Senarai Kemungkaran

KUALA KRAI 10 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas kepimpinan Pas kerana masih belum menyahut cabarannya yang dibuat tiga hari lalu supaya membuktikan tuduhan bahawa UMNO tidak memperjuangkan syiar Islam. Timbalan Perdana Menteri berkata, cabaran itu dibuat kerana Pas secara konsisten membuat tuduhan tersebut walaupun terdapat pelbagai bukti jelas bahawa UMNO memberi keutamaan dalam aspek itu.

 

“Saya dah cabar di kampung Manek Urai Lama kerana dia kata kita tak perjuangkan Islam dan tak majukan macam-macam hal. Saya cabar dia senaraikan dari tempoh 20 tahun lalu sampai hari ini apa rencana pembangunan baik yang berbentuk agama dan sosial ekonomi yang dilaksanakan pimpinan Pas Kelantan. Saya nak tahu sebab dah tiga hari saya cabar tapi belum jawab lagi. Cuba senaraikan (apa yang dilakukan Pas) dan saya akan senaraikan juga (apa yang dilakukan UMNO),” katanya sewaktu berucap pada Majilis Mesra Rakyat di Kampung Temalir, di sini hari ini.

 

Pi mai pi mai tang tu kata orang utara. Islam masih lagi tak tertegak, samada oleh UMNO mahupun PAS, di Kelantan mahupun di Malaysia. Masing-masing berbalah dan berpecah kerana parti dan motif perjuangan yang berbeza. Yang pastinya masing-masing masih gagal menyediakan senarai lengkap hukum-hakam Allah yang wajib dilaksana oleh hambaNya. Polemik berpolitik mempermainkan isu agama sudah basi dan memualkan para pemerhati yang rindukan kebangkitan Islam yang sebenar. Isu perpaduan hanyalah merupakan suatu retorik selagi kedua-dua parti majoriti umat Islam itu terjebak dengan perangkap politik Machiavelli.

 

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.[TMQ Al-An’am (6):153]