Bumbung Stadium Runtuh – Siapa Bertanggungjawab?

altBumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang bernilai RM292 juta dan menjadi venue utama Sukan Malaysia (Sukma) 2008 runtuh menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah.

Kerosakan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium sepanjang 400 meter. Ia menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam dan tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan (VIP).

Tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu termasuk pengarahnya, Ahmad Sabri Hussin berada di tempat kejadian bagi mengumpul maklumat serta keterangan berhubung kejadian itu.

Sumber : Utusan Malaysia, 03/06/09


Siapa Yang Bertanggungjawab?

Tiba-tiba sahaja bumi Terengganu digegarkan oleh gegaran gunung berapi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak. Mungkinkah ianya kesan dari muntahan larva politik negeri di bawah pimpinan UMNO yang masih terus bergolak? Stadium yang nilainya jutaan ringgit telah menyembah bumi walaupun usianya baru setahun jagung. Stadium ini masih lagi belum menobatkan jaguh yang memecahkan rekod dunia dalam acara yang dipertandingankan namun bangunan itu sendiri telah melakarkan sejarah sebagai stadium yang paling awal menggegarkan bumi. Bayangkanlah dengan rasa keinsafan harga sebesar RM292 juta itu jika ianya digunakan untuk mendirikan rumah untuk rakyat yang kosnya RM40,000 sebuah – sebanyak 7300 buah keluarga akan mendapat manfaatnya.

Andaikata jika wang sebanyak itu digunakan untuk membantu menyediakan pendidikan yang terbaik untuk rakyat, bayangkanlah betapa ramai pelajar yang akan mendapat kemudahannya. Jika wang sejumlah itu digunakan untuk membina hospital (sebagaimana kos pembinaan Hospital Daerah Baling yang berharga RM 31 juta [kos pada tahun 1993]) maka kita boleh mendirikan lebih kurang 9 buah hospital untuk dimanfaatkan oleh jutaan rakyat. Sekiranya wang yang sebanyak itu digunakan untuk menaja pelajar perubatan yang dianggarkan RM 2 juta seorang maka kita boleh melahirkan seramai 146 orang doktor.

Inilah dunia Kapitalisme hari ini! Ya, mungkin jika kejadian runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ini tidak berlaku maka mungkin ramai di kalangan kita yang tidak mengetahui bahawa sebenarnya ada barah yang menular di dalam pemerintahan negara hari ini. Hanya apabila kejadian seperti ini berlaku barulah ramai pihak yang mula bersuara dan memberikan pelbagai pandangan berkenaan isu ini. Persoalannya kini siapakah yang harus dipersalahkan dalam kejadian ini? Apakah lagu “bangau oh bangau kenapa hari tak mahu hujan” akan kembali dikumandangkan? Apakah jurutera kita hari ini tidak berkualiti? Apakah para arkitek telah tersalah dalam perancangan mereka ? Apakah para jurutera kita tersalah dalam pengiraan mereka? Ataupun ada pihak tertentu yang tak habis-habis menelan wang haram dari rasuah?  Mungkin nelayan yang sedang memerah keringatnya bertarung dengan ombak di lautan China Selatan untuk mencari sesuap nasi ada jawapannya?  Wahai pemimpin umat Islam! Ingatlah bahawa kamu akan dipersoalkan oleh Allah SWT  kelak di hari yang tidak ada pertolongan bagi kamu kecuali melalui amal yang telah kamu lakukan di dunia ini!