70 NGO berhimpun di PWTC

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Kira-kira 500 wakil daripada 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini bagi menyatakan sokongan terhadap Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melabelkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat bangsa.  Mereka yang berhimpun selama dua jam bermula pukul 10 pagi di pekarangan Menara Dato’ Onn, bangunan itu, terdiri daripada para pemimpin dan ahli UMNO di pelbagai peringkat yang mewakili bahagian-bahagian parti di seluruh negara serta NGO.  Antara NGO terlibat termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Gabungan Kelab Belia Malaysia (MAYC).  Sebaik sahaja Muhyiddin tiba di pekarangan Menara Dato Onn, laungan ‘Hidup Tan Sri Muhyiddin’ bergema sebagai tanda sokongan kepada beliau.
Selain itu, orang ramai yang berhimpun di situ juga melaungkan kata-kata berbentuk kecaman terhadap Anwar termasuk ‘Jahanam Anwar Ibrahim’.  Kumpulan tersebut turut dilihat membawa sepanduk dan kain rentang yang tertulis ‘Teruskan perjuanganmu, GPMS sentiasa menyokong dan bersama Tan Sri’ serta 1Malaysia memerlukan ‘Pemimpin berani dan lantang seperti Tan Sri’.   Muhyiddin yang meluangkan masa seketika sebelum menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di situ turut bersalaman dengan mereka yang hadir.   Salah seorang wakil NGO itu turut menyampaikan memorandum yang mewakili kesemua mereka di situ sebagai tanda sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.   Usul memorandum itu turut mendesak Anwar dikenakan tindakan sewajarnya kerana menghina orang Melayu dan membelakangkan sejarah pembentukan negara Malaysia.   Turut hadir memberi sokongan ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang meluangkan masa kira-kira 10 minit di situ.   Naib Presiden GPMS, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya menggesa agar ketua pembangkang itu ditahan mengikut Akta Keselamatan Negeri (ISA) kerana boleh mencetuskan ketegangan kaum di Malaysia.   Katanya, Anwar secara terang-terangan menentang dasar-dasar yang melibatkan kepentingan orang Melayu seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB).   

Tambahnya, selain itu, kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut yang berjanji akan memberi hak sama rata kepada semua bangsa jelas memperlihatkan betapa rakusnya Anwar.   “Walhal sejarah dan perlembagaan negara telah terbukti akan hak-hak dan kepentingan orang Melayu dan bumiputera yang harus dijaga dan dipelihara,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.   Menurutnya lagi, tindakan Anwar yang berulang kali menyatakan perkara tersebut mengundang rasa tidak puas hati orang Melayu dan mampu mengugat keselamatan negara secara keseluruhan.   Sementara itu, Setiausaha Gabungan Badan NGO, Mohd. Jurit Ramli berkata, tindakan menyokong Muhyiddin bukan fahaman sempit dan perkauman, sebaliknya rasa tanggungjawab untuk mengekalkan kesejahteraan serta kemakmuran negara.   “Sebagai sebuah negara majmuk dan berbilang kaum, kami yakin formula pembangunan negara yang diwujudkan kepimpinan terdahulu masih relevan. Ia boleh diaplikasikan dengan penambahbaikan pada masa depan,” ujarnya.    Dalam pada itu, Pengerusi Unit Pidato dan Penghujahan Umum Pemuda UMNO, Lokman Noor Adam berkata, Anwar layak dilabelkan sebagai pengkhianat agama, bangsa dan negara kerana tindakannya yang melampaui batas.   “Saya pernah berkerja sekali dengan beliau (Anwar) dan saya tahu cara Anwar secara peribadinya,” katanya.   Lokman menambah, sekiranya dilihat dalam konteks bangsa Melayu, Anwar adalah orang yang bertanggungjawab melaungkan slogan menghapuskan DEB.   Malah katanya, Anwar juga mahu meletakkan seorang Timbalan Perdana Menteri dari kaum Cina dan India sekiranya dia menjadi Perdana Menteri.   “Tindakan Anwar tidak berhenti di situ, malah dia cuba membawa yayasan Kristian yang menaja Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC). Jika dilihat dalam 14 tuntutan dalam IFC, saya yakin kalau kita sebagai orang Islam menyokongnya, akidah kita akan rosak.  “Dia (Anwar) sanggup buat apa sahaja untuk menjadi pemerintah sungguhpun benda itu bercanggah dengan Islam,” ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia: 11/08/09

Semuanya Pengkhianat?

Inilah pemikiran dan permainan politik yang ada di kalangan sebahagian umat Islam hari ini. Ya, kita tidak menafikan bahawa Anwar yang teracu dengan acuan politik sekular Kapitalisme tidak mustahil melakukan apa sahaja untuk kepentingan politik dan agenda peribadinya. Hatta kita dapat melihat pada hari ini parti Islam pun boleh berkerja sama dengan parti kufur dan sekular atas “alasan” kerjasama politik. UMNO hakikatnya perlu melihat bahawa Anwar itu adalah hasil dari didikan mereka sendiri. Siapakah yang memperkenalkan politik sekular Kapitalisme kepada Anwar?  Bukankah Mahathir yang mula-mula sekali menjinakkan Anwar dengan politik kotor Kapitalisme itu? Dalam dunia politik Kapitalisme kaedah “matlamat menghalalkan cara” adalah sesuatu yang lumrah. Maka tidak hairan jika Anwar akan melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat yang ingin diperolehinya. Kerana inilah mungkin di antara ilmu-ilmu yang beliau warisi dari hasil didikan yang diterimanya selama bertahun-tahun beliau di dalam UMNO, sebelum akhirnya ditendang keluar. Bagi golongan yang memekikkan Anwar sebagai pengkhianat maka apakah mereka juga sedar bahawa perjuangan mereka yang menyeru ke arah ashobiyyah itu juga adalah suatu bentuk pengkhianatan. Kepada siapa? Pastinya pengkhianatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Apakah kalian sebagai seorang Muslim tidak merasakan kalian dikhianati oleh para pemimpin kalian yang tidak menerapkan Islam di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara? Apakah kalian tidak menyedari bahawa para pemimpin kalian juga semenjak merdeka sehingga hari ini telah mengkhianati Allah SWT dan Rasulullah SAW apabila mereka dengan rasa tidak berdosa menerapkan perlembagaan kufur yang diberikan oleh Lord Reid dan mencampakkan syari’at Islam.  Bukankah ini semua adalah bentuk-bentuk pengkhianatan? Jika kalian tidak merasakan perkara-perkara ini juga merupakan pengkhianatan, maka sebenarnya kalian telah mengkhianati diri kalian sendiri.

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”. [TMQ Al Anfaal (8) : 27].