Pelajar miskin dikecuali yuran

 

altSHAH ALAM 29 Julai – Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) memohon kepada kerajaan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) supaya pelajar keluarga miskin dari bandar dan luar bandar yang ibu bapa mereka berpendapatan RM3,000 dan RM1,500 sebulan dikecualikan membayar yuran pengajian. Pada waktu yang sama pelajar-pelajar tersebut mestilah mempunyai sekurang-kurangnya tiga adik-beradik masih bersekolah rendah atau menengah.

Presidennya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata walaupun dimaklumkan bahawa UiTM telah mengadakan skim kebajikan tersendiri untuk membantu pelajar-pelajar miskin tetapi beliau harap jaringan tersebut diperluaskan.

‘‘Pihak alumni juga memohon dan mencadangkan supaya UiTM memperkenalkan biasiswa tahunan yang akan dilaksanakan secara direct grant dimulai dengan mengenal pasti potensi pelajar bumiputera cemerlang mulai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

‘‘Mereka ini akan dibiayai sehingga ke peringkat pengajian doktor falsafah dengan syarat akan menabur bakti semula di UiTM,” katanya.

Mohd. Zain menyatakan demikian pada sidang akhbar dan menerusi kenyataan yang diedarkan selepas mengetuai barisan 14 Ahli Jawatankuasa Persatuan Alumni membuat kunjungan hormat ke atas Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah di sini hari ini.

Beliau berkata, cadangan-cadangan tersebut adalah antara yang dikemukakan dalam pertemuan pertama dengan Ibrahim dengan fokusnya bagaimana mahu mengemblengkan graduan UiTM yang sudah mencecah seramai 362,000 orang.

Tambahnya, disarankan supaya dua pelajar dari setiap negeri dipilih dan dihantar melanjutkan pengajian ke universiti ternama seperti Havard, Oxford, Cambridge, Yale dan Princeton dan Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan ia akan ditetapkan oleh Lembaga Pengarah Alumni UiTM.

‘‘Pihak Alumni juga berhasrat untuk mewujudkan Pusat Perkhidmatan dan Skill Alumni UiTM di setiap negeri dengan menyediakan kelas bahasa Inggeris dengan kadar bayaran minimum kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau menjelaskan, pusat tersebut juga menjadi pusat latihan dan kepimpinan bagi mengkukuhkan jatidiri membina negara bangsa, membimbing kerohanian dalam membina Melayu terhebat dan menyediakan kemahiran bagi mereka yang tercicir alam persekolahan.

Katanya, Yayasan Pendidikan dan Khidmat Sosial Alumni UiTM akan diwujudkan dengan ahli menyumbang RM10 sebulan selain memohon pihak kerajaan menambah dana berasaskan matching grant bagi membantu dalam pihak memerlukan antaranya berkaitan pendidikan dan perubatan.

Sumber : Utusan Malaysia: 31/7/2009

Di dalam sebuah Negara Islam @ Daulah Islamiyyah ada beberapa perkara yang menjadi hak rakyat dan warganegara, di mana perkara tersebut perlu disediakan oleh sesiapa yang menjadi pemerintah di dalam negara tersebut. Perkara tersebut di antaranya adalah setiap warganegara Daulah Islamiyyah baik seorang muslim atau non-muslim , lelaki atau perempuan adalah berhak mendapatkan pendidikan secara percuma bermula dari peringkat asas hingga ke peringkat yang tertinggi yang mampu dicapai oleh seseorang warganegara tersebut. Ini telah dilaksanakan dengan jayanya oleh pemerintah atau khalifah sejak  khalifah yang pertama hinggalah ke khalifah yang terakhir di dalam sebuah Negara Islam. Hasilnya ilmu pengetahuan telah berkembang dengan pesatnya di wilayah Daulah Islam terutamanya di Kota Baghdad dan Cordoba, hingga menarik orang Barat berduyun-duyun ke sana mempelajari ilmu.

Apa yang menjadi masalah sekarang di dalam sebuah negara demokrasi kapitalis seperti Malaysia dan negara-negara lain di dunia, hak umat telah diperniaga dan diperdagangkan oleh pemerintah dan kroni-kroni mereka, maka yang menjadi mangsa adalah kita umat Islam dan juga non-muslim tanpa mengira gender. Kita terpaksa membayar sejumlah wang yang banyak semata-mata  kerana mahu menuntut ilmu, walaupun itu adalah suruhan agama kita. Jadi, bagi mereka yang miskin dan tidak berkemampuan  maka mereka seolah-olah terlepas dari perintah ini walhal kewajiban ini tertaklif ke atas semua. Inilah hakikat yang perlu kita sedari agar kita sama-sama bangun untuk merubahnya supaya hak kita sebagai warganegara terpelihara dengan baik. Untuk memeliharanya perlulah ada seorang yang ikhlas  dan  tawadduk di dalam menjalankan tugas-tugasnya sebagai pemelihara, dan tidak lain, seorang Khalifah yang menjadi perisai umat ini perlu diwujudkan sesegera mungkin. Wallahua’lam