Anwar Si Pembodek US

Anwar minta AS lihat kejayaan orang Islam

WASHINGTON- Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Amerika Syarikat (AS) melihat kejayaan dan kemajuan orang Islam dalam berurusan dengan dunia Islam. Beliau berkata, pegawai-pegawai AS perlu menonjolkan aspek-aspek positif yang terdapat dalam dunia Islam seperti kemajuan yang berlaku di Indonesia dan Turki.

Anwar juga meminta negara-negara Islam menggerakkan pembaharuan sebagai tindak balas terhadap ucapan Presiden Barack Obama pada 4 Jun lalu di Kaherah, yang menghulurkan salam persahabatan kepada dunia Islam.

“Pembaharuan dan demokrasi adalah penting kepada dunia Islam,” kata Anwar, seperti dilaporkan agensi berita AFP dalam ucapannya di Institut Brookings, Washington.

Beliau turut menegur dunia Barat kerana tidak mempedulikan kutukan golongan ulama terhadap pengeboman di Jakarta pada Julai lalu.

Menurutnya, Barat juga perlu berhati-hati dalam memberikan gelaran seperti fundamentalis dan radikal kepada orang Islam.

“Saya bersolat, puasa dan tidak mengambil minuman keras. Adakah ini bermakna saya seorang fundamentalis? Saya tidak tahu,” katanya.

Anwar menjelaskan, liputan media yang memberi tumpuan kepada tindakan golongan radikal hanya akan menggalakkan perbuatan mereka.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya golongan ini dibenarkan bersuara dengan memberikan mereka pendidikan dan saluran media.

Beliau mencadangkan AS melabur dalam latihan guru-guru matematik, bahasa Inggeris dan komputer sains dalam usaha mengatasi pengaruh golongan radikal di negara-negara seperti Pakistan.

Sumber: Sinar Harian:07/10/09

Apakah Anwar Pembodek Barat?

Apakah Anwar Ibrahim masih mengharapkan Amerika akan berbaik dengan umat Islam? Adakah apa yang berlaku di Iraq, Afghanistan, Palestin dan negeri-negeri umat Islam lain selama ini tidak cukup bagi beliau mengenali watak dan wajah sebenar Amerika? Bagaimanakah bentuk pembaharuan yang diinginkan oleh Anwar agar dilakukan oleh negeri-negeri umat Islam terhadap huluran persahabatan Obama baru-baru ini?  Apakah pembaharuan yang dimaksudkan adalah apabila umat Islam lebih bersikap liberal? Apakah pembaharuan itu bermakna umat Islam harus menerima nilai-nilai hidup Kapitalisme seperti demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan, moderasi dan lain-lainnya sebagaimana yang dijaja oleh Amerika selama ini? Adakah ia bermakna Islam perlu bersatu dengan demokrasi?

Hakikatnya sudah terang lagi bersuluh; demokrasi adalah haram di sisi Islam. Hanya mereka yang tersihir dengan racun demokrasi sahaja yang akan mengatakan bahawa demokrasi itu baik dan penting bagi umat Islam. Amat malang apabila Anwar sebagai seorang Muslim juga mengatakan “YA” kepada demokrasi dan segala muntahan hinanya. Wahai Anwar! Ya, kamu solat, puasa dan tidak minum arak namun kamu merangkul pemikiran Barat dan demokrasi. Ya, kamu bukan fundamentalis namun watak dan wajah Islam kamu adalah seperti mana yang diinginkan oleh AS. Wahai Anwar! Kamu harus sedar, meskipun pengsyoran kamu agar AS memberikan bantuan dalam bentuk latihan guru-guru matematik, bahasa Inggeris dan komputer sains kepada umat Islam nampak positif,  AS adalah sebuah negara Kapitalis yang tidak akan memberikan sebarang bentuk bantuan tanpa mendapat manfaat dari apa yang dilakukannya. Wahai Anwar! Secara sedar mahupun tidak kamu menonjolkan diri kamu sebagai jurubicara AS untuk melunakkan dan menundukkan umat Islam supaya berkompromi dengan Barat. 

Wahai Anwar! Lepaskanlah diri kamu dari kejijikan ini. Lepaskanlah diri kamu dari belenggu pemikiran sekular yang nampaknya begitu sebati dengan kehidupan kamu. Sedarlah, kemuliaan hanya datang apabila perjuangan itu disandarkan sepenuhnya kepada Islam!