Masuk PAS masuk syurga? Jangan samakan ‘parti’ dengan ‘Islam’

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini menegaskan bahawa seseorang yang menyertai PAS dan berjuang bersama parti itu di atas apa yang disebutnya sebagai landasan Islam pasti masuk syurga. Kenyataan penuh kontroversi itu diucapkannya ketika berceramah sempena Muktamar PAS ke-75 di Kota Bharu.

Beliau menerima kecaman hebat hasil kenyataan tersebut, yang dilihat cuba menghidupkan kembali isu lama yang sering dikaitkan dengan PAS. Tanpa melihat apakah tujuan beliau membangkitkan kembali perkara tersebut, dan tanpa prejudis terhadap beliau, kata-kata Takiyuddin itu perlu dinilai secara saksama dalam menentukan benar atau salah. Ucapan yang terkait dengan akidah itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa meletakkan kefahaman yang benar mengenainya.

Secara tepatnya, Setiausaha Agung PAS itu berkata, “Masuk PAS, terima Islam, berjuang di atas landasan Islam, nakkan Islam samada di dunia atau akhirat, masuk PAS cara itu insya Allah kita boleh masuk syurga apabila kita mati kelak. Itu pasti..”

Kenyataan tersebut perlu dilihat dalam konteksnya. Takiyuddin tidak mengatakan bahawa seseorang akan masuk syurga semata-mata kerana masuk PAS, atau kerana menjadi ahli PAS atau kerana mengundi PAS. Intipatinya ialah “masuk PAS, menerima Islam dan berjuang di atas landasan Islam” yang dengan cara demikianlah seseorang boleh masuk syurga secara pasti.

Persoalan yang perlu ditanyakan ialah jika tidak masuk PAS tetapi tetap “menerima Islam dan berjuang di atas landasan Islam”, adakah ini juga akan memasukkan seseorang ke dalam syurga? Jika jawapannya ya, maka syarat untuk masuk syurga bukanlah dengan “masuk PAS”. Namun, jika jawapannya tidak, maka “masuk PAS” menjadi satu-satunya syarat untuk seseorang masuk syurga, dan ini merupakan sebuah penyelewengan akidah. Takiyuddin perlu menjawab soalan ini bagi menjernihkan kekeliruan.

Setelah soalan tersebut terjawab, barulah kita beralih kepada persoalan berikutnya iaitu sejauh manakah sesebuah parti itu boleh mendakwa bahawa perjuangannya benar-benar berada di atas landasan Islam, yang melayakkan orang yang menyertainya untuk masuk syurga? Bolehkah suatu parti mendakwa bahawa ia berjuang di atas landasan Islam sekiranya jalan yang diambilnya untuk menegakkan Islam adalah berdasarkan jalan yang diberikan oleh kafir penjajah, dan banyak aktivitinya bertentangan dengan Islam?

“Masuk parti” tak sama dengan “masuk Islam”

Walaupun sesebuah parti itu melekatkan nama “Islam” pada partinya, tidaklah secara automatik menjadikan perjuangannya benar-benar atas landasan Islam, dan tidak seyogia untuk ia mendabik dada dengan hal tersebut. Perlu dibezakan antara “masuk PAS” dan “masuk Islam”. Masuk PAS bermakna menyertai sebuah parti, yang tidak ada apa-apa jaminan dari Allah bahawa seseorang akan masuk syurga kerananya. Namun, masuk Islam bermakna seseorang memeluk akidah Islam sehingga melayakkan ia mendapat syurga Allah kerananya.

Sesungguhnya ukuran kebenaran itu terletak pada Al-Quran dan As-Sunnah. Jika perjuangan sesebuah parti itu bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah, maka benarlah perjuangan itu berada di atas landasan Islam. Sebaliknya, jika perjuangan sesebuah parti itu bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah, maka sesungguhnya parti itu telah berjuang di landasan yang salah, walaupun ia mendakwa bahawa ia memperjuangkan Islam.

Ramainya ulama yang berada dalam sesebuah parti atau ramainya jumlah ahli parti berkenaan, juga tidak secara automatik menjadikan parti itu benar, dan tidak secara automatik menjadikan perjuangan parti itu di landasan yang benar. Ini kerana ukuran kebenaran bukan disandarkan kepada ulama dan bukan kepada jumlah ahli. Ukuran kebenaran hanya bersandar kepada Al-Quran dan As-Sunnah semata-mata.

Islam adalah agama daripada Allah, manakala parti politik pula ialah organisasi ciptaan manusia. Setiap parti politik mempunyai kepimpinan, thariqah (jalan), uslub (cara), hadaf (hala tuju), strategi, keputusan dan pendirian politik masing-masing yang boleh jadi betul dan boleh jadi salah. Maka, untuk mengukur kebenaran perjuangan sesebuah parti, ia perlu dinilai dengan Islam, bukannya Islam yang perlu dinilai berdasarkan perjuangan parti tersebut. Jika parti A benar, kebenaran itu diterima kerana kesesuaiannya dengan hukum syarak, bukan kerana ia datang daripada Parti A.

