Biar Apapun Jawatannya, Yang Penting Kekal Berkuasa

Baru-baru ini kita telah menyaksikan perletakan jawatan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang telah dipegangnya sejak lebih 30 tahun dan menamakan Tan Sri Adenan Satem sebagai penggantinya. Namun, ia tidak terhenti di situ sahaja. Taib Mahmud kemudiannya terus menggantikan Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng sebagai TYT yang ke-7 pada 1 Mac 2014. Perlantikannya sebagai TYT dan perlantikan Adenan Satem sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru berlaku dalam masa yang sama, ibarat seseorang yang kemaruk dengan kuasa dan ingin terus kekal berkuasa. Apa yang berlaku di Sarawak baru-baru ini bukanlah suatu perkara yang aneh dalam sistem yang ada sekarang kerana setiap orang yang rakus terhadap kekuasaan akan menggunakan apa sahaja cara untuk berkuasa dan kekal terus berkuasa. Seorang pemimpin yang khianat yang berkuasa akan terus ingin berkuasa bukan kerana ingin berkhidmat kepada rakyat, tetapi lebih kepada untuk meraih kepentingan peribadi dan menjaganya sebaik mungkin.

Taib Mahmud yang terkenal dengan pelbagai skandal rasuah serta merompak kekayaan hasil bumi Sarawak untuk dirinya serta kaum kerabatnya adalah suatu rahsia yang sudah diketahui umum. Menurut laporan daripada Sarawak Report, kekayaan Taib Mahmud dan keluarganya adalah lebih daripada 60 billion ringgit! Angka ini merupakan angka yang tidak masuk akal jika kita mencongak jumlah gaji seorang pegawai kerajaan seperti Taib Mahmud, meskipun beliau telah berkhidmat selama lebih daripada 30 tahun.

Justeru, apa yang berlaku di Sarawak ini bukanlah sebuah peralihan kuasa. Sebaliknya ia tidak lebih hanyalah pertukaran nama jawatan dan portfolio kerja semata-mata, dan pemimpin yang berkuasa tetap berkuasa dan semakin berkuasa. Ingatlah bahawa  kepimpinan merupakan satu amanah dan ia pasti akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak. Amat pedih sekiranya apabila berada di yaumul mahsyar kelak, rakyat yang dikhianati ini berbondong-bondong datang menghadap Allah untuk mengadu kezaliman pemerintah ini dan menuntut setiap hak mereka yang telah dirampas. Setiap hak mereka yang dirampas pastinya akan dituntut kembali dan pada ketika itu barulah seseorang yang merasakan dirinya kaya raya dahulu di dunia kelak akan menjadi muflis sepenuhnya di hadapan Allah swt. Sesungguhnya janji Allah itu adalah pasti dan berbahagialah sekiranya kita sentiasa mentaati seluruh  perintahNya, dan tunggulah azab Allah yang berat bagi mereka yang ingkar. Wallahu a’lam.