Nasihat Agar Kekal Sebagai Sekular?

TAIPING: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak akan terima tawaran jawatan Menteri Kanan dalam Kabinet baru Datuk Seri Najib Razak kerana ingin terus menjadi seorang pesara.  Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata beliau sedia menimbang untuk menjadi penasihat kepada kerajaan sekiranya diminta tetapi atas kapasiti tidak rasmi.

“Ya, saya tak akan terima sebarang jawatan menteri nanti tapi boleh jadi penasihat kepada kerajaan atas kapasiti tidak rasmi.   “Saya sudah bersara dan akan terus sebagai pesara,” katanya pada sidang akhbar pertamanya selepas menyertai semula Umno, Sabtu lalu.    Beliau berada di Bukit Gantang di sini sejak pagi tadi dengan menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Padang PPP di Simpang, disusuli makan tengah hari dan majlis perjumpaan dengan kakitangan kerajaan, peniaga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di sebuah resort di Bukit Larut.

Dr Mahathir ditanya sama ada beliau bersedia menduduki jawatan Kabinet sebagai Menteri Kanan jika ditawarkan nanti.

Sumber : Berita Harian, 06/04/09

Nasihat Untuk Terus Kekal Sekular?

Kesedian Mahathir Mohamad untuk menjadi penasihat memperlihatkan kepada kita betapa bersungguh-sungguhnya beliau untuk membantu kerajaan sedia ada untuk meneruskan sistem sekular sebagaimana yang diinginkan oleh penjajah kufur yang telah memberikan kemerdekaan kepada Malaysia. Jawapan beliau bukanlah suatu yang memeranjatkan kerana sejarah telah membuktikan bahawa selama 22 tahun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri Malaysia, sistem yang diterapkannya adalah sistem kapitalisme sekular. Kita boleh menjangkakan bahawa sekiranya beliau menjadi penasihat kepada kerajaan, agendanya adalah, terus mempertahankan sekularisme dan kapitalisme. Apakah ini yang diinginkan oleh umat Islam?

Benar, Deen itu adalah nasihat. Menurut sebuah hadis dari Tamim ad-Daari, bahawa nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Deen(agama) itu adalah nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa?” beliau menjawab, “Untuk Allah, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, pemimpin kaum muslimin dan rakyatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 55).

Di dalam Islam setiap warganya mempunyai hak dan tanggungjawab untuk melakukan muhasabah kepada negara bagi memastikan negara tetap menerapkan hukum syara’ dalam mengatur kehidupan individu, masyarakat dan negara.

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman”). [TMQ a-li ‘Imran(3):110].

Di samping itu juga kewujudan parti politik di dalam Daulah Islam adalah bertujuan untuk menjadi badan yang melakukan amar makruf dan nahi mungkar. “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. [TMQ a-li ‘Imran(3):104].

Sejarah kegemilangan Islam telah membuktikan kepada kita bahawa apabila setiap komponen yang wujud, samada individu ataupun masyarakat termasuk parti politik, memainkan peranannya dengan memikul tanggungjawab untuk berperanan melaksanakan tugas amar makruf dan nahi mungkar maka Daulah Islam yang pernah wujud dahulu telah berjaya membawa kesejahteraan kepada rakyatnya.  Ini adalah kerana adanya jaminan dari Allah SWT sendiri bahawa kedatangan Rasulullah SAW untuk membawa ajaran Islam itu adalah untuk menyebarkan rahmat ke seluruh alam. Firman Allah SWT:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. [TMQ al-Anbiyaa’(21)107].

Namun apakah nasihat seperti ini yang diharapkan dari Dr. Mahathir?