Purata 83 Kes Pendaftaran Anak Luar Nikah Setiap Hari

KUALA LUMPUR 10 Nov -  Di sepanjang era pemerintahan kerajaan sekular Malaysia sejak lapan tahun lalu, gejala sosial di kalangan muda-mudi semakin parah. Itulah realiti yang dapat kita katakan apabila meneliti laporan dari Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika menjawab soalan lisan R. Sivarasa (PKR-Subang) semasa sesi soal jawab Dewan Rakyat 29 November lepas, iaitu sebanyak 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan rupa-rupanya tanpa dicatatkan nama bapa dari tahun 2000 hingga Julai lalu. [Kosmo 30.10.2008]

Berasaskan laporan rasmi ini pihak HTM telah mengunjurkan sedikit pengiraan statistik untuk melihat sejauh mana parahnya kejadian ini. Jika kita meneliti dari data yang diberikan sejak tahun 2000 sehingga Julai 2008 ini bermakna memakan masa selama 103 bulan, dan bilangan harinya adalah 3090 hari  (103 X 30).

Secara purata di mana ada hampir 2,500 (iaitu 257,411 ÷ 103) kes anak luar nikah setiap bulan didaftarkan secara rasmi, dan ini bermakna setiap hari secara purata Jabatan Pendaftaran menerima 83.3 kes (257411 kes ÷ 3090 hari) pendaftaran anak luar nikah.  Ini juga bermakna secara statistiknya satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam masa 17 minit 17 saat.

Pembuangan bayi juga semakin parah di mana sebanyak 228 kes buang bayi direkodkan di seluruh negara sepanjang 2004 hingga tahun 2006. Kes paling banyak dilaporkan di Selangor dengan 69 kes, 59 kes berlaku di Johor, seterusnya 29 kes bagi Sabah dan 25 kes berlaku di Sarawak. Ini bermakna, secara puratanya setiap bulan sebanyak 6.33 (228/36) kes buang bayi berlaku. Jadi, jika dinisbahkan dengan hari, maka pada setiap 5 hari 1 jam ada seorang bayi yang dibuang.

Data dan statistik di atas menunjukkan bagaimana parahnya masalah sosial dan perzinaan yang berlaku di Malaysia, terutamanya di kalangan muda-mudi yang  melakukan perbuatan jijik dan keji itu. Angka-angka yang diberikan di atas bukanlah menunjukkan angka yang sebenar kerana semua orang tahu kes yang tidak dilaporkan jauh melebihi jumlah yang dilaporkan. Ini adalah kerana ada beberapa kes anak luar nikah didaftarkan dengan nama bapa angkat tanpa di kesan oleh Jabatan Pendaftaran, sebagai contoh ada doktor swasta di JB yang menguruskan anak luar nikah yang diberi sijil kelahiran kepada keluarga yang inginkan anak. Ada juga kejadian pasangan yang  cepat-cepat bernikah setelah tahu ‘perut kembung’, banyak kes yang mengebumikan anak hidup atau mati yang tidak dijumpai dan banyak ke yang mana kandungan digugurkan di hospital swasta.

Inilah natijah yang dapat kita saksikan dengan adanya idea kebebasan dan budaya kuning dari Barat yang diterapkan di Negara kita. Maksiat merajalela hasil dari penerpan sistem sekular, kes-kes zina, kelakuan bebas, judi dan arak sudah menjadi lumrah. Pergaulan bebas hanya di pandang enteng oleh Negara dan tidak ada uqubat (hukuman) dari negara ke atas pelaku-pelaku maksiat tersebut.

Namun jika benar-benar sistem Islam diterapkan nescaya kejadian yang parah ini pastinya dapat dibendung dari awal. Ini kerana di dalam kehidupan sosial, Islam telah menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan wanita, bentuk pakaian wanita Muslimah, cara memandang wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca kepada pintu penyimpangan seksual yang mengakibatkan kerosakan akhlak dan lain-lain. Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka perlu diatur oleh suatu aturan (nizham) yang tertentu. Dalam mengatur hubungan antara lelaki dan perempuan, Islam telah meletakkan beberapa ketetapan seperti:

(1)    Islam telah memerintahkan kepada manusia, baik lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan [An-Nur (24):30-31];

(2)      Islam memerintahkan kepada wanita untuk mengenakan pakaian secara sempurna, tudung dan jilbab, iaitu pakaian yang menutup seluruh tubuhnya, kecuali wajah dan kedua telapak tangannya [An Nur (24):31] dan [Al-Ahzab (33):59];

(3)        Rasulullah bersabda, “Tidak dibolehkan seorang wanita yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan hari akhirat untuk melakukan perjalanan selama sehari semalam, kecuali jika disertai mahramnya.” [HR. Bukhari dan Muslim].

(4)    Rasulullah juga bersabda, “Tidak diperbolehkan seorang lelaki dan seorang wanita berkhalwat, kecuali jika wanita itu disertai mahramnya” [HR. Muslim]

(5)     Islam melarang wanita untuk keluar rumahnya kecuali dengan izin suaminya;

(6)    Islam sangat menjaga agar dalam kehidupan khusus hendaknya jamaah (komuniti) kaum wanita terpisah dari jamaah (komuniti) kaum lelaki;

(7)    Islam sangat menjaga agar hubugan kerjasama antara lelaki dan wanita hendaknya bersifat umum dalam masalah muamalah; bukan hubungan yang bersifat khusus seperti saling mengunjungi antara wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya atau berjalan-jalan bersama;

(8)    Islam mengambil berat dalam memelihara keturunan dan nasab. Bahkan Islam menentukan hukuman rejam bagi penzina Muhsan (sudah berkahwin);

(9)    Islam menetapkan bahawa penzina bukan Muhsan dihukum 100 kali sebatan [an-Nur (24):2].

Dalam perlaksanaan sistem yang dianjurkan oleh Islam, tanggungjawab untuk memastikan ketetapan-ketetapan yang telah digariskan oleh Islam terletak ditangan setiap ahli masyarakat dan juga negara. Masyarakat wajib mengubah kemungkaran yang dilihatnya, manakala Negara pula adalah satu institusi pelaksana (qiyan tanfizi) yang penting, yang mana Negaralah yang akan menghukum (uqubat) setiap orang yang melanggar hukum Allah.

Jadi, dengan kata lain kehidupan itu wajib diatur dengan sistem Islam, dan jika masih wujud pelanggaran, maka Negaralah yang akan mengenakan hukuman terhadap setiap pelaku maksiat tersebut dan hukuman itu mestilah uqubat Islam, bukannya hukuman akal ciptaan manusia. Perlaksanaan hukuman Islam ini akan mewujudkan dua fungsi iaitu sebagai zawajir (pencegahan) dan jawabir (penebus dosa di akhirat). Muhammad Ismail di dalam kitabnya, Fikrul Islam telah menghuraikan bahawa sistem Islam dapat mencegah manusia dari melakukan tindakan kejahatan sebab, bilamana dia melakukan juga kejahatan itu dia akan berhadapan dengan masyarakat dunia dan negara dengan sistem hukuman yang datang dari Al-Khaliq itu sendiri. Di akhirat kelak ia akan menghadapi azab Allah yang sangat pedih lagi menyeksakan.  [untuk bacaan lanjut, sila lihat SN 112 – Gejala Sosial Pi Mai Pi Mai Tang Tu]