Hina pihak berkuasa agama: Dua anggota HTM dipanggil bela diri

KUALA KUBU BARU 30 Ogos – Mahkamah Rendah Syariah Hulu Selangor telah memerintahkan dua orang anggota HTM untuk membela diri atas tuduhan menghina pihak berkuasa agama Islam Selangor.

Hakim Abdul Halim bin Abu Samah memutuskan bahawa pihak pendakwa berjaya membuktikan kes ala ghalabati dzan (di atas keraguan yang munasabah) sehingga wujudnya kes prima facie terhadap tertuduh.

Tertuduh, Darukhutni bin Zainal Abidin dan Ahmad Kashfi bin Ali kelihatan tenang sahaja mendengar keputusan yang dibacakan, yang sudah pun dijangka sejak awal.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Mereka telah ditangkap dan didakwa pada 06/11/2019 gara-gara menyerahkan naskhah jawapan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) kepada dua orang penceramah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah memberikan ceramah di sebuah masjid di daerah Hulu Selangor dengan memfitnah Hizbut Tahrir sebagai sesat berikutan fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor.

HTM telah menjawab secara rasmi fatwa fitnah tersebut yang telah pun diserahkan kepada Jabatan Mufti Selangor pada 28/06/2016, yang sehingga kini gagal dijawab oleh pihak Mufti. Sebaliknya pihak berkuasa agama Islam Selangor terus menggunakan kuasa mereka untuk menangkap mana-mana anggota Hizbut Tahrir yang cuba menjelaskan kedudukan sebenar fatwa tersebut.

Mahkamah telah menetapkan 1 November depan sebagai tarikh untuk membela diri. Kedua-dua tertuduh diwakili oleh peguam syarie Tuan Musa Awang daripada MA & Associates.