COVID-19: Komunikasi jelas, telus tangani panik dan stigma

Komunikasi yang jelas dan telus adalah sangat penting dalam memastikan usaha membendung penularan wabak Covid-19 dapat dilaksanakan dengan baik. Komunikasi yang dimaksudkan termasuklah yang melibatkan antara agensi dan jentera kerajaan dalam mengkoordinasi gerak kerja, mahupun kepada masyarakat bagi meredakan keresahan serta mendapatkan kerjasama mereka dalam usaha ini.

Tidak dinafikan bahawa Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan baik dengan mengemaskini statistik wabak serta memberikan khidmat nasihat secara berterusan kepada umum. Namun, pihak kerajaan secara umumnya telah dikritik hebat oleh segelintir netizen kerana dilihat gagal menyampaikan mesej dengan baik dalam menangani wabak Covid-19.

Antara kelemahan yang ketara termasuklah dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apabila kita melihat beberapa pihak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah. Bahkan ketika PKP diumumkan, tidak segera disusuli perincian, sebaliknya setelah rakyat terpinga-pinga dan keadaan menjadi agak kelam kabut barulah maklumat terperinci dikeluarkan.

Tidak dinafikan bahawa selain kekurangan pengalaman mengatasi pandemik seumpama ini, keadaan diburukkan lagi dengan pertukaran kerajaan yang sering disebut sebagai melalui pintu belakang, yang berlaku tatkala Covid-19 sedang merebak. Justeru, semua langkah menjadi lewat, selain diambil secara terburu-buru demi menjaga imej kerajaan yang baru terbentuk. Sedangkan dalam situasi wabak sebegini, tindakan pantas dan masa adalah sangat berharga. Keseluruhan usaha dan kepakaran seharusnya digembeling dengan cepat dan semaksimum mungkin bagi mengawal keadaan, namun malangnya permainan politik di peringkat atasan telah memburukkan keadaan sehingga tercetuslah apa yang terjadi sekarang.

Maka tidak hairanlah berlakunya kegusaran dalam kalangan masyarakat, serta untuk seketika mencetuskan panik sehingga berlakunya ‘panic buying’. Barangan penting seperti topeng muka dan pencuci tangan juga kehabisan stok dengan cepat. Keadaan diburukkan lagi apabila terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita-berita palsu sehingga menambahkan kegusaran masyarakat dan memaksa pihak berwajib untuk mengerahkan sumber yang terhad untuk memeranginya.

Dalam keadaan rakyat perlu maklumat yang cepat, tepat dan berguna, baru-baru ini kita dapat melihat bagaimana seorang menteri kabinet telah mengeluarkan nasihat kesihatan yang tidak disandarkan kepada sebarang bukti saintifik semasa temuramah yang disiarkan dalam media arus perdana.

Kekeliruan sebegini bukan sahaja menggugat kredibilitinya, tetapi sekali gus menyebabkan rakyat yang kurang maklumat akan melakukan perkara yang sia-sia. Dalam keadaan gawat seperti sekarang, kesemua maklumat dan apa yang ingin dihebahkan hendaklah tepat dan bermanfaat, yang seharusnya dikeluarkan dengan cermat dan berhati-hati oleh setiap pihak, apatah lagi oleh pihak yang berautoriti..

Dalam pada itu, kita juga menyaksikan bagaimana reaksi sebahagian pihak telah mencetuskan stigma dan persepsi buruk terhadap pihak tertentu yang dikaitkan dengan penyebaran wabak. Stigma bukan sahaja tidak membantu dalam meredakan kegelisahan umum, bahkan boleh menyebabkan mereka enggan tampil memberikan kerjasama kerana bimbang akan dikecam setelah dikenal pasti.

Kesemua elemen dalam masyarakat mesti bertanggungjawab dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 ini, kerajaan lebih-lebih lagi. Kerajaan wajib telus (transparent) dalam menyampaikan segala maklumat, agar dapat membantu rakyat, bukannya menambahkan lagi keresahan rakyat. Kerajaan tidak seharusnya mengambil langkah berdasarkan kepentingan politik kepartian atau bersifat partisan, contohnya seperti baru-baru ini dengan meminggirkan negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang semasa memanggil mesyuarat untuk memerangi covid-19.

Dalam pada itu, umat Islam seharusnya sedar dan bertenang dalam kegawatan seumpama ini, di samping berusaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang telah dikeluarkan oleh mereka yang pakar. Ketahuilah bahawa di sebalik ujian yang melanda, terkandung hikmah dan rahmah bagi orang-orang yang beriman yang menghadapinya dengan sabar dan tenang. Sabda Rasulullah (saw),

“Sesungguhnya wabak taun itu adalah azab yang diturunkan Allah ke atas sesiapa sahaja, tetapi Allah menjadikannya sebagai rahmat bagi orang beriman. Tidaklah seseorang yang dilanda wabak taun lalu terus menetap di kawasan yang dilanda taun itu (sebagai pencegahan dari penularan) dalam keadaan sabar, berserah diri kepada Allah dan mengetahui bahawa tidaklah sesuatu musibah yang melandanya melainkan suatu yang telah ditentukan Allah, maka tidaklah baginya melainkan mendapat pahala seperti seorang yang mati syahid” [HR Bukhari].

Wallahu a’lam.

Dr. Muhammad Fauzi