hizbut Tahrir?

Semalam, para khatib di masjid-masjid sekitar Selangor telah menyampaikan khutbah yang berjudul “Fitnah Membawa Punah” atau dalam versi Bahasa Inggerisnya, “Fitnah Leads to Destruction”. Khutbah yang disediakan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tersebut memberikan peringatan kepada para jemaah hadir agar menjauhi  amalan fitnah serta mengingatkan tentang balasan atas perbuatan keji tersebut.

Dalam khutbah bertarikh 21 Jun 2019 tersebut, dalil-dalil mengenai larangan memfitnah telah disenaraikan satu per satu. Antara dalil yang dipetik di atas mimbar Jumaat termasuklah,

“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata,” [TMQ al-Ahzab (33):58].

“Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang, dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah” [HR al-Haithami].

Khutbah tersebut juga menyelitkan hadis yang diriwayatkan daripada Huzaifah RA bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Penabur fitnah tidak akan masuk syurga,” [HR Bukhari].

[Teks khutbah yang disediakan oleh Unit Khutbah, Bahagian Pengurusan Masjid JAIS tersebut boleh dimuat turun secara atas talian di: http://e-masjid.jais.gov.my/index.php/ekhutbah/jawi]

Malangnya, pihak JAIS dan Majlis Fatwa yang diterajui oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Selangor, Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Bin Abd Wahid barangkali terlupa bahawa pada tahun 2015 pihak mereka juga telah melakukan fitnah terhadap Hizbut Tahrir melalui fatwa yang bersifat tuduhan berniat buruk ke atas gerakan Islam tersebut.

Fatwa bertarikh 17 September 2015 yang sarat dengan tuduhan palsu serta kekeliruan tersebut telah dikeluarkan dan digazetkan meskipun pihak Hizbut Tahrir telah menjawab tuduhan yang dilemparkan dan tampil memberikan penjelasan agar pihak Mufti menarik balik fatwa tersebut terlebih dahulu.

Sehubungan itu, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) juga telah mengeluarkan sebuah buku bantahan terhadap fatwa ini yang mengandungi jawapan balas daripada Amir Hizbut Tahrir iaitu Syeikh Ata’ bin Khalil Abu Rasytah. Buku tersebut telah dicetak dan disebarkan bersama-sama pamphlet bagi menjelaskan kekeliruan dan fitnah yang terkandung dalam fatwa tersebut.

Di samping itu, pihak HTM juga telah memuatnaik buku tersebut di laman web rasminya di bawah segmen berjudul “Info Fatwa” yang diwujudkan khusus bagi menjernihkan kekeliruan dan menjawab fitnah yang dilemparkan. [https://mykhilafah.com/bantahan-fatwa/]

Setelah ruang untuk bermuzakarah telah ditutup dan pihak Jabatan Mufti masih enggan menarik balik fatwa tersebut, pihak pimpinan HTM dan Jurucakapnya telah mengadakan sebuah sidang media di Khilafah Centre, Seksyen 7 Bandar Baru Bangi pada 4 Disember 2015. Namun sidang media tersebut telah diserbu oleh penguatkuasa JAIS di bawah Seksyen 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995. Dalam serbuan tersebut, jurucakap dan tiga lagi anggota HTM telah ditahan dan didakwa. Perbicaraan kes masih lagi berterusan sehingga ke hari ini.

Alangkah ironis apabila Unit Khutbah JAIS bersungguh-sungguh di dalam khutbah melarang umat Islam daripada menyebarkan fitnah, namun dalam masa yang sama pihak JAIS masih lagi berkeras enggan mengakui kesalahan mereka memfitnah Hizbut Tahrir dan sekali gus menarik balik fatwa berkaitan. Firman Allah SWT,

“Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya,” [TMQ al-Saff (61): 3].

Institusi agama tidak sepatutnya bersikap sedemikian, dan kalian juga tidak sewajarnya juga tunduk akur kepada desakan yang bermotifkan politik daripada pihak tertentu untuk menyekat usaha dakwah gerakan Islam seperti Hizbut Tahrir.

Sungguhpun demikian, pasti ada dalam kalangan pegawai-pegawai JAIS dan juga institusi-institusi agama lain di negara ini yang masih mempunyai kesedaran dan ikhlas dalam kebenaran. Kalian tidak sewajarnya membiarkan fitnah yang dilemparkan ini berterusan selagimana fatwa tersebut tidak ditarik balik.

Ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara, dan jawatan yang dipegang di dunia ini tidak akan memberi sebarang makna di akhirat kelak sekiranya dipegang tanpa memikulnya dengan amanah. Bahkan tidak mustahil jawatan yang dibimbangi terlucut di dunia ini akan menjadi bebanan yang akan mengheret kalian ke jurang neraka seandainya kalian tidak amanah dalam memikulnya. Wal ‘iyaazu billah min zalik!