Coronavirus: Bagaimana Islam tangani?

Virus yang dikenali sebagai Coronavirus (2019-nC0V) yang dkatakan bermula di Wuhan, China pada akhir Disember lepas sehingga kini dilaporkan telah menjangkiti hampir 2,800 orang dan meragut 80 nyawa. Setakat ini beberapa kes telah dikesan di Malaysia yang dialami oleh pelancong Cina yang masuk ke negara ini, dan dilaporkan kesemua mereka sedang di kuarantin dan dipantau rapi, selain ada yang masih menunggu keputusan makmal.

Dalam pada banyak negara di dunia sudah menutup lapangan terbang masing-masing kepada penerbangan dari China, Malaysia masih terus membuka pintu, sehinggalah ke hari ini (27/01/2020) baru kerajaan mengumumkan keputusan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara China dari Bandar Wuhan dan Wilayah Hubei. Itupun setelah mendapat desakan bertubi-tubi daripada banyak pihak.

Kerajaan PH cuba meyakinkan rakyat yang Malaysia mempunyai pengalaman yang cukup untuk menangani masalah virus ini, berdasarkan rekod menangani masalah virus SARS, Ebola dan H1N1 suatu ketika dulu. Kerajaan seharusnya tidak mendabik dada dalam isu ini kerana negara China yang jauh lebih maju berbanding Malaysia pun berada dalam keadaan ‘darurat’ kesan penularan virus berbahaya tersebut yang sehingga kini masih belum dapat dikawal.

Walaupun kerajaan memberi alasan tambahan bahawa pemeriksaan ketat dijalankan di lapangan terbang seperti adanya mesin pengimbas suhu, tindakan ini sebenarnya tidak memadai kerana terdapat orang yang dijangkiti coronavirus ini yang dilaporkan tidak mempunyai simptom sehingga hari ke-14 daripada mula dijangkiti. Jadi, orang yang telah dijangkiti akan dapat melepasi mesin pengimbas suhu dengan mudah jika masih di peringkat awal.

Kerajaan seharusnya menutup serta-merta lapangan terbang kepada penerbangan dari wilayah yang terjejas sebaik mendapat berita mengenai penularan virus tersebut. Kelewatan berbuat demikian mengundang risiko yang bukan sahaja amat berbahaya, malah menyalahi hukum syarak, sebagaimana disebut dalam sebuah hadis:

Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Maslamah daripada Malik daripada Ibnu Syihab daripada Abdullah bin Amir bin Rabi’ah: Umar bin Khattab (ra) berangkat ke Syam, dan ketika sampai di suatu kota yang bernama Saragh, dia mendengar berita bahawa wabak sedang menimpa Syam. Maka Abdurrahman bin Auf memberitahunya, bahawa Rasulullah (saw) bersabda: “Jika kalian mendengar ada wabak menimpa suatu kawasan, maka janganlah kalian memasukinya. Dan jika jika wabak menimpa suatu kawasan sedang kalian berada di dalamnya, maka janganlah kalian keluar daripadanya”. Dengan segera Umar meninggalkan Kota Saragh. Dan daripada Ibnu Syihab daripada Salim bin Abdullah, bahawasanya Umar pulang kerana hadis Abdurrahman ini [HR al-Bukhari].

Hadis ini sangat masyhur yang menjelaskan hukum syarak dalam masalah ini iaitu apabila kita berhadapan dengan satu wabak, mereka yang berada di luar kawasan wabak tidak dibenarkan memasukinya, manakala mereka yang berada di dalam kawasan wabak tidak dibenarkan keluar daripadanya. Dalam masa yang sama, kerajaan wajib berusaha dengan segala kemampuan yang ada untuk memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat terjamin dan tidak menyembunyikan atau memberi maklumat palsu kepada rakyat dalam isu ini.

Kerajaan tidak seharusnya mempertimbangkan apa jua kepentingan selain wajib menuruti hukum syarak. Kerajaan tidak seharusnya melebihkan kepentingan ekonomi seperti kemasukan pelancong dari China, mahupun kepentingan perdagangan atau hubungan dua-hala dan lain-lain. Dalam masa yang sama, kerajaan perlu ingat bahawa pematuhan kepada hukum syarak bukan hanya wajib dilakukan dalam isu ini, bahkan dalam kesemua hal. Sudah berapa banyak bala yang menimpa negara ini hasil tangan-tangan manusia, khususnya yang memegang pemerintahan, apabila tidak berhukum dengan hukum Allah (swt).

Ini antara ‘peringatan’ daripada Allah (swt) kepada kita semua, bahawa sehebat dan sesombong mana pun manusia, Allah (swt) boleh mengutus makhlukNya yang paling halus yang boleh ‘memusnahkan’ manusia dalam sekelip mata. Maka, ambil peringatanlah wahai orang-orang yang beriman.

Wallahu a’lam.

Editor