Pak Lah Dan Chandra Terperangkap Dengan Jerat Pluralisme

Abdullah lancar projek Piagam Belas Kasih

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, hari ini melancarkan projek Piagam Belas Kasih sedunia bagi Malaysia.

Abdullah berkata, piagam itu adalah satu usaha sama untuk memulihkan bukan sahaja pemikiran dan sifat penyayang tetapi juga sifat kasih mengasihani yang berpusat kepada agama, moral dan kehidupan berpolitik.
“Pelancaran Piagam Belas Kasih di seluruh dunia adalah satu inisiatif murni yang akan mengangkat kefahaman berkasih sayang di kalangan rakyat daripada pelbagai kepercayaan dan menyalurkan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya,” katanya.   Sementara itu, Pengerusi Piagam Belas Kasih di Malaysia, Dr Chandra Muzaffar berkata projek piagam itu adalah satu tugas yang perlu disegerakan untuk membina komuniti global tanpa mengira jantina, bangsa, negara dan idelogi boleh hidup bersama dengan aman dan damai.

“Sifat kasih menjadi satu prinsip yang perlu dijadikan tekad dan tersemat di hati semua orang, kepercayaan beragama dan sistem etnik,” katanya.

Piagam itu diperkenalkan pada Februari 2008 oleh Karen Armstrong, bekas rahib roman katholik yang meninggalkan biara British untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di University Oxford dalam bidang kesusasteraan moden dan menghasilkan lebih 20 buku mengenai idea kesamaan dalam semua agama.

Sumber : Berita Harian, 13/11/09

Pak Lah Dan Chandra Terperangkap Dengan Jerat Pluralisme

Telah terserlah dengan nyatanya kelemahan dan kemunduran cara berfikir golongan yang dikatakan sebagai para intelektual Islam. Mereka terus terjerat dan terperangkap dengan idea untuk menyamakan semua agama atau lebih dikenali dengan konsep pluralisme. Kali ini idea ini ditonjolkan melalui pendekatan projek Piagam Belai Kasih (PBK). Jika sebelum ini umat Islam disogokkan dengan program dialog antara agama, yang antara tujuan utamanya adalah untuk mencari titik kesamaan antara agama-agama besar di dunia saat ini, kini muncul pula projek PBK yang dikatakan mula diperkenalkan oleh Karen Armstrong, bekas rahib katholik.

Kini racun Barat ini diperkenalkan pula di Malaysia oleh Pak Lah Dan Dr Chandra.  Persoalannya, apakah kedua-dua tokoh umat ini sudah tidak dapat melihat keunggulan dan kesucian serta cahaya kebenaran Islam sehinggakan mereka sanggup menggadaikan prinsip dan dasar keunggulan, ketinggian dan kesyumulan Islam? Apakah layak kita menyamakan Islam dengan agama-agama kufur yang lain atas alasan agama, moral dan kehidupan berpolitik?

Wahai umat Islam! Aqidah Islam yang kamu miliki itu tidaklah sekali-kali sama dengan mana-mana agama lain yang ada pada hari ini. Oleh itu dengan tegas kita mengatakan bahawa Islam tidak sama sekali setara walau seberat zarah sekali pun, dengan mana-mana agama atau cara hidup yang wujud hari ini. Amat hinalah golongan yang cuba menyamakan Islam dengan agama-agama lain samada dari segi fikrah mahupun tariqahnya.

Wahai umat Islam! Katakanlah kepada golongan kafir dengan tegas:

 “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”. [TMQ Al-Kaafiruun (109) : 1-6].

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. [TMQ A-li ‘Imraan (3) :19].

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. [TMQ A-li ‘Imraan (3) :85].