Hadhanah (Hak Pengasuhan Anak)

Dari aspek bahasa, hadhanah (الحضانة) diambil daripada perkataan al-hidnu (الحضن) yang bermaksud rusuk, dada atau sisi badan. Kata hadhanah digunakan dalam urusan pengasuhan anak kerana pada dasarnya pengasuh kebiasaannya meletakkan anak yang diasuh di atas pangkuannya atau sisi badannya.

Pengasuhan ini membawa erti memelihara, merawat, menjaga dan menyusui seorang anak kecil sehinggalah pada peringkat dia mampu untuk membezakan perkara yang baik dan buruk, atau istilahnya ialah mumayyiz.

Oleh itu, hadhanah secara syar’i ialah menjaga dan mengatur urusan anak yang belum mampu mengurus dirinya sendiri serta melindungi anak daripada perkara yang berbahaya dan membinasakan. Sebahagian ulama’ seperti Ibn ‘Abidin dan al-Jurjani menyatakan hadhanah membawa pengertian pemeliharaan dan pendidikan terhadap anak (tarbiyah al-walad).

Istilah lain yang sering digunakan selain hadhanah ialah kafalah (كفالة). Secara umumnya, kata hadhanah dan kafalah membawa maksud yang sama meskipun ada pandangan yang menyatakan perbezaan dua kata tersebut.

Islam telah menentukan hukum-hakam yang jelas berkaitan dengan hadhanah apabila berlakunya perceraian antara suami isteri sama ada melibatkan pasangan yang beragama Islam atau perceraian yang berlaku apabila salah seorangnya bertukar agama.

Hukum Hadhanah

Perlu difahami terlebih dahulu bahawa konsep hadhanah (custody) tidak sama dengan wilayah atau kewalian (guardianship). Hadhanah diperlakukan terhadap anak yang masih memerlukan pengasuhan seperti yang telah diterangkan diawal perbincangan. Sedangkan kewalian bermaksud satu penguasaan khusus dan penjagaan oleh si wali ke atas anak yang sudah melepasi peringkat tamyiz sehingga ke umur baligh bagi anak lelaki dan sudah berkahwin bagi anak perempuan.

Hadhanah termasuk dalam kategori hifz an-nafs (menjaga jiwa) yang telah diwajibkan oleh Allah SWT. Jiwa anak wajib dijaga agar terhindar daripada kemudharatan dan kebinasaan. Hukum ini bersifat pasti kerana mengabaikan penjagaan terhadap anak bererti membiarkannya terdedah kepada bahaya.

Walaupun hadhanah merupakan kewajipan, dalam masa yang sama ia juga terkait dengan hak kaum kerabat anak. Hal ini kerana kaum kerabat anak mempunyai hak pengasuhan terhadap si anak.

Oleh itu, hak untuk mengasuh bagi orang yang telah diwajibkan oleh Allah SWT untuk melaksanakan hadhanah bersifat khusus bagi mereka yang benar-benar berhak dan layak. Pengasuhan anak tidak akan diberikan kepada mereka yang akan mengabaikan anak tersebut, kerana perkara itu secara pasti akan mendedahkan anak kepada bahaya dan kebinasaan.

Dengan demikian, sudah tentu tugas mengasuh anak tidak diberikan kepada anak-anak kecil ataupun mereka yang kurang waras akal fikirannya (al-ma’tuh). Hal ini merupakan suatu perkara yang jelas, bagaimana mungkin mereka mampu menjaga dan mengasuh anak-anak sedangkan mereka (anak kecil dan orang kurang waras) sendiri memerlukan penjagaan. Begitu juga pengasuhan anak tidak diserahkan kepada mereka yang sibuk dengan aktiviti-aktiviti lain yang menyebabkan mereka lalai untuk mengasuh anak. Orang-orang yang memiliki sifat-sifat buruk seperti fasik juga tidak diberikan hak untuk mengasuh anak. Sebabnya, sifat-sifat buruk tersebut juga akan memberikan kesan yang buruk kepada anak yang diasuh sehingga akan menyebabkan kerosakan pada si anak. Pengasuhan anak turut tidak diserahkan kepada orang kafir, kecuali anak yang masih memerlukan pengasuhan daripada ibunya yang masih kafir.

Hak Hadhanah

Sekiranya pasangan suami isteri bercerai dan mereka mempunyai anak lelaki atau perempuan yang masih kecil (bayi) dan memerlukan penjagaan dan pengasuhan, maka yang lebih berhak ke atas pengasuhan anak tersebut ialah ibunya. Dalilnya berdasarkan hadis Rasulullah SAW riwayat Abu Daud yang bermaksud :

“Seorang wanita berkata, wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutkulah yang mengandungkannya, susukulah yang diminumnya, dan pangkuankulah yang menjadi tempat sandarannya. Bapanya telah menceraikanku dan ingin mengambil anak ini dari sisiku. Lalu Rasulullah SAW bersabda, engkau lebih berhak ke atas anak itu selagi kamu tidak berkahwin lagi.”

