Seminar “Cabaran Wanita Berkerjaya” hurai kemelut wanita

BANDAR BARU BANGI 6 April – Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) telah berjaya menganjurkan satu seminar bertajuk “Cabaran Wanita Berkerjaya”. Seminar ini diadakan bertujuan untuk membongkar realiti cabaran yang dihadapi oleh Muslimah yang berkerjaya pada hari ini, seterusnya menjelaskan punca permasalahan tersebut dan penyelesaian yang dituntut oleh Islam.

Seminar ini dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran surah An-Nisa Ayat 29 hingga 33 yang menjelaskan bahawa Allah SWT memberi ganjaran dan balasan kepada setiap apa yang diusahakan oleh hamba-Nya tanpa mengira dia itu adalah lelaki ataupun perempuan.

Dua orang AJK Pusat MHTM iaitu Ustazah Fatihah Ustazah Syamsiah menjadi ahli panel pada program kali ini. Fatihah selaku ahli panel pertama telah menyampaikan fakta-fakta realiti tentang tekanan dan kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh wanita berkerjaya iaitu antaranya gangguan seksual di tempat kerja, bebanan waktu bekerja yang terlalu lama dan risiko menghantar anak ke tempat asuhan. Beliau juga telah membentangkan faktor yang mendesak dan memaksa wanita bekerja iaitu antaranya kerana menampung perbelanjaan keluarga, membayar hutang pelajaran, mengekalkan status sosial dan mengejar kemewahan. Di akhir pembentangan, beliau menyimpulkan bahawa semua cabaran yang dihadapi oleh wanita berkerjaya ini berpunca daripada pelaksanaan sistem kapitalisme dan sekularisme dalam kehidupan manusia saat ini.

Majlis berhenti rehat sambil hadhirat disajikan dengan tayangan multimedia. Seminar disambung dengan ahli panel kedua, Syamsiah, menjelaskan hukum wanita bekerja menurut Islam. Beliau menekankan bahawa Islam mengharuskan wanita untuk bekerja namun wanita tetap terikat dengan pelbagai hukum syarak ketika dia keluar bekerja demi menjaga kehormatan dirinya.

Wanita juga tidak boleh mengabaikan kewajipan utamanya sebagai ibu dan pengatur rumah tangga, menuntut ilmu dan berdakwah, jelasnya. Walau bagaimanapun jika seluruh hukum Islam dilaksanakan oleh setiap individu, masyarakat dan negara, tidak ada lagi wanita yang ‘terpaksa’ keluar bekerja seperti sekarang. Pelaksanaan hukum Islam secara keseluruhan ini hanya dapat dijalankan melalui sebuah institusi negara iaitu Daulah Khilafah, tambah beliau lagi.

Di akhir pembentangan, beliau telah memberi motivasi kepada Muslimah yang seharusnya menjadi ejen perubah dalam masyarakat untuk memastikan masyarakat hidup dalam sistem Islam.

Seminar diakhiri dengan sesi soal jawab untuk memberi peluang kepada peserta mengutarakan persoalan kepada kedua-dua ahli panel. Pelbagai soalan telah dikemukakan terutamanya berkaitan bagaimana wanita perlu menyeimbangkan masa antara kerja dan peranan sebagai pendakwah, bagaimana membentuk generasi supaya tidak menjadi seperti generasi yang mementingkan manfaat material saat ini dan beberapa persoalan lain.