Atas dasar itu, dakwaan sesebuah parti bahawa ia berjuang di atas landasan Islam, tidak secara automatik menjadikan parti itu benar, sehinggalah landasannya itu terbukti menepati Al-Quran dan As-Sunnah. Sungguh aneh jika sesebuah parti itu mendakwa dirinya berjuang atas landasan Islam, namun ia mengambil demokrasi yang jelas bertentangan dengan Islam sebagai landasan perjuangan? Bagaimana mungkin ia dikatakan berjuang atas landasan Islam sekiranya ia mengikat dirinya dengan sistem dan perlembagaan yang datangnya dari kafir penjajah?

Maka, setiap inci tindakan parti politik, bahkan cara berfikir ahli-ahlinya perlu dinilai dari kaca mata syariat – jika menepati syariat maka benarlah landasannya, jika menyalahi syariat maka ia sebenarnya telah tergelincir dari landasan yang benar. Dalam konteks inilah, perlu dibezakan di antara “masuk parti” dan “masuk Islam”. Sesungguhnya kedua-dua hal ini berbeza dan tidak boleh disamakan sama sekali. Dengan “masuk Islam” Insya Allah seseorang itu dijamin syurga oleh Allah, namun tidak demikian halnya dengan “masuk parti”.

Masuk syurga kerana rahmat Allah semata-mata

Apabila berbicara mengenai masuk syurga, ramai yang salah faham bahawa seseorang itu akan masuk syurga kerana amal soleh yang ia lakukan. Memang benar amal soleh wajib dilakukan dan amal salah wajib ditinggalkan, kerana ini merupakan perintah Allah, dan perkara ini sememangnya akan “menghantar” seseorang ke syurga. Dengan kata lain, memang benar bahawa inilah jalan untuk ke syurga. Namun, untuk “masuk ke dalam syurga” Allah, ia sesungguhnya semata-mata bergantung kepada rahmat Allah semata-mata. Sabda Rasulullah (saw):

لَنْ يُدْخِلَ أَحَدًا عَمَلُهُ الجَنَّةَ» قَالُوا: وَلاَ أَنْتَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: «لاَ، وَلاَ أَنَا، إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِي اللَّهُ بِفَضْلٍ وَرَحْمَةٍ

“Amalan seseorang sama sekali tidak akan dapat memasukkannya ke dalam syurga. Para sahabat bertanya: ‘Adakah termasuk engkau juga wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Ya, termasuk aku, melainkan Allah melimpahkan rahmat-Nya kepadaku. (HR Muslim].

Hadis ini bukan bererti amal soleh tidak penting, tetapi ia mengajar kita agar jangan sombong, riya’, takjub, berpuas hati atau selesa dengan amal kita, kerana sesungguhnya syurga itu terlalu mahal untuk hanya diraih dengan amal kita, sehebat mana pun amal itu. Kita wajib melakukan amal soleh demi mendapat redha dan rahmat Allah, dan kita berharap Allah meredhai kita dengan amal itu, dan dengan rahmat-Nya kita akan dimasukkan ke dalam syurga-Nya.

Atas dasar itu, tidak boleh ada yang menyatakan bahawa dengan berbuat begini dan begitu, atau dengan melakukan amal itu dan ini, kita akan “pasti” masuk syurga. Sesungguhnya apa yang pasti ialah kita hanya dapat masuk syurga dengan rahmat Allah, bukan dengan amal kita.

Ingatlah bahawa manusia tidak akan berdiri di hadapan Allah nanti dengan membawa kad keahlian parti untuk mendapatkan syurga, tetapi dia membawa bersamanya iman dan amal.

Namun demikian, ini tidak bermakna bahawa seseorang Muslim itu tidak perlu bersama parti politik atau boleh meninggalkan politik. Berpolitik adalah wajib ke atas setiap Muslim, dan usaha menegakkan agama Allah secara kaffah melalui penegakan Negara Islam (Khilafah) menuntut setiap Muslim untuk berjuang di dalam sebuah parti politik. Perjuangan parti politik pula wajib mengikuti thariqah Rasulullah (saw), yang dengan cara itu sahajalah ia dapat menggapai redha Allah dan syurga-Nya.

Di sinilah setiap Muslim mesti membuat pilihan yang tepat sama ada untuk bersama sebuah parti politik yang benar-benar berjuang di atas landasan Islam, atau atas landasan demokrasi yang menggunakan nama Islam. Terdapat perbezaan mendasar di antara keduanya. Lebih buruk sekiranya dia memilih untuk berjuang di dalam parti sekular atau parti yang memperjuangkan bangsa atau apa sahaja perjuangan selain Islam. Sesungguhnya setiap pilihan akan dihisab, dan menjadi penentu sama ada Allah akan meredhai dan merahmati seseorang itu, atau sebaliknya, untuk dia layak mendapat syurga-Nya.

Wallahu a’lam.