Hak hadhanah ini diserahkan kepada ibu apabila keadaan si anak itu masih kecil dan menyusu. Dengan kata lain, anak tersebut masih belum mampu memikirkan sesuatu perkara dan belum mencapai tahap dapat membezakan perilaku ayah dan ibunya. Maka untuk situasi ini, anak itu mesti diserahkan kepada ibu untuk mengasuhnya.

Namun, ketika anak tersebut sudah agak besar, tidak lagi menyusu malah sudah mampu berfikir sesuatu perkara dan dapat membezakan perilaku ayah atau ibunya, tetapi masih memerlukan pengasuhan (masih belum mumayyiz), maka dalam hal ini anak tersebut diberikan pilihan sama ada untuk mengikut ayah atau ibunya. Dalilnya :

Sesungguhnya ia telah masuk Islam, sedangkan isterinya menolak masuk Islam. Si isteri lalu datang kepada Nabi SAW dan kemudian berkata, ‘Ini anak perempuanku. Ia telah disapih (berhenti susu) atau seumpamanya.’ Rafi’ berkata, ‘Ini adalah anak perempuanku.’ Nabi SAW lantas berkata kepada Rafi, ‘Duduklah di sebelah sana.’ Beliau juga berkata kepada si isterinya, ‘Duduklah di sebelah sana.’ Setelah itu, beliau meletakkan si anak di tengah-tengah di antara keduanya seraya berkata kepada keduanya, ‘Cuba panggillah anak ini oleh kalian berdua.’ Si anak ternyata condong kepada ibunya. Selanjutnya, Nabi SAW berdoa, ‘Ya Allah, berilah anak itu petunjuk.’ Setelah Nabi SAW berdoa, si anak pun kemudian condong kepada ayahnya sehingga diambillah ia oleh ayahnya itu.” (HR Ahmad dan Abu Daud)

Urutan Pengasuhan Anak

Pengasuhan anak merupakan hak bagi kaum kerabat anak tersebut. Jadi, yang paling berhak untuk mengasuh anak tersebut ialah ibu, kerana ibulah yang melahirkan. Begitu juga dengan bapa sebagai asal keturunan anak, namun kedudukannya dalam urutan ahlu hidhanah ialah selepas ibu.

Tetapi, jika ibu tersebut bukan termasuk dalam ahlu hidhanah seperti sudah berkahwin lagi, kurang waras atau seumpamanya yang menyebabkan ibu itu hilang syarat-syarat untuk mendapatkan hak hadhanah, maka dalam hal ini ibu tersebut dianggap tiada hak hadhanah dan berpindah kepada pihak berikutnya. Keadaan ini sama dengan bapa, iaitu apabila bapa bukan lagi ahlu hidhanah kerana sebab-sebab tertentu, maka hak hadhanah akan berpindah ke pihak berikutnya.

Urutan hak hadhanah seperti berikut :

  • Ibu
  • Nenek sebelah ibu (ibu kepada ibu) – Terus ke atas dan didahulukan pihak terdekat di kalangan yang lebih dekat
  • Bapa
  • Nenek sebelah bapa (ibu kepada bapa)
  • Datuk (bapa kepada bapa)
  • Moyang perempuan (Ibu kepada datuk atau nenek bapa)
  • Datuk si bapa
  • Ibu kepada datuk bapa (moyang bapa)
  • Saudara perempuan – Adik beradik perempuan (Didahulukan saudara perempuan seibu sebapa)
  • Saudara perempuan sebapa
  • Saudara perempuan seibu
  • Saudara lelaki – Adik beradik lelaki seibu sebapa
  • Saudara lelaki sebapa
  • Anak lelaki kepada saudara lelaki (adik beradik) seibu sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa
  • Ibu saudara sebelah ibu, kemudian ibu saudara sebelah bapa
  • Bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa dan kemudian bapa saudara sebelah bapa sebapa
  • Nenek saudara (ibu saudara kepada ibu) sebelah pihak perempuan
  • Nenek saudara (ibu saudara kepada bapa) sebelah pihak perempuan
  • Nenek saudara (ibu saudara kepada bapa) sebelah pihak lelaki

Asasnya, hak pengasuhan anak tidak berpindah daripada satu pihak kepada pihak lain kecuali pihak yang sepatutnya menjaga anak mengikut urutan di atas contohnya ibu sebagai orang yang paling berhak mengasuh itu tidak ada, tidak mampu atau hilang syarat-syarat sebagai ahlu hidhanah. Dalam konteks ini, hak pengasuhan itu telah berpindah ke pihak seterusnya mengikut urutan tersebut dan seterusnya.

