Hina Pihak Berkuasa Agama: Mahkamah Tetapkan Perbicaraan Hujung November

SHAH ALAM, 18 Julai – Hakim Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan tarikh perbicaraan kes pendakwaan ke atas anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Azmi Rahman Mat Zuini pada 27, 28 dan 29 November depan atas kesalahan menghina Pihak Berkuasa Agama.

Azmi didakwa di bawah Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 setelah ditangkap pada 14 April tahun lalu kerana mengedar risalah Sautun Nahdhah keluaran HTM. Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum 3 tahun penjara atau dua ribu ringgit denda jika sabit kesalahan.

Dalam sebutan kali kedua kes pada hari ini, En Musa Awang, peguam syarie yang mewakili Azmi telah membantah tatacara dakwaan yang dimulakan tanpa keizinan ketua pendakwa syarie sebagaimana diperuntukkan oleh Seksyen 73 Enakmen Tatacara Jenayah Selangor 2003.

Hakim bagaimana pun menerima hujah pendakwa bahawa keizinan telah pun diperolehi secara administrasi kerana kehadiran beliau adalah atas arahan ketua pendakwa syarie.

Musa yang juga Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia terpaksa akur dengan keputusan hakim dan menyatakan kesediaan untuk meneruskan perbicaraan kes ini.

Dalam temubual di luar mahkamah, Azmi menyatakan kekesalannya dengan JAIS yang melakukan penangkapan ke atas dirinya tatkala sedang mengedar risalah dakwah. “Ini jelas merupakan sebuah kezaliman, apatah lagi risalah yang saya edar langsung tidak ada kena mengena dengan persoalan akidah sebagaimana yang disebut dalam fatwa Selangor ke atas HTM”, tegas beliau.

Ustaz Abdul Hakim Othman yang turut ditemubual selepas itu menegaskan antara lain bahawa JAIS seharusnya menggugurkan sahaja dakwaan, kerana apa yang dilakukan oleh JAIS dengan menangkap dan mendakwa seorang pendakwah merupakan suatu yang amat memalukan dan menjatuhkan maruah JAIS sendiri. “Bagaimana mungkin seorang pejuang syariah dan Khilafah dianggap sebagai penjenayah?”, soal beliau.

“Kita yakin kita berada di pihak yang benar. Jawapan kita terhadap fatwa masih tidak dijawab oleh pihak berkuasa agama sampai sekarang dan kita masih membuka ruang untuk bermuzakarah atau berdebat, baik secara tertutup mahupun terbuka”, ujar Jurucakap HTM itu lagi.