28 Rejab – Seruan Kebangkitan Khilafah Bergema

Bersempena memperingati detik hitam keruntuhan Khilafah Islam terakhir genap 98 tahun lalu, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah mengadakan siri demonstrasi aman di beberapa buah masjid di seluruh negara selepas selesai solat Jumaat, semalam.

Khilafah, institusi pemerintahan Islam yang telah menaungi umat Islam selama lebih 1,300 tahun telah diruntuhkan pada tanggal 28 Rejab 1342H, bersamaan 3 Mac 1924 apabila sang pengkhianat, Kemal Atarturk mengumumkan pembubarannya pada tarikh tersebut.

Semenjak ketiadaan institusi ini, umat Islam telah ditimpa dengan pelbagai bentuk ujian, mengalami kemunduran taraf berfikir, dan mengalami kerosakan dari segi cara berfikir serta tidak lagi menerapkan syariat Allah secara kaffah dalam kehidupan.

Dalam seruan tersebut, HTM turut menyoroti dua lagi peristiwa penting dalam lipatan sejarah Islam yang berlaku dalam bulan Rejab. Dua peristiwa tersebut adalah peristiwa Isra’ dan Mikraj Rasulullah SAW yang berlaku pada 27 Rejab, serta pembebasan Baitulmaqdis oleh Salahuddin al-Ayyubi pada 583H. Kini tanah yang menjadi saksi kedua-dua peristiwa tersebut sedang berada dalam cengkaman rejim Yahudi Zionis yang menzalimi umat Islam di Palestin.

HTM juga mengingatkan umat mengenai kewajipan mendirikan semula khilafah yang melaksanakan syariat Islam serta menyebarluaskannya ke segenap penjuru dunia, serta akan menjadi pelindung umat Islam. Sesungguhnya peristiwa keruntuhan Khilafah pada tanggal 28 Rejab ini bukanlah sekadar untuk diratapi, bahkan menjadi pemangkin untuk umat ini bersama-sama Hizbut Tahrir untuk berusaha gigih ke arah mengembalikannya institusi agung yang merupakan sebuah kewajipan yang telah sekian lama tertangguh ini.