Bagaimana Islam memperkasakan wanita?

Berita:

KUALA LUMPUR: Walaupun diselubungi kontroversi kebelakangan ini, namun Neelofa masih kekal sebagai ikon Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW2018) yang diterima Januari lepas.

Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ia sekali gus menafikan dakwaan yang tular di blog media sosial yang mendakwa selebriti dan ahli perniagaan ini digugurkan sebagai ikon wanita negara.

“Pihak kementerian melihat segala sumbangan dan kejayaan yang telah diraih Neelofa sebelum ini dan percaya ia dapat memberi inspirasi kepada para wanita untuk terus bergerak lebih jauh dan berdaya saing bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0. “Kementerian melihat daripada sudut yang positif apa yang akan disumbangkan beliau untuk memperkasa wanita,” katanya dalam kenyataan itu.

Berita penuh: https://www.bharian.com.my

Komentar:

Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak pernah berkata bahawa jumlah wanita berkerjaya di negara ini perlu ditambah supaya dapat memecahkan blok yang menjadi pemisah di antara dua jantina. Menurutnya lagi, untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang pekerjaan, produktiviti dan inovasi golongan itu perlu turut berubah selaras keadaan semasa supaya mereka dapat bersaing. Menurut beliau lagi selepas kerajaan mengumumkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada 2010, peranan besar wanita terus melonjak. [Sumber: Berita Harian – http://www.bhplus.com.my]

Ini sekilas gambaran pandangan kapitalis terhadap wanita. Ideologi kapitalisme  menganggap wanita yang berjaya ialah wanita yang memiliki kerjaya dan mampu memberi sumbangan terhadap isi rumah tangga sekaligus menjana ekonomi negara. Hakikatnya, sudut pandang yang dibawa oleh ideologi kapitalisme ini sudah menjadi pandangan umum masyarakat dalam menentukan kedudukan seorang wanita.

Sudut pandang yang dibawa oleh kapitalisme ini amat bertentangan dengan Islam. Hal ini demikian kerana, kapitalisme hanya memandang ‘nilai’ kejayaan dan kemajuan kaum hawa atas dasar nilai material semata-mata. Kapitalisme tidak memandang peranan wanita sebagaimana yang harus dilakukan oleh kaum wanita. Akhirnya mereka meletakkan wanita perlu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum adam.

Oleh sebab itu, tidak hairan munculnya fahaman feminisme yang ingin memperjuangkan hak wanita dan kesemarataan gender dalam aspek sosial, ekonomi dan politik. Walhal, faktor munculnya kepercayaan yang bersumberkan dari Barat ini disebabkan oleh masyarakat Barat itu sendiri yang memandang rendah kedudukan kaum wanita.

Sedangkan, Islam telah memperkasakan kedudukan wanita sejak datangnya Islam. Islam satu-satunya agama yang sejak awal telah meletakkan wanita pada satu kedudukan yang sangat mulia.  Rasulullah SAW juga sering mengingatkan agar umat Islam menghargai dan memuliakan kaum wanita. Di antara sabdanya:

اِسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا

“Aku wasiatkan kepada kalian untuk berbuat baik kepada para wanita.” [HR Muslim]

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى

“Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah yang paling baik terhadap isteriku.” [HR Tirmidzi, dinyatakan shahih oleh Al Albani dalam “as-sahihah”]

Islam juga memperkasakan wanita dengan peranan-peranan yang telah ditentukan oleh syarak. Islam telah menugaskan wanita dengan peranan-peranan yang sangat penting.

Dalam memenuhi tanggungjawab terhadap rumah tangga, negara dan masyarakat, peranan wanita sangat penting dalam mencorak generasi Islam yang berkualiti. Wanita ada tanggungjawab besar dalam memastikan generasi yang lahir adalah generasi Islam yang penuh dengan ketaatan pada Allah SWT. Wanita juga mempunyai peranan besar terhadap negara dan masyarakat, iaitu melalui tanggungjawab berpolitik dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar melalui aktiviti dakwah. Tanggungjawab besar ini memberi penanda aras bahawa Islam memandang bahawa peranan wanita sangat penting dalam mencorak masa depan negara kerana di bahu mereka ada tugas berat iaitu untuk mendidik dan membentuk generasi muslim yang bertakwa. Generasi muslim yang bertakwa inilah yang akan memimpin manusia ke arah cahaya Islam. Generasi muslim ini juga yang akan menyelamatkan umat Islam di seluruh pelusuk dunia yang sedang dihinakan oleh sang kafir harbi. Tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia.

Abu Athiyah
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia