21 pelajar usia 13 tahun mengandung setiap hari

LONDON: Seorang setiap 50 remaja perempuan yang bersekolah di beberapa wilayah ‘hitam’ di Britain didapati hamil dan bakal menjadi ibu pada usia muda.

Kajian yang dijalankan mengenai perkara itu baru-baru ini turut mendedahkan bahawa setiap hari, kira-kira 21 pelajar perempuan berusia antara 13 hingga 15 tahun didapati mengandung di Britain.

Paling menyedihkan, separuh daripada mereka memilih untuk menggugurkan kandungan.

England dan Wales mencatat kadar kehamilan remaja paling buruk di seluruh Eropah Barat iaitu enam kali lebih tinggi dari Holland, empat kali berbanding Itali dan tiga kali lebih banyak dari Perancis.

Bulan lalu, kerajaan mengakui bahawa sasaran untuk mengurangkan kadar kehamilan remaja itu kepada separuh menjelang 2010 tidak akan tercapai. Sejak 1998, usaha pengurangan kadar itu hanya berjaya dikurangkan sebanyak 11 peratus.

Pengkritik menyalahkan dasar kerajaan berhubung pendidikan seks, termasuk menyediakan alat pencegah kehamilan secara percuma.

Profesor ekonomi dari Fakulti Perniagaan Universiti Nottingham, Profesor David Paton, berkata strategi kerajaan bagi mengurangkan kadar kehamilan remaja adalah tidak berkesan.

“Masalah sosial di sesetengah kawasan, kadar perpecahan keluarga dan aspek keagamaan dilihat menjadi faktor penting menyumbang kepada kadar kehamilan remaja berbanding tumpuan dasar kerajaan memperkenalkan pendidikan seks dan kaedah merancang keluarga,” katanya.

Remaja di bawah umur boleh mendapatkan pil pencegah kehamilan daripada jururawat sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa menyebabkan menteri mahu pil itu turut dijual kepada mereka yang berusia bawah 16 tahun di farmasi.

Kajian itu turut menyatakan bahawa jumlah kehamilan di kalangan remaja perempuan berusia antara 13 hingga 15 tahun meningkat empat peratus pada 2005 iaitu kepada sejumlah 7,462 kes.
Daripada 23,556 kes kehamilan remaja di England dan Wales sejak tiga tahun lalu, sejumlah 13,474 pengguguran kandungan dilakukan – Agensi

Sumber: Berita Harian 04/01/08

Ulasan:

Berita ini sebenarnya langsung tidak mengejutkan, apatah lagi bagi mereka yang tinggal di UK. Hakikat ini memang telah lama diperkatakan oleh umat Islam yang tinggal di negara kafir harbi ini. Inilah gambaran rosaknya masyarakat yang hidup dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan kebebasan. Inilah manifestasi idea kebebasan di bawah demokrasi yang disanjung-sanjung oleh Barat yang turut menjadi ikutan dan sanjungan umat Islam dewasa ini, malah menjadi ‘agenda perjuangan’ bagi sesetengah gerakan Islam. Demokrasi tak lebih dari satu sistem yang dibawa oleh Barat yang mana undang-undangnya adalah dibuat oleh manusia. Inilah hakikat demokrasi! Dan di bawah demokrasi ini, terdapat 4 jenis kebebasan yang diperjuangkan iaitu, kebebasan berakidah/beragama, kebebasan berpendapat, kebebasan berpemilikan dan kebebasan bertingkah laku. Mereka menamakan kebebasan ini sebagai Hak Asasi Manusia (HAM).

Hasil dari kebebasan bertingkah laku di bawah sistem demokrasi inilah yang melahirkan sebuah masyarakat bebas yang boleh melakukan apa sahaja, asalkan dilakukan suka sama suka. Tidak ada seorang pun yang boleh menyekat kebebasan orang lain selama mana dia tidak mengganggu hak-hak orang lain. Jadi, tidak hairanlah jika kes-kes perzinaan, baik di kalangan dewasa mahupun remaja sudah tidak lagi terkawal. Manusia di bawah sistem demokrasi sudah menjadi darjat haiwan, malah lebih buruk lagi dari itu. Apa yang dilaporkan di atas adalah gambaran bagaimana masyarakat boleh mempengaruhi tingkah laku seorang individu. Individu yang hidup dalam sebuah masyarakat yang rosak akan turut menjadi rosak. Ini kerana, masyarakat itu dibentuk oleh sistem/peraturan yang mengawal mereka. Jika buruk sistem/peraturan itu, maka buruklah masyarakat dan begitulah sebaliknya. Apa yang tertera di atas adalah gambaran bagaimana rosaknya masyarakat yang hidup dalam sistem demokrasi.

Sistem demokrasi berbeza sama sekali dengan sistem Islam. Islam tidak mengenal konsep ‘kebebasan’ yang di bawa oleh demokrasi. Dalam Islam setiap Muslim adalah ‘terikat’ dengan hukum Allah di dalam setiap aktiviti mereka. Islam memandang suatu perkara itu dengan standard ‘halal dan haram’, bukannya dengan standard ‘kebebasan’ atau ‘manfaat’ yang dapat diraih melalui perbuatan tersebut. Islam memandang bahawa zina adalah haram, bukan sebagaimana penganut demokrasi yang memandang zina itu boleh kerana dilakukan suka sama suka. Dalam Islam, Allah menetapkan hukuman 100 kali rotan kepada penzina, bukan sebagaimana demokrasi yang mana hukuman zina dibuat berdasarkan ketetapan manusia sehingga ada negara demokrasi yang menyatakan ia tidak salah, dan ada negara demokrasi (seperti Malaysia) yang menyatakan hukumannya adalah denda RM5000, 3 tahun penjara atau 6 kali rotan. Kesemuanya bergantung pada manusia kerana dalam sistem demokrasi, manusialah yang membuat undang-undang, dan hanya diluluskan dengan undi majoriti!