Mahkamah tetapkan 23 November untuk dakwa anggota HTM

SEREMBAN 5 Okt – Mahkamah Tinggi Syariah telah menetapkan 23 November depan sebagai tarikh pendakwaan ke atas seorang anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Jamaluddin Maidin Syed, 46 terkait fatwa yang dikeluarkan oleh Negeri Sembilan ke atas Hizbut Tahrir.

Jamaluddin bersama dengan isteri dan anak perempuannya telah ditahan dalam satu serbuan di kediaman mereka pada 26 Oktober tahun lalu.

Bagaimana pun pada 11 Ogos lepas, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah menarik balik kes terhadap isteri dan anak beliau. Pada masa yang sama JHEAINS memohon kepada mahkamah menetapkan tarikh hari ini untuk memutuskan sama ada beliau akan didakwa atau tidak.

Dalam prosiding yang berlangsung sekitar 5 minit sahaja tadi, pendakwa syarie telah memaklumkan kepada mahkamah untuk mendakwa Jamaluddin dan meminta satu tarikh daripada mahkamah untuk membacakan pertuduhan.

Jamaluddin cuba membantah bahawa Bon Kehadiran yang diberikan kepada beliau oleh mahkamah sebelum ini adalah tidak sah kerana ia bukan satu notis yang betul untuk memaksa kehadiran beliau ke mahkamah pada hari ini, sebaliknya merupakan Bon untuk menerima penghakiman.

Hakim Kamal Bashah Ahmad Tajuddin bagaimana pun meminta anggota HTM itu untuk melantik peguam bagi mengemukakan bantahan tersebut.

Semasa ditanya oleh beberapa petugas media sejurus keluar daripada mahkamah, Jamaluddin menegaskan bahawa tangkapan yang dilakukan oleh JHEAINS ke atas beliau adalah menyalahi prosedur dan tidak sah.

Tambahan lagi, beliau tidak pernah ditunjukkan fatwa Negeri Sembilan ke atas Hizbut Tahrir yang dijadikan alasan oleh JHEAINS untuk menangkap beliau. Beliau telah beberapa kali ke jabatan Mufti Negeri Sembilan untuk mendapatkan fatwa tersebut, tetapi ternyata pihak jabatan Mufti gagal mengemukakannya kepada beliau dengan alasan yang tidak munasabah.

Selain itu, Jamaluddin turut memprotes cara penguatkuasa agama menangkap dan menggeledah kediaman beliau, kerana terdapat cubaan gangguan seksual ke atas anak perempuan beliau di mana anak beliau telah pun membuat laporan polis berhubung perkara tersebut sejurus selepas dibebaskan daripada tahanan JHEAINS. Setakat ini beliau tidak tahu apakah status siasatan polis terhadap laporan tersebut.

Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman yang turut mengiringi Jamaluddin ke mahkamah menjelaskan kepada media bahawa tangkapan tersebut merupakan sebuah kezaliman ke atas Hizbut Tahrir, apatah lagi dengan usaha untuk mendakwa anggota HTM atas kesalahan menghina agama Islam, yang sangat tidak masuk akal.