Jangan Terperangkap Dengan Demokrasi

electionPRU 13 yang akan datang dijangkakan bakal menjadi pentas pertarungan yang cukup menarik, sengit dan penuh dengan strategi. Antara yang menjadi tumpuan adalah penglibatan aktif beberapa NGO Islam dan tokoh-tokoh agamawan dalam pilihanraya kali ini. Dengan realiti ini,  pasti akan timbul persoalan – adakah ini petanda bahawa Islam sudah semakin mendapat tempat dalam arena politik negara atau adakah penglibatan mereka merupakan satu  strategi politik Machiavelli yang dirancang oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda yang lebih besar iaitu untuk mengekalkan kekuasaan. NGO dan tokoh-tokoh agamawan ini menafikannya bahkan berpendirian bahawa mereka sekadar menggunakan atau memanfaatkan gelanggang PRU sebagai platform untuk memartabatkan Islam.

Jika benar itu niat murni mereka,  tidakkah mereka belajar dan memahami sejarah politik negara bahawa selama ini telah ada parti Islam yang telah lebih lama bergelumang dengan sepak terajang sistem demokrasi yang diamalkan dalam negara ini?  Bahkan parti Islam ini mempunyai pengalaman yang sangat luas dan keanggotaan yang ramai mencecah jutaan ahli, malah mempunyai struktur pentadbiran parti yang cukup tersusun dengan dibarisi oleh individu-individu yang serba berkebolehan dan berkemampuan. Bukan itu sahaja,  pengaruh dan kemampuan mereka dalam mempengaruhi perjalanan politik negara juga tidak dapat dipertikaikan. Namun, sama ada mereka akui ataupun  tidak, secara sedar ataupun tidak, pada hakikatnya mereka terpaksa tunduk dengan tipu helah dan perangkap demokrasi yang akhirnya menyebabkan bahtera mereka yang asalnya membawa agenda Islam kini sudah semakin hampir dikaramkan oleh lautan demokrasi. Begitu juga dengan kesudahan yang berlaku terhadap perjuangan Ikhwanul Muslimin yang mempunyai bahtera yang jauh lebih besar, namun sayangnya agenda Islam yang mereka bawa juga sudah hampir tenggelam dalam lautan demokrasi. Jika parti-parti Islam sebesar dan sehebat ini pun tidak dapat mengikut arus dan ombak yang membadai, inikan pula NGO dan tokoh agamawan yang hanya mempunyai sampan sebesar keranda, sudah pasti dengan mudah untuk dilemaskan dengan serta-merta. Oleh itu, walau apapun alasan dan niat murni yang mereka berikan, mereka harus sedar tentang realiti dan hakikat bahawa agenda Islam mereka pasti akan karam di lautan demokrasi sebelum sempat melihat tebing di seberang lautan. Justeru, NGO dan para tokoh agama tidak seharusnya terpedaya apatah lagi terjebak dengan sistem kufur yang bernama demokrasi kerana sinar harapan untuk Islam kembali mulia dan dimartabatkan tidak pernah wujud dalam sistem yang bernama demokrasi. Terlalu banyak iktibar yang berlaku di sekeliling kita untuk dijadikan panduan agar kesilapan lampau tidak diulangi.

 ”Seseorang mukmin itu tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama sebanyak dua kali”. (HR Bukhari dan Muslim)

“…Katakanlah, ‘Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’ Sebenarnya hanya orang yang berakal sihat yang dapat menerima pelajaran” [TMQ Az-Zumar (39) : 9]

Sumber:
Utusan Malaysia, 18/02/13
Utusan Malaysia, 16/02/13