Hizbut Tahrir Menganjurkan Seminar Wanita di Kuala Lumpur untuk Menangani Nasib Malang Wanita dan Kanak-Kanak Rohingya Muslim yang Masih Berterusan

 
   Kenyataan Akhbar

Hizbut Tahrir Menganjurkan Seminar Wanita di Kuala Lumpur, Malaysia untuk Menangani Nasib Malang Wanita dan Kanak-kanak Rohingya Muslim yang Masih Berterusan.
Pada hari Ahad, 7 Julai 2013, Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir dengan kerjasama Hizbut Tahrir Malaysia akan menganjurkan Seminar Wanita yang amat penting di Kuala Lumpur, Malaysia bertajuk “Setahun Telah Berlalu – Siapakah yang akan Menyelamatkan Wanita dan Kanak-kanak Rohingya Muslim?”.  Acara ini akan menghimpunkan penceramah dan ratusan ahli pemikir wanita dari seluruh Asia Tenggara, termasuk wartawan, aktivis hak asasi manusia, peguam, dan wakil-wakil pertubuhan-pertubuhan. Tujuan acara ini diadakan adalah untuk membawa isu nasib malang wanita Rohingya dan kanak-kanak di Burma yang masih berterusan kepada media global dan untuk menarik perhatian masyarakat antarabangsa, dan menyeru kepada tindakan penyelesaian segera untuk menamatkan penderitaan mereka. Malaysia merupakan salah satu daripada negera-negara utama di rantau ini yang dipilih oleh beribu-ribu wanita Rohingya untuk melarikan diri daripada penganiayaan.

Selepas setahun sejak bermulanya keganasan yang kejam oleh etnik penganut Buddha terhadap umat Islam di negeri Rakhine Myanmar, wanita dan kanak-kanak Rohingya masih tidak berumah, lapar, dan sentiasa hidup dalam ketakutan. Mereka adalah mangsa kempen pembersihan etnik terancang yang kejam yang disokong oleh kerajaan Burma si pembunuh. Seluruh kampung telah dibakar dan wanita serta kanak-kanak telah diseksa sehingga mati dan mayat-mayat mereka dibakar. Rogol terancang juga telah digunakan oleh pasukan keselamatan Burma sebagai senjata penganiayaan.

Berpuluh-puluh ribu wanita dan kanak-kanak Rohingya dipindahkan dari rumah mereka kini hidup seperti dalam penjara di kem-kem pelarian yang kotor di Myanmar dengan makanan dan rawatan perubatan yang tidak mencukupi serta tanpa air dan sanitasi yang bersih. Mereka tidak mempunyai tempat tinggal, dinafikan kewarganegaraan di negeri mereka sendiri oleh rejim Burma yang menafikan hak penjagaan kesihatan, pendidikan, pergerakan bebas, dan menolak tenaga kerja lelaki dalam bidang pekerjaan.
Penderitaan ini ditambah lagi dengan dasar kawalan kelahiran yang menindas dengan melarang mereka daripada mempunyai lebih daripada dua orang anak yang bertujuan untuk membantutkan pertumbuhan penduduk Rohingya. Walaupun semua ini berlaku, PBB, negara-negara demokrasi Barat, media global, parti pembangkang demokratik Burma, dan juga banyak pertubuhan hak asasi manusia telah memilih untuk tidak mempedulikan isu pembunuhan beramai-ramai dan ketidakadilan ini. Sebaliknya, mereka memilih untuk melindungi dan mengejar kepentingan ekonomi dan politik mereka di Myanmar yang membuktikan bahawa isu hak asasi manusia adalah sebuah tipudaya dalam demokrasi.

Seminar yang penting ini akan membangkitkan kesedaran orang ramai tentang nasib wanita Rohingya, menuntut kerajaan-kerajaan dunia Islam supaya memberikan mereka perlindungan, dan menekankan bahawa hanya negara Khilafah sahaja yang melaksanakan Islam sepenuhnya yang akan menyelamatkan kaum wanita dan kanak-kanak Rohingya.

Khilafah akan menyediakan tempat tinggal yang selamat untuk mereka hidup dengan aman sebagai rakyat yang dibela dengan sama rata dan akan menggerakkan tentera Islam untuk melindungi darah mereka. Ini adalah kerana hanya sistem ini sahaja yang menolak nasionalisme, menyatukan tanah-tanah Islam, dan memandang orang Islam sebagai orang Islam tanpa mengira kewarganegaraan, etnik, dan bangsa mereka. Kami menyeru semua wanita yang mencari penyelesaian terhadap penderitaan wanita Rohingya yang menyayat hati ini untuk menghadiri acara penting ini.

Kami juga menyeru semua umat Islam untuk meningkatkan usaha mereka untuk menegakkan Khilafah yang akan menyediakan penjagaan kepada mereka yang tiada tempat tinggal, di bawah pimpinan seorang pemimpin Islam yang ikhlas seperti Amir Hizbut Tahrir, mujtahid yang terkenal iaitu Sheikh Ata Abu Rashta yang akan berusaha tanpa teragak-agak atau lengah untuk mengakhiri penderitaan wanita dan kanak-kanak Rohingya Muslim dan semua umat Islam yang menghadapi penindasan di seluruh dunia. Rasulullah (SAW) bersabda,

Seorang Muslim adalah bersaudara dengan Muslim yang lainnya, maka janganlah dia menindas saudaranya dan jangan sekali-kali dia menyerahkan saudaranya yang lain kepada pihak yang menindas”  [HR Bukhari]

Dr. Nazreen Nawaz
Ahli Pejabat Media Pusat
Hizbut Tahrir