Anggota HTM dan keluarga dibebas dengan ikat jamin RM7500

SEREMBAN 27 Okt – Anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) berserta isteri dan anak perempuan beliau yang ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah dibebaskan lebih kurang jam 5.30 petang tadi dengan ikat jamin RM2500 seorang.

Manakala dua orang pekerja beliau yang turut ditahan semasa serbuan yang dilakukan oleh JHEAINS di kediaman beliau pada malam Selasa lepas, dibebaskan lebih awal kira-kira jam 4.00 pagi tanpa sebarang jaminan.

Ikat jamin tersebut dibayar ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban selepas mereka dibawa ke hadapan hakim dan permohonan mereka untuk dibebaskan tanpa ikat jamin ditolak oleh hakim.

Jamaluddin, 45, isterinya, 46 dan anak perempuan mereka, 22, disoal siasat sepanjang malam dan tidak dibenarkan tidur, sepanjang ditahan di Pusat Dakwah Islamiyyah, Paroi. Apa yang lebih memeranjatkan ialah anggota polis turut terlibat dalam soal siasat berkenaan.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu kesalahan “mencela, menghina dsb agama Islam”, yang membawa hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dakwaan ini bukan sahaja tidak masuk akal, malah jelas menunjukkan niat jahat JHEAINS terhadap HTM. JHEAINS telah melakukan tangkapan yang bukan sahaja menyalahi undang-undang dan prosedur, tetapi menyalahi hukum syarak!

Tangkapan yang dilakukan ke atas isteri dan anak perempuan Jamaluddin dilakukan tatkala mereka berada di rumah dalam keadaan tidak melakukan apa-apa kesalahan. Begitu juga dengan Jamaluddin yang ditahan semasa hadir ke Pusat Dakwah Islamiyyah, di mana langsung tidak ada apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh beliau yang boleh dikaitkan dengan menghina Islam.

Justeru, kesemua mereka telah ditahan tatkala tidak melakukan apa-apa kesalahan sebagaimana yang termaktub di bawah Seksyen 50. Sungguh amat mustahil untuk anggota HTM terbabit dan keluarga beliau untuk dikatakan menghina Islam!

HTM ialah sebuah parti politik Islam yang berjuang untuk menegakkan hukum Allah secara kaffah dengan jalan menegakkan Khilafah. Sungguh luar biasa apabila anggota HTM dituduh menghina Islam oleh JHEAINS! La haula wa la quwwata illah billah.

Sesungguhnya perbuatan menangkap pendakwah dan keluarga mereka, menjadikan pendakwah sebagai penjenayah, melontarkan pelbagai fitnah dan tuduhan ke atas pendakwah, itulah sebenarnya perbuatan yang hina!

“Tangkapan ini jelas merupakan satu kezaliman dan kami membantahnya dengan sekeras-kerasnya” begitulah tegas Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman dalam Fb Live yang diadakan sejurus keluar dari bangunan mahkamah.

“Kami tahu tangkapan ini dilakukan kerana adanya fatwa ke atas Hizbut Tahrir, sebuah fatwa yang penuh dengan fitnah dan pembohongan yang dilontarkan oleh pihak berkuasa agama ke atas Hizbut Tahrir, bukan sahaja di Negeri Sembilan, malah di beberapa buah negeri lain juga, dan semua ini hanyalah fatwa politik semata-mata” lanjut Abdul Hakim.

Jurucakap HTM itu seterusnya menegaskan bahawa JHEAINS boleh melakukan apa sahaja ke atas HTM sekarang ini dengan kuasa yang ada, termasuklah melakukan dakwaan di mahkamah. Namun beliau mengingatkan bahawa di Padang Mahsyar kelak ada satu lagi mahkamah, yang mana Allah (swt) sebagai Satu-satunya Hakim, yang akan mengadili kes ini dengan seadil-adilnya, dan tidak ada seorang pun akan terlepas pada waktu itu dengan kezaliman yang mereka lakukan di dunia.