Jurucakap HTM Ditangkap Pihak Berkuasa Agama

BANDAR BARU BANGI 30 Mac – Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman telah ditangkap oleh sepasukan anggota penguatkuasa agama daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di perkarangan mahkamah syariah Hulu Langat, hari ini.

Abdul Hakim yang baru selesai menghadiri sambungan perbicaraan kes penangkapan beliau dan tiga lagi anggota HTM di Mahkamah Syariah Hulu Langat, telah ditangkap oleh JAIS sejurus keluar daripada dewan mahkamah. Ini merupakan tangkapan kedua terhadap beliau, setelah penangkapan kali pertama oleh JAIS pada 04/12/2015.

Tangkapan yang berlaku kira-kira jam 2 petang itu adalah hasil waran tangkap yang dikeluarkan oleh hakim Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru, Mohd Afizul Hakim Bin Ibakarim. Waran tangkap yang dialamatkan kepada Ketua Penolong Pengarah JAIS itu memberi kuasa kepada Ketua Penolong Pengarah JAIS untuk menangkap dan membawa Abdul Hakim ke pejabat Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 58 (2) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003.

Beliau telah dibawa dengan van JAIS dan dipercayai terus dibawa ke ibu pejabat JAINJ di Johor Bahru sekitar jam 2.45 petang.

Walaupun tidak disebutkan di dalam waran tangkap yang Jurucakap HTM itu ditangkap untuk memberi keterangan atas kesalahan apa, namun hampir pasti bahawa ia adalah terkait dengan tindakan beliau menghantar Memorandum Bantahan ke Jabatan Mufti Johor pada 27/09/2020 yang lalu, bagi membantah fatwa yang sarat dengan fitnah dan pembohongan ke atas Hizbut Tahrir, yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Johor.

Jurucakap HTM telah mengadakan Sidang Media Atas Talian pada 05/10/2020 bagi menjawab segala fitnah yang terdapat dalam fatwa Johor. Malah HTM telah pun menjawab secara rasmi (secara bertulis) akan segala fitnah, pembohongan, pemesongan fakta dan kekeliruan ke atas Hizbut Tahrir yang terdapat dalam fatwa Johor tersebut dan ia telah pun disiarkan di laman sesawang HTM, selain diserahkan melalui serahan tangan ke ibu pejabat JAINJ di Johor Bahru pada 09/12/2020. Malangnya pihak berkuasa agama Johor bukan sahaja gagal memberi jawapan balas, sebaliknya menggunakan kuasa mereka untuk menangkap Jurucakap HTM itu.

Apa yang juga menimbulkan persoalan dari segi undang-undang di sini ialah bagaimana mungkin Mahkamah Syariah di Johor boleh memberi kuasa kepada JAIS untuk menangkap seseorang di luar Johor, sedangkan bidangkuasa mahkamah syariah dan penguatkuasaan syariah hanyalah terhad kepada negeri masing-masing sahaja.

Apa pun, kami menyatakan bantahan dan kekesalan di atas penangkapan ini, kerana apa yang seharusnya dilakukan oleh pihak berkuasa agama Johor ialah menarik balik fatwa fitnah tersebut, atau setidak-tidaknya melakukan muzakarah bagi menentukan siapakah yang berada di pihak yang benar dalam isu fatwa ini, bukannya dengan menggunakan kuku besi dalam menyelesaikan masalah.

Berita selanjutnya akan menyusul.