Anwar tanding di Kajang, demokrasi masuk kandang salah!

Riuh seluruh negara gara-gara peletakan jawatan secara tiba-tiba oleh Lee Chin Cheh, ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum Mei tahun lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas. Apa yang riuh sangat bukanlah peletakan jawatan Chin Cheh, tetapi pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Dun Kajang dalam PRK nanti.

UMNO terus melatah dan kepanasan dengan keputusan PKR meletakkan Anwar sebagai calon Pakatan bagi kerusi tersebut. Pelbagai tuduhan dan spekulasi timbul sehingga ada yang mengatakan Anwar berbuat demikian bagi membuka jalan untuknya menduduki kerusi Menteri Besar Selangor. Tidak kurang juga yang berpendapat bahawa hal ini dilakukan Anwar bagi menangani kemelut di antara Menteri Besar sekarang dan Azmin Ali yang sudah berlarutan beberapa minggu. Anwar bagaimanapun sudah mengadakan sidang media menafikan semua itu.

Itulah lumrah dalam politik demokrasi, hentam-menghentam, tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah dan sebagainya. Akidah dan ukhuwah Islamiyyah sememangnya tidak wujud dalam kamus politik demokrasi, apatah lagi tatkala pilihan raya. Apa yang penting bagi pihak yang akan bertanding ialah melakukan segala perkara, tanpa mengira halal dan haram, demi memenangi sebuah kerusi!

Antara yang “menarik” dalam isu Anwar bertanding di Dun Kajang ini ialah tentang “demokrasi”. Merespon kepada isu ini, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Peguam Negara mengkaji untuk meminda Akta Pilihan Raya bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap wakil rakyat yang sengaja meletak jawatan tanpa alasan. Ini bagi mewujudkan demokrasi yang lebih berkualiti, ujarnya, sebagaimana dilapor oleh berita televisyen semalam (28/01/2014). Manakala akhbar Berita Harian pula melaporkan yang Anwar telah menyalahguna sistem demokrasi untuk kepentingan peribadi.

Umum mengetahui bahawa apa yang dilakukan oleh Chin Cheh mahupun Anwar ini sememangnya dibolehkan oleh sistem demokrasi. Apa salahnya Adun Kajang itu meletak jawatan? Salahkah dari segi demokrasi untuk beliau meletak jawatan? Sudah tentu tidak. Begitu juga, apakah salah dari segi demokrasi untuk Anwar Ibrahim bertanding di Dun Kajang? Sudah tentu tidak. Hal ini semuanya dibenarkan dalam sistem demokrasi. Justeru kenapa diributkan sangat isu ini? Sebagai negara yang mendukung demokrasi, biarlah segala-galanya berjalan dengan aman kerana apa yang dilakukan oleh pembangkang itu langsung tidak bertentangan dengan demokrasi.

Namun ternyata, apabila demokrasi sudah kelihatan tidak memihak kepada pemerintah, maka pihak lain akan dituduh “menyalahgunakan” proses demokrasi. Seterusnya apa yang terkandung dalam demokrasi perlu diubah lagi, kerana kuasa ada di tangan mereka. Pendek kata, demokrasi yang didukung itu akan “dipersalahkan” apabila ia sudah tidak memihak kepada mereka. Hal ini berlaku baik kepada pemerintah mahupun pembangkang kerana kedua-duanya mendukung demokrasi. Kerajaan selama ini memang sering dituduh oleh pembangkang sebagai tidak mengamalkan demokrasi. Kini giliran kerajaan pula menuduh pembangkang menyalahgunakan demokrasi. Jadi, sebelum PRK Dun Kajang bermula lagi, demokrasi nampaknya sudah terlebih dahulu diletakkan di kandang salah!

Inilah realiti demokrasi, sebuah sistem kufur yang berasal dari Barat yang kini diamalkan di negeri-negeri umat Islam. Kerananya, kita sudah menyaksikan perbalahan dan permusuhan yang amat dahsyat sesama umat Islam yang bersaudara ini, yang sudah berlanjutan sejak runtuhnya sistem Islam, Khilafah pada tahun 1924.

Kita yakin jika Anwar Ibrahim bertanding dalam PRK Kajang nanti, maka perbalahan dan fitnah yang lebih besar akan terus berlegar di bawah lelangit Malaysia. Bilakah kerajaan dan pembangkang akan meninggalkan kegelapan demokrasi dan kembali masuk ke dalam cahaya Islam agaknya?