“Saya Anti Rasuah” atau “Saya nanti Rasuah”?

Dua anggota polis terima rasuah tutup kes rogol dipenjara

KUALA LUMPUR, 30 Mac – Dua pegawai polis dihukum penjara tiga tahun dan denda RM25,000 kerana sabit kesalahan menerima rasuah RM5,000 daripada seorang awam sebagai dorongan untuk tidak membuat laporan polis kes rogol lapan tahun lalu.  Erawan Said, 29, dan Mat Rawi Rudin, 52, kedua-duanya berpangkat Lans Koperal didapati bersalah di bawah Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dibacakan bersama Seksyen 107 Kanun Keseksaan.  Kes didengar di Mahkamah Sesyen Jenayah 4 Johor Baru, depan Hakim Mohd Haldar Abdul Aziz, kata kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.  Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan tersebut pada 1 Januari 2004 di Restoran Makanan Laut dan Tomyam di Kg. Melayu Pandan, Johor Bahru kira-kira pukul 6.05 petang.  Erawan yang diwakili peguam Lokman Yacob dan Mat Rawi diwakili Mohd Faridz Mohd Dahlan telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut, dan mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman.  Jumlah jaminan mahkamah juga telah ditambah daripada RM3,500 kepada RM10,000 setiap seorang.  Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorfazlin Hamdan.

Sumber: The Malaysian Insider 30/03/11

Apakah Slogan “ Saya Anti Rasuah” Sudah Bertukar Kepada “ Saya Nanti Rasuah”?

Apakah slogan polis,  “Saya Anti Rasuah” telah bertukar kepada “ Saya Nanti Rasuah”? Ini adalah sesuatu yang tidak mustahil kerana dalam sistem kapitalisme saat ini, terlampau banyak faktor yang boleh menyumbang kepada perkara seumpama ini. Kata pepatah yang mengatakan “harapkan pagar, pagar makan padi” kadang-kadang ada benarnya. Mengikut tinjauan yang dilakukan oleh Transparency International Global Corruption (GCB) 2010, polis dilihat sebagai institusi paling korup dengan nisbah 4.1/5.0 diikuti parti politik (4.0/5.0) dan Ahli Parlimen (3.4/5.0). [Rasuah: PDRM ada mekanisme tersendiri pantau anggota : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_20.htm] . Apa yang lebih malang lagi adalah pelaku kesalahan rasuah itu adalah terdiri dari orang Islam. Di mana perginya jati diri mereka sebagai seorang Muslim? Apakah sebagai seorang Muslim mereka ini tidak memahami sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud:

“ Penerima dan pemberi rasuah  akan ditempat dalam api neraka”. Daripada Abu Hurairah RA. ia telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukum- menghukum”. Firman Allah SWT: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya”. [TMQ al-Baqarah  (2) : 188]. Nampaknya kerosakan yang dibawa oleh sistem kapitalisme yang diterapkan oleh pemerintah sekular hari ini telah membarah dan meliputi seluruh akar sehinggalah ke daun-daunnya. Sudah tiba masanya sistem yang rosak ini ditukar kepada sistem Islam. Sudah saatnya Khilafah berdiri.