Anwar melampau

altOleh SAIFUL HAIZAN HASAM dan WAN SYAMSUL AMLY

KUALA LUMPUR
13 Jun – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sengaja mencari publisiti murahan apabila meminta kerajaan membenarkan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke negara ini.
Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani menegaskan, kenyataan itu juga mengguris hati lebih 200,000 keluarga bekas tentera yang selama ini berjuang demi membebaskan negara daripada ancaman komunis.

“Anwar sudah melampau dan perasaannya kini terang-terang sudah tidak cintakan lagi negara dan sengaja mencari publisiti murahan dengan kenyataan sedemikian. Bayangkan apa perasaan bekas anggota pertahanan negara yang mengetahui perkara ini, bukankah isu ini sudah selesai dan kita sudah mencapai kata sepakat tidak mahu membawa Chin Peng pulang,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia 14 Jun 2009

Isu Chin Peng: Awasi jerat Amerika Syarikat

Dengan termanifestasinya kebobrokan ekonomi Kapitalis yang rapuh di dunia hari ini, gerakan-gerakan yang beraspirasi untuk mengembalikan pengaruh Sosialis/Komunis mula banyak kedengaran. Suara-suara seperti ini kedengaran di Eropah dan di Malaysia, baru-baru ini, perbincangan mengenai perkara ini mula timbul seiring dengan isu kepulangan Chin Peng. Sebagai peneliti politik, kita haruslah memerhatikan apa yang tersirat, bukan setakat apa yang tersurat dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh para politikus dan ini termasuklah kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato Seri Anwar mengenai kepulangan Chin Peng. Dalam aspek ini, kenyataan beliau haruslah dikaitkan dengan kepentingan AS di Malaysia.

Amerika Syarikat (AS) sebagai sebuah negara Kapitalis, akan sedaya upaya berusaha meneruskan penguasaan dan dominasinya ke atas dunia hari ini, meskipun pada saat ini, sistem kapitalisme yang hodoh ini sedang terperangkap di dalam najisnya sendiri.Dan bagi AS, matlamat sudah tentu menghalalkan cara!

Ini dapat dilihat melalui peristiwa-peristiwa yang berlaku di Timur Tengah dalam kurun yang lepas. AS menyokong gerakan Saddam Hussein di Irak dan Gamal Abdul Nasser di Mesir, yang telah menggulingkan pemerintahan beraja di kedua-dua negara yang asalnya merupakan agen-agen British. Walaupun Abdul Nasser dengan suaru lantang mengkritik AS, namun pada hakikatnya beliau merupakan agen AS dalam menjadikan Mesir sentiasa menurut kehendak AS. Begitulah Mesir pada zaman  Abdul Nasser dan ini diwarisi pula oleh Anwar Sadat sehinggalah Hosni Mubarak sekarang ini.

Apakah sebenarnya yang boleh menyebabkan pemimpin PKR mengeluarkan kenyataan bahawa Chin Peng patut dibenarkan untuk kembali ke Malaysia dengan alasan bahawa beliau (Chin Peng) tidak lagi membahayakan negara?  Penelitian mendalam dan berterusan ke atas pentas politik negara akan menjuruskan pemahaman bahawa PKR adalah sebuah parti politik yang condong ke arah mendokong matlamat AS di negara ini. Samada kenyataan tersebut datang secara asalnya dari mulut pemimpin PKR, atau ada pengaruh luar di sebaliknya yang menyebabkan beliau mengeluarkan kenyataan tersebut, yang jelas, ini tampak sebagai satu bentuk sarana klasik AS dalam menanamkan pengaruhnya di sesebuah negara.

Telah terbukti dalam sejarah, AS, melalui proksinya, telah menentang Sosialisme/Komunisme di Vietnam, Afghanistan dan Korea. Kembalinya Chin Peng ke Malaysia, meskipun secara realistiknya tidaklah akan mengembalikan pengaruh komunisme secara drastik, namun tidak dapat dinafikan, ia boleh bertindak sebagai mangkin dalam menghidupkan semula api sosialisme di negara ini. Tambahan pula, wujud hari ini suasana ekonomi kapitalis yang banyak menekan kehidupan masyarakat dan dalam keadaan tersebut tidak mustahil api kecil sosialisme ini boleh semarak dan menyebabkan kebakaran yang merosakkan. Api seperti ini boleh menjadi justifikasi yang kuat bagi AS untuk masuk campur dalam urusan dalaman Malaysia…

AS menceroboh masuk ke dalam sesebuah negara dengan pelbagai cara, bergantung kepada suasana yang wujud dalam negara tersebut. Sekiranya negara tersebut berada dalam keadaan yang kucar-kacir (seperti suasana darurat yang pernah berlaku di Malaya pada tahun 50an), AS akan menghulurkan bantuan fizikal secara unilateral atau bertindak menjustifikasi tindakan multilateral melalui PBB. Atau setidak-tidaknya, ia akan memberikan bantuan logistik dan kepakaran bagi ‘meredakan’ keadaan.  Dalam situasi lain, AS akan menawarkan bantuan kewangan untuk negara yang ingin dicerobohinya, namun, bantuan seperti ini sudah tentu penuh dengan pelbagai syarat.  Dan sekiranya negara yang ingin didominasinya itu masih agak stabil, AS akan cuba menggoncang kestabilan tersebut dengan pelbagai cara.

AS memang sudah lama ingin masuk campur di dalam urusan politik Malaysia atas pelbagai sebab. Antara sebab utama adalah penguasaan Selat Melaka. Meskipun AS sudahpun melibatkan dirinya dalam urusan selat yang paling sibuk di dunia ini, ia masih belum dapat menguasainya secara total. Selat Melaka merupakan penghubung kepada pengangkutan laut di antara Timur Tengah yang kaya dengan minyak dengan musuh AS yang sedang berkembang pesat di Timur Jauh iaitu China. AS perlu menguasai Selat Melaka bagi membantutkan cita-cita China untuk menyaingi AS sebagai kuasa besar dunia. Dan bagi merealisasikan objektifnya ini, kembalinya Chin Peng ke Malaysia merupakan mangkin yang boleh dimanfaatkannya. AS tidak akan menolak sebarang peluang, tidak kira sekecil manapun, untuk mencapai keinginannya….

Wa Allahu A’lam.