Sekiranya pihak daripada kaum kerabat si anak yang telah gugur syaratnya sebagai ahlu hidhanah disebabkan oleh suatu halangan ingin mengambil semula hak penjagaan anak setelah halangan tersebut tidak ada, maka ia berhak untuk mendapatkan hak pengasuhan. Contoh seperti seorang ibu yang berkahwin lain dan menyebabkan hilangnya hak pengasuhan, kemudian bercerai. Si ibu itu tadi berhak untuk mendapatkan semula hak pengasuhan ke atas anaknya kerana ‘sebab pengasuhan’ telah ada kembali.

Hak Orang Kafir Terhadap Hadhanah

Orang kafir tidak mempunyai hak berkaitan hadhanah kecuali pengasuhan ibu ke atas anaknya. Hal ini ditetapkan berdasarkan keumuman nas dalam hadis riwayat Abu Daud :

“Engkau lebih berhak ke atas anak itu selagi kamu tidak berkahwin lagi.”

Hak ibu untuk mengasuh anak meskipun ia seorang kafir juga dapat difahami berdasarkan mafhum daripada hadis Rafi’ bin Sinan seperti yang dijelaskan sebelum ini. Rasulullah SAW memberi pilihan kepada si anak untuk memilih ibunya (yang masih kafir) atau bapanya (muslim). Pilihan yang diberikan ini bermaksud tidak ada larangan seorang ibu untuk mengasuh anak-anaknya, walaupun dia kafir.

Maka, tidak dapat dikatakan bahawa hadhanah ini merupakan kewalian dan tidak boleh diserahkan kepada orang kafir kerana faktanya jelas bahawa hadhanah dan kewalian merupakan dua perkara yang berbeza. Oleh itu, konsep wilayah (kewalian) untuk menghalang pengasuhan ibu yang masih kafir untuk mengasuh anaknya tidak boleh diterapkan.

Fasa Mumayyiz Sehingga Baligh (Wilayah)

Semua perbincangan yang diterangkan di atas berkaitan dengan hadhanah. Hak dan kewajipan hadhanah akan terangkat apabila seorang anak itu sudah mampu berfikir mana yang baik dan buruk serta tidak lagi memerlukan pengasuhan dan penjagaan. Dengan kemampuan tersebut, maka hilanglah ‘illat (sebab berlakunya hukum) hadhanah iaitu hak dan kewajipan mengasuh. Oleh itu, hukum kewalian berlaku dalam keadaan ini kerana anak tersebut sudah besar dan mumayyiz.

Sekiranya orang yang berhak mengasuh dan memiliki kewalian iaitu ibu dan bapanya seorang muslim, maka anak yang sudah mumayyiz itu tadi, sama ada lelaki atau perempuan diberikan pilihan untuk mengikut ibu atau ayahnya. Dalilnya seperti yang terdapat dalam hadis riwayat Ahmad, Ibn Majah dan Tirmidzi iaitu Rasulullah SAW pernah memberikan pilihan kepada seorang anak lelaki sama ada untuk memilih ibu atau bapanya.

Selain itu, dalil lain pula berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah :

“Sesungguhnya seorang wanita pernah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya suamiku hendak pergi membawa anakku. Sedangkan, anakku telah mengambilkan air minumku daripada sumur Abu Inabah, dan ia sangat bermanfaat bagiku.’ Rasulullah SAW kemudian bersabda ‘Ini ayahmu dan ini ibumu. Ambillah tangan siapa sahaja daripada keduanya yang engkau sukai.’ Lalu anak itu mengambil tangan ibunya, lalu wanita itu pun pergi dengan membawa anak tersebut.” (HR Abu Daud)

Jelaslah bahawa, jika terjadi perselisihan antara ibu atau bapa dalam persoalan mengenai anak mereka, maka hukum syara’ telah memberikan pilihan kepada anak untuk memilih ibu atau bapanya.

Namun begitu, sekiranya salah seorang daripada ibu atau bapanya seorang kafir, maka dalam konteks ini, anak tersebut tidak diberikan pilihan melainkan wajib diserahkan kepada yang muslim. Sebabnya jelas bahawa kewalian tidak boleh diberikan kepada orang kafir berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud :

“Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang mukmin” [TMQ an-Nisa’(4):141]

Sabda Rasulullah SAW,

Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya [HR Ad-Daruqutni]

Begitulah ketentuan hukum Islam dan penjelasan berkaitan hadhanah dan juga kewalian.

Muhammad Affandi@Fendi
Pimpinan Pusat HTM