Le Figaro: Serangan Iran bertujuan elak konfrontasi secara langsung dengan Amerika dan entiti Yahudi

Satu laporan yang diterbitkan oleh akhbar Perancis, Le Figaro menyatakan bahawa serangan Iran ke atas entiti Yahudi,, yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menggunakan lebih daripada 200 peluru berpandu dan dron, bertujuan untuk mengelakkan konfrontasi secara langsung dengan entiti Yahudi dan Amerika Syarikat.

Akhbar itu memetik Thierry Coville, pakar dalam hal ehwal Iran dan penyelidik di Institut Hubungan Antarabangsa dan Strategik (IRIS), sebagai berkata, tentera pendudukan (Yahudi) mengumumkan bahawa mereka telah memintas 99% peluru berpandu dan dron yang dilancarkan oleh Iran. Iran menjustifikasi serangan ini berdasarkan Perkara 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Keabsahan Pertahanan, terutamanya selepas serangan entiti Yahudi ke atas konsulatnya di Damsyik.

Coville menjelaskan bahawa serangan itu bukanlah satu kejutan, memetik kenyataan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei baru-baru ini, yang berjanji untuk bertindak balas terhadap serangan (oleh entiti Yahudi) ke atas konsulatnya di Syria. Khamenei menegaskan bahawa mempertahankan wilayah Iran adalah suatu yang sangat perlu dilakukan oleh rejim, yang sememangnya menuntut satu tindak balas, terutama selepas jumlah korban dalam serbuan ke atas konsulatnya itu meningkat.

Matlamat Iran bukanlah untuk menghentam entiti Yahudi secara langsung. Jika Iran mahu berbuat demikian demi membalas dendam atas serangan Yahudi ke atas konsulatnya itu, Iran sudah pasti akan mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap entiti Yahudi itu.

Serangan Iran malam tadi tidak lebih daripada untuk menyelamatkan air mukanya sahaja, melihat kepada bentuk serangan dan senjata yang digunakan yang jelas menunjukkan hal tersebut.

Iran tidak mensasarkan entiti Yahudi secara langsung, tetapi hanya pangkalan tenteranya sahaja. Pun begitu, Iran tidak bertujuan untuk menyebabkan kemusnahan yang serius, tetapi hanya sekadar untuk menyelamatkan air mukanya.

Semua perkembangan di lapangan sebelum serangan menunjukkan bahawa Iran telah terlebih dahulu memaklumkan kepada entiti Yahudi dan Amerika mengenai serangan yang akan dilancarkan, melalui diplomasi pintu belakang.

Jika Iran benar-benar mahu bertindak balas secara nyata, ia tidak akan menyatakan bahawa “tindak balasnya adalah berdisiplin dan tidak akan dipertingkatkan”, dan ia tidak akan berunding dengan Amerika mengenai sifat dan hak untuk bertindak balas atas serangan tersebut.

Atas sebab itu, serangan Iran dengan dron dan peluru berpandu hanyalah sebuah serangan pertunjukan dan simbolik sahaja.

[Sumber: https://hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/sporadic-sections/media/95060.html]