Maknyah terkedu pelanggan meninggal dunia
Harian Metro difahamkan, mangsa yang baru tiba di bilik sewa berkenaan berbaring di atas katil sebelum mangsa memegang dadanya sebelum terus tidak sedarkan diri. Terkejut dengan keadaan mangsa, mak nyah berusia 31 tahun itu berasal dari Tanah Merah, Kelantan itu menghubungi rakannya untuk meminta bantuan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis dan ambulans.
Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan, Zulkifli Taha, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
Sumber : myMetro, 29/06/09
Setiap jiwa akan pasti merasai mati. Allah SWT menjadikan kehidupan dan kematian ini sebagai ujian bagi manusia yang hidup di dunia ini. Firman Allah SWT:
“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”. [TMQ al Mulk (67) : 2]. FirmanNya lagi “Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh”. [TMQ an Nisaa’ (4) :78].
Adalah suatu yang amat mendukacitakan kita sebagai kaum Muslimin membaca kisah seumpama ini berlaku di kalangan umat Islam. Alangkah bahagianya seorang muslim itu jika dia menghabiskan usianya untuk menjadi pejuang Islam sebagaimana para sahabat nabi SAW dan bukan sebaliknya menghabiskan hidupnya dengan mengikuti hawa nafsu kehidupan kufur hari ini. Kehidupan hari ini, yang didominasi oleh pemikiran kapitalisme, melihat kebahagian hanya dalam konteks pemuasan keinginan semaksimun yang mungkin tanpa pertimbangan halal mahupun haram. Sedangkan Allah SWT telah menjelaskan ciri-ciri mukmin itu adalah mereka yang akan beroleh kemenangan dengan memiliki shakysiah Islam yang dicirikan oleh Allah SWT. FirmanNya:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya, – Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: – Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi – Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya”. [TMQ al Mu’minun (23) :1-11].
Inilah bukti kegagalan sistem kehidupan kapitalisme yang berakar umbi di dunia umat Islam hari ini dan masih dipertahankan dan disayangi oleh para pemimpin hari ini. Wahai pemimpin umat Islam! Apakah kamu tidak merasa bersalah dengan apa yang berlaku terhadap umat Islam hari ini?