Kewajiban Setiap Muslim Untuk Mencegah Kemungkaran

 
altSHAH ALAM: Rancangan Kerajaan Selangor memberi kuasa kepada pegawai masjid di negeri ini menahan tanpa waran orang Islam yang melakukan kesalahan membabitkan arak, Isnin lalu, dikatakan menyebabkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahukan penjelasan mengenainya.

Difahamkan, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bertemu dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi semalam sebelum mesyuarat Exco.

Perbincangan dengan baginda itu dipercayai menyentuh rancangan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali memberi kuasa kepada pegawai masjid menahan orang Islam yang minum arak.   Apa yang difahami, memandangkan Sultan adalah Ketua Agama di negeri ini, perkara berkenaan perlu dibincangkan dengan baginda terlebih dulu sebelum pengumuman dibuat.

Isu itu dikatakan tidak dibincangkan dalam mesyuarat Exco sebelum Hasan membuat pengumuman itu.

Sumber: Berita Harian 26/08/09

Kewajiban Setiap Muslim Untuk Mencegah Kemungkaran.

Adalah menjadi kewajiban bagi setiap muslim untuk mencegah setiap perkara mungkar yang mereka lihat sama ada dengan menggunakan kuasanya atau lisannya mahupun hatinya. Kewajiban ini berlaku dalam kapasitinya sebagai seorang muslim.

“Barangsiapa yang melihat kemungkaran dari kalangan kamu, hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka (cegahlah) dengan lidahnya (perkataan), jika dia tidak mampu (juga), maka (cegahlah) dengan hatinya (membenci), demikian itulah selemah-lemah iman” [HR Muslim].

Status muslim telah cukup sebenarnya untuk seseorang itu melaksanakan tugas amar makruf dan nahi mungkar yang mulia ini.

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada ssegala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman”). [TMQ Ali ‘Imran (3) : 110].

Kita seharusnya berbangga jika semakin ramai umat Islam yang mahu menyahut seruan Allah SWT ini. Pihak pemerintah sepatutnya memberikan dorongan kepada umat Islam untuk melakukan tugas yang mulia ini. Justeru itu, isu arak ini tidak seharusnya terus menjadi polemik yang berpanjangan. Sebagai Menteri Besar, inilah kesempatan bagi Khalid Ibrahim berjumpa dan memberikan penjelasan berkenaan dengan isu arak ini kepada Sultan Selangor, yang merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri Selangor. Kesempatan yang ada ini haruslah digunakan bagi melakukan muhasabah sesama muslim yang memegang kekuasaan agar pergi lebih jauh dalam menghapuskan maksiat arak ini. Bukan setakat peminum yang harus dihukum, bukan setakat kedai minuman haram ini sahaja yang harus ditutup malah kilang-kilang arak yang ada di negara ini perlu ditutup dan impot arak dihentikan. Bukankah Rasulullah SAW melaknat 10 golongan orang yang terlibat dalam arak?

“1.Orang yang memerahnya (arak), 2.Orang yang meminta diperahkan, 3.Orang yang meminumnya, 4.Orang yang membawanya, 5.Orang yang minta dihantarkannya, 6.Orang yang menuangkannya, 7.Orang yang menjualnya, 8.Orang yang membelinya, 9.Orang yang makan harganya, 10.Orang yang minta dibelikannya”.
[HR Tarmizi dan Ibnu Majah]

Apakah Selangor akan terus mengundang laknat dari Rasulullah SAW dan terus berbangga dengan kilang arak Carlsberg dan Guinness Stout yang masih terus tersergam indah?

Wahai pemimpin umat Islam! Wahai golongan yang berkuasa di negeri Selangor! Janganlah kamu takut kepada celaan orang mencela. Yang ingin kita cari adalah keredhaan Allah SWT bukannya pujian dan sanjungan mahupun populariti dari golongan manusia.  Buktikanlah bahawa kamu mampu menggunakan kuasa yang ada untuk menghapuskan maksiat arak yang ada saat ini. Namun persoalannya, apakah kamu akan benar-benar melakukannya? Apakah umat boleh mengharapkan PR mahupun BN untuk benar-benar menghapuskan arak di Selangor khususnya dan Malaysia umumnya hingga ke akar umbi mengikut pandangan Islam?? Apa yang boleh kita yakini adalah bahawa hanya dengan berdirinya Khilafah untuk kali yang kedua sahajalah, maka persoalan arak ini akan dapat diselesaikan dengan tuntas.