Anwar diputus bersalah, di mana letaknya keadilan?

Gambar UL110215Selepas lebih kurang enam tahun berjuang dalam kes Liwat II ke atasnya, akhirnya Anwar Ibrahim diputuskan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan atas tuduhan meliwat Saiful Bukhari. Panel lima orang hakim mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan penjara 5 tahun ke atas ketua pembangkang itu.

Sudah tentu keputusan tersebut tidak memuaskan hati para penyokong Anwar dan ramai yang menyifatkannya sebagai sejarah hitam negara. Sebaliknya, bagi mereka yang tidak suka dengan Anwar, keputusan Mahkamah Persekutuan itu disambut dengan gembira.

Anwar sejak dulu menegaskan bahawa kes liwat terhadapnya itu merupakan konspirasi peringkat tertinggi untuk meranapkan karier politiknya. Namun, oleh sebab beliau masih menaruh sedikit harapan kepada mahkamah dalam kes kali ini, maka beliau tidak lari dari perbicaraan dan memilih untuk terus melawan. Keberanian dan keteguhan Anwar memang wajar dipuji, namun sayangnya ahli Parlimen Permatang Pauh itu menaruh kepercayaan kepada sistem yang rosak pada hari ini bagi mendapatkan keadilan.

Sesungguhnya Islam tidak pernah mengenal dualisme perundangan sebagaimana yang dipraktikkan di Malaysia pada hari ini di mana adanya mahkamah sivil dan mahkamah syariah serentak. Kewujudan dualisme perundangan di Malaysia adalah hasil penjajahan puak kuffar yang memaksakan hukum kufur mereka ke atas kita semua.

Dalam Islam, cuma ada satu sistem mahkamah yakni mahkamah yang semata-mata memutuskan hukum menurut al-Quran dan al-Sunnah. Berdasarkan hukum Islam, orang yang meliwat dan orang yang diliwat, kedua-duanya bila didapati bersalah mesti dihukum bunuh. Sabda Rasulullah SAW,

“Barang siapa yang kamu dapati melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (liwat), maka bunuhlah keduanya” [HR Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Tarmizi].

Dalam kes yang penuh kontroversi ini, semua orang tahu yang Saiful Bohari telah mengaku diliwat. Berdasarkan hukum pembuktian Islam, “pengakuan” melakukan kesalahan dalam keadaan sedar dan tanpa paksaan, akan mensabitkan seseorang secara langsung terhadap kesalahan tersebut. Satu-satunya bukti yang boleh melepaskan Saiful dari hukuman bunuh ialah sekiranya dia membangkitkan elemen ikrah al-mulji’ (paksaan yang bersangatan) yang dikenakan ke atasnya. Berdasarkan fakta kes, dia bukan sahaja tidak melawan, malah tidak wujud elemen ikrah al-mulji’ tersebut.

Manakala untuk mensabitkan Anwar dalam kes ini, hendaklah ada pengakuan darinya atau ada dua orang saksi yang adil yang menyaksikan kejadian. Jika kedua-duanya tidak ada, maka Anwar mesti dibebaskan. Inilah hukum Islam dalam kes pembuktian.

Namun, oleh sebab Mahkamah Persekutuan merupakan mahkamah sivil yang tidak berhukum dengan hukum Islam, maka Saiful bebas (walaupun telah mengaku diliwat) manakala Anwar Ibrahim disabitkan dan dihukum pula dengan hukuman yang tidak syarie yakni dipenjara.

Sesungguhnya selagi sistem demokrasi ini tidak diubah kepada sistem Islam, selagi itulah akan ada dualisme perundangan yang diharamkan oleh Islam dan selagi itulah keadilan tidak akan dapat dicapai.

Satu-satunya jalan untuk mendapatkan keadilan adalah dengan kembali menegakkan negara Khilafah yang akan berhukum dengan al-Quran dan al-Sunnah. Sungguh rugilah mereka yang berjuang dalam sistem demokrasi kerana tidak ada apa yang dijanjikan oleh demokrasi kecuali kezaliman dan kerosakan.

Wallahu a’lam.