Anggota HTM lepas dan bebas dari kesalahan hina fatwa

SHAH ALAM, 11 Okt – Setelah lebih kurang 5 tahun perbicaraan, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini telah melepas dan membebaskan seorang anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) dari kesalahan di bawah Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 terkait fatwa ke atas Hzbut Tahrir.  

Semasa menyampaikan penghakimannya, Hakim Masnizar @ Mohd Nizar bin Mohtar menjelaskan bahawa pihak pendakwa telah gagal mengemukakan kebenaran bertulis daripada Ketua Pendakwa Syarie (KPS) sebelum melakukan pertuduhan ke atas tertuduh dalam kes ini, sebagaimana dikehendaki oleh Seksyen 73 Enakmen Tatacara Jenayah (Negeri Selangor) 2003, yang telah menyebabkan pendakwaan dalam kes ini void ab initio (terbatal sejak awal).  

Azmi Rahman Mat Zuini, 55, melahirkan rasa syukur atas pembebasan ini dan menyifatkan bahawa ia bukanlah kemenangan beliau secara peribadi, tetapi merupakan kemenangan ke atas Hizbut Tahrir.  

Semasa ditemubual di luar mahkamah, beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada seluruh anggota dan penyokong Hizbut Tahrir agar terus berjuang menyampaikan agama Allah yang beliau sifatkan sebagai sebaris dengan perjuangan para Sahabat dahulu, yang berjuang hingga tegaknya Daulah Islam di Madinah.  

Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman turut melahirkan rasa syukur atas pembebasan ini menjelaskan bahawa beliau sejak dulu secara konsisten menegaskan bahawa fatwa ke atas Hizbut Tahrir hanyalah sebuah fitnah, pembohongan dan kekeliruan oleh pihak berkuasa agama ke atas Hizbut Tahrir.  

“Saya berharap dengan kemenangan ini, kita juga akan turut memenangi kesemua kes lain yang sedang berjalan yang melibatkan anggota Hizbut Tahrir di beberapa negeri di Malaysia”, ujar beliau.  

“Saya juga berharap agar wujudnya kesedaran di pihak pendakwa, hakim dan khususnya Jabatan Agama Islam itu sendiri bahawa fatwa ke atas Hizbut Tahrir merupakan sebuah fitnah yang seharusnya ditarik balik oleh pihak berkuasa agama” tegas Jurucakap HTM itu.   

Di sepanjang perbicaraan kes ini, Azmi diwakili oleh Tetuan Musa Awang & Associates.