JHEAINS geledah premis, tahan isteri dan keluarga anggota HTM

SEREMBAN 26 Oktober – Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah bertindak menahan isteri dan anak perempuan seorang anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) dalam sebuah operasi di kediaman mereka di Bandar Seremban Selatan, sekitar jam 11.00 malam tadi.

Sewaktu serbuan tersebut, hanya isteri, ahli keluarga, dan dua orang pekerja beliau berada di tempat kejadian, manakala anggota HTM terbabit, Sdr. Jamaluddin, berada di luar Seremban. Penguatkuasa JHEAINS dilaporkan telah menggeledah kediaman beliau dan merampas beberapa buah buku. Mereka juga meminta agar Jamaluddin segera balik atas alasan membantu siasatan.

Ketika dihubungi menerusi panggilan telefon oleh salah seorang ahli keluarga beliau, seorang penguatkuasa yang tidak memperkenalkan diri telah mendakwa mempunyai waran untuk melakukan penggeledahan di premis tersebut di bawah kesalahan Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

Tanpa mempunyai waran tangkap, penguatkuasa JHEAINS kemudiannya bertindak menahan isteri dan seorang anak perempuan Jamaluddin serta dua pekerja beliau dan kesemua mereka dilaporkan dibawa ke Pusat Dakwah Islam, Paroi, untuk siasatan lanjut.

Ketika laporan ini diterbitkan, Jamaluddin sedang dalam perjalanan bagi membuat laporan polis ekoran insiden penahanan ahli keluarganya yang dilakukan tanpa waran tangkap.

Berita lanjut menyusul…