Najib Jamin Telus?

 

Ketika proses pemindahan kuasa di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin hampir, nampaknya Najib mula mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang pro-dirinya sendiri. Baru-baru ini semasa menjawab pertanyaan seorang peserta semasa memberi ucapan di Persidangan Agenda Integriti Nasional Penilaian dan Hala Tuju di Institut Integriti Malaysia (IIM) beliau memberi jaminan akan sentiasa komited kepada pentadbiran yang berprinsipkan keterbukaan dan ketelusan kepada rakyat apabila beliau mengambil alih pucuk pimpinan negara [Utusan Malaysia 18hb Mac 2009].

Begitulah kebiasaan ahli politik di dalam sistem kufur sekular yang diterapkan pada hari ini, mereka akan menaburkan pelbagai janji manis dan memberikan harapan kepada rakyat sebelum mereka dilantik atau menyokong perlantikan mereka. Tidak terkecuali Najib.

Bolehkah kerajaan menjadi telus dan terbuka kalau Akta Rahsia Rasmi (OSA) masih wujud? Adakah ia sedia untuk dihapuskan? Sudah tentu OSA tidak akan dihapuskan kerana sudah sekian lama ia telah menjadi benteng terakhir kerajaan terhadap usaha-usaha untuk membongkar segala penyimpangan yang dilakukan oleh kerajaan atas nama kepentingan negara walaupun terpaksa mengorbankan kepentingan rakyat. Itulah OSA, rekaan yang digunakan untuk mempertahankan kerajaan yang menyimpang daripada sistem yang mereka ciptakan sendiri.

Dasar-dasar yang telus dan terbuka tidak ada nilai sesen pun sekiranya segelintir ahli politik dibiarkan menyalahgunakan kuasa yang ada pada mereka dengan mempengaruhi hakim dan institusi mahkamah. Sudahlah mahkamah melaksanakan sistem perundangan kufur ciptaan manusia yang tidak menjamin keadilan, ditambah pula dengan campurtangan segelintir pemimpin yang lupa kepada Allah dan merasakan bahawa mereka boleh berbuat apa sahaja. Hakikatnya, apa yang dijanjikan sekali-kali tidak akan dapat dilaksanakan jika sistem yang ada pada hari ini dikekalkan. Sistem yang berlandaskan asas kehidupan yang rosak menghasilkan cara hidup yang kacau-bilau dan kerap kali mereka-mereka yang korup terlepas daripada hukuman kerana campurtangan orang ‘atasan’. Bagi rakyat biasa atau individu biasa yang disabitkan kesalahan, mereka akan terjerat dan dikenakan tindakan undang-undang lalu dihebahkan ke sana-sini sambil mendakwa bahawa mahkamah telah menegakkan keadilan. Ianya tidak ubah seperti ayam jantan berkokok tetapi ekor dipenuhi najis busuk.

Bagi para aktivis dakwah dan mereka-mereka yang gigih berjuang menegakkan kebenaran dan tegas serta berani menegur kerajaan secara terang-terangan pula ada yang ditangkap dan diberi amaran bahkan ada yang disumbat ke dalam penjara. Lebih teruk lagi, mereka dilabel dengan pelbagai nama seperti ’Fundamentalis’, ’Ekstremis’ dan ’Islamofasis’ – hanya kerana menyeru kepada kerajaan agar melaksanakan Syariat Islam secara menyeluruh dengan menegakkan kembali Sistem Khilafah.

Kerajaan yang telus dan terbuka adalah kerajaan yang sanggup menerima seruan kebenaran di dalam semua hal yang berkaitan dengan Syariat Islam dan menerapkannya secara menyeluruh di dalam kehidupan. Sekiranya mereka melalaikannya, maka Allah Maha Mengetahui atas segala yang mereka lakukan!