Anwar menang, demokrasi kekal

PERMATANG PAUH 27 Ogos 2008 – “Kita akur..” itulah kata-kata yang mampu diluahkan oleh Datuk Seri Najib Razak selepas menerima kekalahan BN di Permatang Pauh (P44) semalam. Calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh 31,195 undi menewaskan Datuk Arif Shah Omar (BN) yang mendapat 15,524 undi, sementara calon bebas dari parti AKIM hanya memperoleh 92 undi. Seperti biasa, dalam mana-mana pilihan raya kecil, pertandingan 3 penjuru sering diguna pakai sebagai strategi untuk memecah undi pihak lawan yang dikatakan ‘kuat’.
Apa pun strategi parti-parti dalam pilihan raya, proses demokrasi yang dimainkan oleh mana-mana parti amat menggalakkan lagi penyuburan sistem politik kufur tersebut. Lihat sahaja kejadian-kejadian kotor yang baru sahaja berakhir, perbalahan, fitnah-memfitnah, keji-mengeji, tipu-menipu, rasuah dan sebagainya yang telah menjadi lumrah di dalam mana-mana proses pilihan raya di dalam sistem demokrasi kufur ini. Tidakkah ini semua menggambarkan perpecahan di kalangan umat Islam? Apakah ini yang diperlukan oleh umat Islam, yakni sebuah proses yang penuh kemaksiatan ke arah menuju kepimpinan? Selama mana umat Islam bergelumang di dalam sistem demokrasi, nampaknya selama itulah perbalahan dan permusuhan akan tetap bertapak di hati mereka, setiap kali menjelang pilihan raya.

Itu dari satu sudut. Dari sudut yang lain, Amerika dan Barat sedang bergembira menyaksikan kaum Muslimin masih berjuang di dalam sistem demokrasi kufur ciptaan dan tinggalan mereka. Barat ketawa besar melihat umat Islam masih terkinja-kinja sakan dengan tarian assobiyyah, panji nasionalisme, sorakan wathaniyyah (patriotisme) dan pelbagai bentuk kerosakan lainnya yang telah mereka tanam di bumi umat Islam sepeninggalan mereka dahulu. Mereka tersenyum riang menonton siaran langsung di kaca TV mahupun di Internet akan gelagat kaum Muslimin yang masih berpegang teguh dengan sistem demokrasi yang mereka jajakan di seluruh dunia Islam. Betapa ‘untung’nya mereka (orang-orang kafir Barat) dengan benih tanaman mereka di bumi umat Islam yang masih tumbuh subur hingga sekarang. Umat Islam pula, sama ada sedar atau tidak, masih tetap terperangkap dengan jerat demokrasi hina yang dipasang Barat bagi memastikan Sistem Khilafah tidak kembali ke dunia Islam.

Kita sendiri maklum, kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak dalam sistem demokrasi hina ini tidak akan pernah memenangkan Islam! Yang menang akan ke Parlimen dan membuat undang-undang, merubah hukum Alllah dengan tangan-tangan mereka, manakala yang kalah pula, akan sentiasa mencari jalan untuk meraih kemenangan di lain kali dengan taktik yang lebih kotor. Yang menang mungkin akan membawa sedikit perubahan dan bersifat hanya sementara, tetapi pastinya tidak akan pernah merubah kesemuanya dan selamanya.

Tambah malang, yang diubah adalah sistem sekular dan diganti dengan sistem sekular yang lain, manakala sistem Islam masih tetap berkubur. Sedangkan kehidupan kita sekarang memerlukan suatu reformasi yang sangat-sangat mendasar! Negara ini, dan umat Islam ini memerlukan reformasi bukan sekadar pertukaran (replacement) anggota Parlimen, tapi pertukaran sistem, dari sistem kufur menuju sistem Islam, dari sistem demokrasi menuju sistem Khilafah. Ya, reformasi yang mendasar inilah yang kita perlukan, yang tentu sekali akan merubah kekufuran menuju keIslaman dan merubah kegelapan menuju cahaya. Reformasi ini sudah tentu jauh lebih mulia dan diredhai Allah, berbanding reformasi yang berdasarkan akal manusia. Janganlah hendaknya kita menilai kemenangan itu dengan ‘orang’nya, tetapi hendaklah kemenangan itu dinilai dengan ‘sistem’ yang diterapkan, apakah Islam atau sekular!