3,000 hadir temuduga terbuka Jabatan Pelajaran
Lebih 3,000 pencari kerja menghadiri sesi temuduga terbuka di Jabatan Pelajaran Negeri Kedah di sini hari ini. Pengarah Pelajaran Kedah, Shahidan Abd Rahman, berkata empat jenis jawatan ditawarkan termasuk guru siswazah kontrak, pegawai tadbir kontrak, penolong pegawai tadbir kontrak dan pembantu tadbir kontrak. Temuduga terbuka itu, yang sepatutnya diadakan sehari sahaja, di lanjutkan sehingga esok disebabkan terlalu ramai yang hadir, katanya. Temuduga serupa turut diadakan di beberapa negeri lain.– BERNAMA
[Utusan Malaysia: 14/05/09]
Ada yang kecewa dan ada yang gembira. Yang pastinya ramai agak kecewa melihat ramainya yang datang ke sesi temuduga terbuka tersebut untuk bersaing bagi mengisi jawatan kosong yang entah berapa banyak bilangannya.
Di dalam Negara Islam, adalah menjadi kewajiban bagi negara untuk menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyatnya. Rakyat juga perlu memahami bahawa yang wajib untuk mencari nafkah bagi menanggung orang yang di bawah tanggungjawabnya adalah pihak lelaki, bukannya wanita. Maknanya, yang wajib keluar rumah untuk bekerja adalah golongan lelaki. Bagi wanita, hukumnya adalah mubah jika pekerjaan tersebut masih di dalam linkungan persekitaran yang dibenarkan oleh syara’.
Namun begitu, dengan penerapan sistem Kapitalisme yang senantiasa menekan dan menghimpit kehidupan rakyat, kita dapat melihat bagaimana semua golongan termasuk wanita telah terpaksa dan dipaksa untuk turut bersaing mendapatkan pekerjaan bagi menampung kehidupan dan membantu tanggungan keluarga. Lebih buruk lagi, ada golongan wanita yang bekerja semata-mata kerana ingin mencapai semaksimum mungkin kekayaan material akibat dari tekanan psikologi masyarakat kapitalis hari ini. Tekanan kehidupan di dalam sistem kufur yang tidak adil ini telah mendorong masyarakat kepada situasi seperti yang kita perhatikan hari ini. Inilah kekejaman sistem Kapitalisme. Malangnya, para pemimpin umat Islam saat ini masih terus menerapkan sistem yang rosak ini.
Di dalam Islam, pihak wanita, jika telah berumahtangga, kerja yang wajib dan utama bagi mereka adalah sebagai ibu dan pengurus rumahtangga. Mungkin ramai di kalangan wanita hari ini yang merasa dirinya lebih rendah jika kerjaya mereka adalah sebagai ibu dan pengurus rumah tangga berbanding dengan pengurus sebuah syarikat. Pemikiran seperti ini merupakan kesan dari pemikiran Kapitalisme yang sedang melanda umat Islam hari ini. Kita sering dipaparkan dengan kejayaan wanita yang berkerja sebagai guru, doktor, pengurus, jurutera dan sebagainya namun jarang sekali kita didedahkan dengan kejayaan sebenar seorang wanita sebagai ibu yang mengurus serta menjaga rumahtangganya untuk melahirkan sebuah keluarga dan generasi yang Islami. Keadaan inilah yang mendorong kehidupan masyarakat untuk terus dihimpit dengan pelbagai tekanan secara berterusan. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar”. [TMQ al-Ahzaab (33) : 35]
Allah menjadikan wanita dan lelaki setara dalam tanggungjawab mereka terhadapNya. Namun sistem hari ini memutarbelitkan fakta tersebut sehingga umat keliru mana yang wajib, mana yang mubah dan umat hilang pertimbangan dalam menilai kemuliaan suatu tanggungjawab itu. Sampai bila lagi keadaan ini harus berterusan?