Jurucakap dan aktivis HTM ditangkap

Peserta demonstrasi melaungkan ucapan menuntut pembebasan Ust Hakim dan Ust Umar di pintu pagar IPD Dang Wangi
Peserta demonstrasi melaungkan ucapan menuntut pembebasan Ust Hakim dan Ust Umar di pintu pagar IPD Dang Wangi

Pada hari Jumaat 20 November 2015, sepasukan polis Cawangan Khas dari Bukit Aman telah menangkap Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) Ustaz Abdul Hakim Othman dan salah seorang aktivis HTM, Ustaz Umar Hussein di kediaman masing-masing di Bandar Baru Bangi dan Batu Caves, Selangor.

Dalam serbuan yang dilakukan lebih kurang jam 6.30 pagi itu, pihak polis turut merampas telefon bimbit dan komputer peribadi milik Jurucakap HTM itu.

Kedua mereka yang ditangkap di bawah Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah itu, kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi untuk disoal siasat dan tahanan lanjut. Soal siasat dijalankan oleh sepasukan anggota Cawangan Khas, Bukit Aman dari jam 8 pagi hingga 6 petang, sebelum mereka di bawa ke lokap Jinjang pada sebelah malamnya.

Soal siasat selama lebih kurang 10 jam itu ternyata dilakukan atas sebab penglibatan kedua aktivis tersebut di dalam Hizbut Tahrir dan aktiviti-aktiviti Hizbut Tahrir serta fikrah-fikrah Islam yang dibawa oleh Hizbut Tahri selama ini yang ternyata tidak disenangi oleh kerajaan serta ada unsur untuk mengaitkan Hizbut Tahrir dengan kumpulan bersenjata Islamic State (IS).

Walaupun kedua mereka dilayan dengan baik di sepanjang siasatan dilakukan, termasuk kebenaran untuk makan, minum dan ke bilik air, namun mereka tidak dibenar sama sekali untuk menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut. Kedua aktivis HTM ini membantah sikap tidak takutkan dosa yang ditunjukkan oleh pegawai yang menyiasat, namun langsung tidak diendahkan. Ternyata perintah ketua mereka lebih ditaati dan ditakuti oleh pegawai penyiasat ini berbanding perintah Allah SWT.

Hakim dan Umar diambil dari lokap Jinjang lebih kurang jam 5 pagi dan di bawa semula ke IPD Dang Wangi dan diberitahu bahawa mereka telah dibebaskan. Namun demikian, polis meminta kerjasama untuk meneruskan soal siasat berhubung dua demonstrasi yang diadakan oleh HTM untuk menolak Obama di Putrajaya dan Kedutaan Amerika pada 6 dan 13 November lepas.

Kenyataan diambil daripada kedua-dua aktivis HTM itu oleh pegawai penyiasat IPD Dang Wangi sehingga jam 3.30 petang sebelum mereka “benar-benar” dibebaskan lebih kurang jam 3.45 petang.

Di luar IPD, lebih 100 anggota HTM, termasuk keluarga kedua-dua yang ditangkap telah pun berhimpun untuk menuntut pembebasan Jurucakap dan anggota HTM itu. Ustaz Hakim di dalam kenyataannya menjelaskan bahawa beliau membantah tangkapan yang dilakukan oleh Cawangan Khas, Bukit Aman itu, yang ternyata menyalahi hukum syarak dan akan pasti dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.