Rasuah: Penerapan Syariah Sahajalah Penyelesaiannya

Perangi rasuah dalam politik

Wakil rakyat perlu ikhlas beri khidmat masyarakat

KUALA LUMPUR : Gaji lebih tinggi untuk wakil rakyat bukan jaminan rasuah tidak akan berlaku, sebaliknya budaya menghalalkan rasuah dalam politik pada peringkat akar umbi perlu dibendung jika mahu menghapuskan gejala itu.

Presiden Transparency International (TI) Malaysia , Datuk Paul Low, berkata amalan rasuah sudah sebati dengan politik di negara ini dan perlu ada keikhlasan serta kesungguhan semua pihak untuk menghapuskannya.

“Jika diamati budaya politik Malaysia , amalan rasuah bermula daripada bawah, iaitu ketika pertandingan jawatan pada peringkat cawangan, bahagian, negeri atau nasional. Jadi, seseorang itu sukar melepaskan amalan rasuah walau selepas dilantik menjadi menteri sekali pun.  “Kita perlu menerapkan nilai keikhlasan berkhidmat untuk rakyat di kalangan wakil rakyat kita, selain memupuk kesedaran supaya rakyat menghindari perbuatan meminta atau mengharapkan habuan untuk sokongan yang diberi,” katanya kepada Berita Harian.

Pada 11 November lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan mengesyorkan elaun wakil rakyat ditambah, termasuk menaikkan gaji menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat sebagai antara langkah mengekang rasuah dan salah guna kuasa.  Seorang Ahli Parlimen ketika ini diberi elaun bulanan RM6,508 selain berhak membuat tuntutan seperti mana dibenarkan mengikut Kertas Statut 235 bagi tahun 1983. Kenaikan elaun terakhir sebanyak RM591.69 dibuat pada 9 Jun 2005.   Setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pula diberi elaun bulanan RM3,000 iaitu kadar yang ditetapkan kerajaan negeri masing-masing.

Sekiranya Adun itu dilantik sebagai anggota Exco, beliau diberi elaun tambahan RM3,500 sebulan selain berhak mendapat RM1,000 sebagai elaun perumahan dan RM2,000 bagi elaun keraian.

Peruntukan RM1 juta setahun disediakan dalam bentuk dana pembangunan bagi ahli Parlimen dan Adun pula mendapat RM500,000 setahun.

Menteri pula menerima gaji sebanyak RM14,907 setahun manakala gaji Timbalan Menteri ialah RM10,847 sebulan.

Sumber: Berita Harian 28/11/09

Rasuah: Penerapan Syariah Sahajalah Penyelesaiannya

Gaji yang cukup besar bagi seorang ahli politik di negara ini nampaknya bukanlah jaminan yang mutlak terhindarnya amalan rasuah di kalangan ahli politik yang ada pada hari ini. Malahan yang paling mengejutkan, amalan rasuah ini dikatakan oleh Presiden Transparency International (TI) Malaysia , Datuk Paul Low, sebagai suatu yang telah sebati di kalangan ahli politik negara. Betapa hinanya ahli-ahli politik yang terlibat dengan rasuah ini – mereka sepatutnya bertanggungjawab mengurus urusan umat tetapi nampaknya mereka masih ada masa untuk melakukan pengkhianatan kepada rakyat dengan mengamalkan rasuah yang jijik ini. Jika diteliti dengan lebih mendalam, ada dua perkara mendasar yang menjadi penyebab utama semakin merebaknya amalan rasuah di kalangan ahli politik ini.

Pertama: Pemikiran ahli politik kita hari ini yang diselubungi dengan pemikiran sekular. Pemikiran inilah yang melahirkan ahli politik yang sanggup mengkhianati amanah rakyat dengan melakukan pelbagai bentuk amalan rasuah. Ini akan melahirkan rasa tamak dan rakus dalam merebut kekayaan dunia tanpa memperhitungkan soal halal mahupun haram. Dan yang paling mendasar adalah kerana tidak adanya rasa ketakwaan di dalam diri para pelaku rasuah ini. Kesedaran dan ketakwaan kepada Allah SWT merupakan benteng yang paling kokoh untuk seseorang individu tersebut dalam menghindar diri dari amalan yang haram itu. Ini adalah kerana ia akan menyedari bahawa setiap keharaman itu akan menjerumuskan dirinya kepada murka Allah SWT yang sudah pastinya akan mengantarkannya kepada neraka.

Kedua: Kerosakan sistem. Kerosakan sistem sekular demokrasi yang diterapkan hari ini memberikan banyak peluang bagi ahli politik dalam negara ini untuk terjebak dengan amalan rasuah. Undang-undang sekular yang ada pada hari ini telah terbukti gagal dan pasti akan gagal untuk menyelesaikan persoalan rasuah ini. Persoalan rasuah ini melibatkan kerosakan yang dilakukan oleh manusia dan ia perlu diubati dan dibaiki oleh penyelesaian dari Tuhan yang menciptakan manusia, bukan penyelesaian manusia yang lemah. Amat bodoh manusia yang menolak sistem kehidupan yang disediakan oleh Allah SWT dan sebaliknya menggantikannya dengan sistem ciptaan manusia.

