40 keluarga miskin terima bantuan Ramadan

 
LENGGONG 14 Ogos – Seramai 40 keluarga miskin dan ibu tunggal di sini menerima sumbangan wang tunai daripada Kelab Wanita Perak Wilayah Persekutuan (PLC) bagi meringankan beban mereka sempena bulan Ramadan.  Bantuan kewangan bernilai RM500, sepasang pakaian raya dan keperluan Ramadan itu telah disampaikan oleh Penaung PLC, Datuk Seri Raja Azureen Sultan Azlan Shah sempena Program Lawatan Mesra Silaturrahim PLC di Kampung Batu Ring, di sini semalam.  Presiden kelab tersebut, Siti Hendon Chik berkata, objektif program yang diadakan itu adalah untuk membantu golongan miskin tegar.  “Sebenarnya masih ramai golongan miskin tegar di kawasan-kawasan terpencil di Perak. Sebagai anak Perak, kami berasa bertanggungjawab membantu golongan ini terutama ketika bulan Ramadan yang bakal tiba.  “Dengan bantuan penghulu kampung, kita menjejaki kawasan-kawasan ini untuk memberikan bantuan.
Tanggungjawab ini dilakukan setiap tahun dan ini adalah program sama bagi kali yang kelapan,” katanya.   Sementara itu, dalam ucapannya, Siti Hendon berkata, PLC yang terdiri daripada anak-anak jati negeri Perak yang tinggal di Wilayah Persekutuan dan wanita yang berkahwin dengan lelaki berasal dari negeri ini sentiasa aktif dengan kerja-kerja kebajikan.  Menurut beliau, dengan menyertai kelab itu, ahli-ahlinya akan berpeluang menyumbangkan bakti kepada negeri kelahiran sendiri.  Siti Hendon berkata, aktiviti kebajikan dijalankan oleh PLC wajar dicontohi oleh anak-anak Perak yang lain.   “Kita patut bangga dengan negeri kelahiran kita dan sebab itu jika berkesempatan, kembalilah ke kampung halaman untuk membantu golongan kurang berkemampuan agar mereka mampu mencapai kejayaan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia: 15/08/09

Dermawan Ramadhan – Untuk Allah Bukan Manfaat.

Ramadhan belum lagi menjelma tetapi sudah ramai yang mula berlumba-lumba untuk menghulurkan bantuan kepada golongan miskin dan yang memerlukan. Ya, perbuatan memberikan bantuan kepada golongan fakir dan miskin seperti apa yang dilakukan oleh pihak Kelab Wanita Perak Wilayah Persekutuan (PLC) amatlah dipuji. Namun, dengan keadaan dan bebanan kehidupan pada hari ini, jumlah bantuan RM500, sepasang pakaian raya dan keperluan Ramadan yang diberikan adalah suatu nilai yang kecil sebenarnya. Kita yakin kalau Datuk Seri Raja Azureen Sultan Azlan Shah mempelawa kekandanya Raja Datuk Seri Eleena Sultan Azlan Shah, yang merupakan salah seorang daripada 40 orang yang terkaya di Malaysia (2008) ( tempat ke 26 (2008)) untuk turut menderma, sudah tentu jumlah yang jauh lebih besar dapat disumbangkan. Mengikut cacatan tahun lepas (2008) kekayaan Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah berjumlah RM 0.83 billion! Jika Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah menyahut seruan Presiden kelab PLC tersebut, Siti Hendon Chik, bayangkanlah jumlah yang akan diterima oleh 40 orang miskin tersebut!

Ketibaan bulan Ramadhan ini merupakan peluang bagi mereka yang memiliki harta yang lumayan untuk menderma dan membelanjakan harta mereka di jalan Allah.. Kikislah rasa cinta kepada harta yang tidak membawa apa-apa manfaat di hadapan Allah sekiranya tidak dibelanjakan di jalanNya.  Janganlah sampai kebaikan dalam menderma ini hanya untuk bulan Ramadhan sahaja dan janganlah ada hendaknya di sebalik sumbangan-sumbangan tersebut manfaat bagi diri mereka selain dari harapan untuk mendapat keredhaan Allah SWT.