Enakmen Pencegahan Murtad – Mencegah atau Menambah Mungkar?

 

altEnakmen cegah murtad yang telah lama wujud ternyata gagal membendung gejala murtad dan penyebaran agama lain kepada umat Islam. Sebagaimana respon Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, enakmen pencegahan murtad sudah diwujudkan lama dulu bagi membendung gejala itu, tetapi tidak dikuatkuasakan sepenuhnya menyebabkan ada pihak menganggap tidak ada peruntukan undang-undang berkaitan isu ini.

Kini nampaknya undang-undang sekular ini akan diperkasakan lagi dan dikuatkuasakan apabila JAKIM akan mengadakan pertemuan dengan jabatan dan majlis agama Islam negeri yang belum melaksanakan enakmen ini. Setakat ini, negeri yang sudah mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam ialah Kedah, Perlis, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Pahang dan Kelantan. Negeri yang belum ada enakmen berkenaan pula ialah Perak, Wilayah  Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Enakmen ini memperuntukkan hukuman penjara dan denda kepada pesalah dan mungkin pada pandangan Menteri Agama ini sudah cukup memberi pengajaran dan kesan psikologi bagi pesalah. Namun persoalan yang perlu dijawab oleh beliau dengan hati yang Ikhlas ialah, adakah Allah redha akan enakmen ini? Adakah beliau sanggup menguatkuasakan enakmen ini dan melupakan hukum Allah SWT? Adakah beliau lupa akan firman Allah swt:

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”
TMQ [Al-Maidah(5):50]

Wahai Kaum Muslimin! Enakmen ini hanyalah suatu hidangan basi yang sangat memudaratkan umat Islam. Ia hanya berperanan menyalurkan perasaan umat yang membara dek penghinaan atas hukum Allah sejak sekelian lama. Setiap kali api perasaan umat menyala, maka akan ada air kotor yang disimbah untuk ‘memadamkannya’. Tidak boleh tidak umat perlu menolak hukum jahiliyah ini dan mendokong pelaksanaan hudud Allah. Umat tidak lagi boleh lari atau mendiamkan diri dan membiarkan musuh –musuh Islam serta para agen mereka menjalankan agenda busuk untuk melemahkan dan menghancurkan Islam.

Melaksanakan hukum Allah adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan sekarang dan bukan untuk ditangguhkan. Untuk menerapkan hukum yang wajib ini, menegakkan Khilafah Islam sudah tentu menjadi kewajiban yang paling fundamental. Dengannya, bukan hanya hudud, malah seluruh hukum Allah yang membawa kesejahteraan kepada seluruh umat manusia akan juga tertegak.

Sumber : Berita Harian 23/12/2011