Islam Memberantas Rasuah

Sistem pencegahan rasuah di dalam Islam dibangunkan dengan suatu sistem yang sangat sederhana dan efektif. Dalam wacana pembuktian ianya disebut dengan sistem pembuktian terbalik.  Sistem ini berjalan mengikut logik bahawa pegawai di dalam sistem Khilafah bertugas 24 jam melaksanakan amanah. Dia tidak layak untuk mendapat lebihan harta dari yang selayaknya dia miliki, walaupun dia memperolehinya secara halal. Apabila ada lebihan harta, dia mesti menjelaskan dari mana dia memperolehinya. Jika dia memperolehinya secara curang, maka harta itu wajib dikembalikan kepada negara.

Sistem pembenterasan rasuah dengan sistem pembuktian terbalik ini pernah dilakukan oleh Khalifah Umar bin Al Khattab ra. Ketika Abu Hurairah ra dilantik menjadi wali (gabenor), beliau menyimpan harta yang banyak dari sumber-sumber yang halal.  Mendapatkan informasi tentang hal itu, Amirul Mukminin, Khalifah Umar bin Al Khattab ra  telah memanggil Abu Hurairah ra ke Madinah. Sampai di Madinah, Khalifah Umar ra berkata kepada Abu Hurairah ra: ”Wahai musuh Allah dan musuh kitabNya!  Bukankah engkau telah mencuri harta Allah? ”

Abu Hurairah ra menjawab: ”Wahai Amirul Mukminin, aku bukan musuh Allah dan bukan pula musuh kitabNya.  Sebaliknya aku adalah musuh kepada sesiapa sahaja yang memusuhi kedua-duanya. Dan aku bukanlah orang yang mencuri harta  Allah”. Khalifah Umar ra bertanya kepadanya: ”Lalu dari mana engkau mengumpulkan harta sebanyak 10,000 dinar itu?”  Abu Hurairah ra menjawab: ”Dari untaku yang berkembang biak dan dari sejumlah pemberian yang berturut-turut datangnya”. Khalifah Umar ra berkata: ”Serahkan hartamu itu ke Baitul Mal kaum Muslimin”.  Abu Hurairah ra segera memberikannya kepada Khalifah Umar ra lalu mengangkat kedua tangannya ke langit sambil berkata: ”Ya Allah, ampunilah Amirul Mukminin”. 

Kisah di atas menjelaskan bahawa, pertama, harta negara dalam sistem Khilafah pada hakikatnya adalah harta Allah SWT yang diamanahkan kepada para pegawainya untuk menjaganya dan tidak boleh mengambilnya secara tidak haq.  Tindakan mengambil harta negara secara tidak haq adalah tindakan curang yang bagi pandangan Khalifah Umar ra diibaratkan sebagai mencuri harta Allah untuk lebih menegaskan keharamannya.

Kedua: Para pegawai yang mengambil harta negara secara tidak sah, maka bagi Khalifah Umar ra dianggap sebagai musuh Allah dan kitabNya.  Ini membawa maksud bahawa Khalifa Umar menganggap mereka ini tidak menghiraukan lagi larangan Allah SWT.

”Siapa saja yang berbuat curang, maka pada hari kiamat ia akan datang membawa apa yang dikhianatkannya itu”. [TMQ. Ali Imran(3): 161].

Ketiga: Khalifah sebagai ketua negara wajib menjaga pegawainya agar tidak ada yang melakukan tindakan curang dan rasuah.   Untuk menjaga hal ini, Khalifah Umar ra membuat peraturan bahawa sesiapa sahaja Gabenor (wali) yang diangkatnya, akan dihitung terlebih dahulu jumlah kekayaan peribadinya sebelum diangkat memegang jawatan tersebut.  Kemudiannya dihitung lagi ketika dia berhenti. Jika terdapat indikasi bahawa adanya jumlah tambahan harta yang tidak wajar berlaku, maka beliau akan menyita lebihan yang tidak wajar itu atau membagi dua, separuhnya diserahkan kepada Baitul Mal.

Wahai kaum Muslimin! Yakinlah bahawa dengan menukar sistem Kapitalisme kepada sistem Khilafahlah, dengan para pemimpin yang benar-benar bertakwa, merupakan satu-satunya jalan untuk menghapuskan dan memberhentikan amalan rasuah ini. Yang pastinya hancurkanlah sekular dan tegakkan Islam. Itulah satu-satunya jawaban kepada amalan jijik rasuah.