Jurucakap dan 3 lagi anggota HTM ditangkap JAIS

01BANDAR BARU BANGI 4 Disember – Semasa sidang media khas yang diadakan oleh Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) bagi menjelaskan fitnah dan kekeliruan dalam fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Selangor bertarikh 17 September 2015, pejabat HTM di mana sidang media itu berlangsung diserbu oleh sekumpulan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), lalu menahan empat orang anggota HTM. Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Sidang media yang berjalan dengan baik itu terus menjadi kecoh dengan serbuan tersebut dan kesemua wartawan kelihatan tidak senang dengan tindakan JAIS itu. Pihak JAIS telah bertindak menahan Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman serta 3 lagi anggota HTM yang lain serta menggeledah dan merampas barang-barang yang ada di pejabat HTM. Antara barang yang dirampas termasuklah komputer riba milik Abdul Hakim, al-liwa’ dan al-rayah (bendera), beberapa keratan akhbar mengenai fatwa dan kesemua gambar yang terlekat di dinding dan papan notis pejabat HTM itu. Turut dirampas ialah mafler yang tertera kalimah tauhid yang sedang dipakai oleh keempat-empat anggota HTM terbabit semasa sidang media tersebut.

Dalam kenyataannya sebelum dibawa keluar dari pejabat, Jurucakap HTM sempat berkata, “Kami membantah penangkapan ini yang dilakukan atas agenda tertentu dan bertentangan dengan hukum syarak”.

Kesemua mereka kemudian dibawa ke Kompleks Islam Daerah Hulu Langat untuk siasatan lanjut dan dibebaskan dengan ikat jamin pada petang itu juga. Mereka dipanggil semula untuk memberi keterangan pada 7 dan 8 Disember.

Fatwa dan penangkapan ini jelas membuktikan ketakutan pihak berkuasa agama Selangor untuk berhadapan dengan Hizbut Tahrir secara ilmiah dan intelektual sehingga mereka terpaksa berbuat demikian bagi menghalang dan menghentikan aktiviti dakwah Hizbut Tahrir yang semakin diterima oleh umat Islam.