Lihatlah Betapa Celarunya Pemikiran Para Politikus Sekularisme
KUALA LUMPUR — Marah dan kesal dengan begitu banyak kes buang bayi di negara ini, seorang senator hari ini menyarankan agar bapa kepada bayi yang berkenaan dikenakan hukuman ‘kasi’. Senator Ahmad Hussin berkata hukuman itu adalah wajar untuk ‘mengajar’ golongan lelaki yang terbabit agar lebih bertanggungjawab.
“Sekarang kita lihat dalam kes ini (buang bayi) bapa dah ghaib. Saya cadang kita ‘kasi’ bapa-bapa ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, di Dewan Negara di sini hari ini.
Dalam jawapannya, Shahrizat berkata cadangan itu perlu dikaji terlebih dahulu memandangkan bukan semua bapa mengabaikan tanggungjawab mereka. Sebaliknya kata beliau, gejala buang bayi boleh dielakkan jika anggota keluarga lebih bertanggungjawab dalam mendidik dan memberi kasih sayang kepada anak-anak.
Ini kerana katanya, gejala buang bayi dilihat berpunca daripada keruntuhan institusi kekeluargaan apabila tanggungjawab mendidik dan memberi kasih sayang kepada anak-anak diserahkan kepada pihak lain.
“Kita lihat sekarang tugas dan tanggungjawab oleh anggota keluarga semakin terhakis.”Ibu, bapa, nenek, atuk semuanya kelihatan sibuk dan dah jadi masyarakat yang individualistik. Kita lahirkan anak lepas tu kita francaiskan pada masyarakat untuk mendidik dan beri kasih sayang,” katanya.
Terdahulu menjawab soalan Senator Datuk Seri Empiang Jabu, Shahrizat berkata antara langkah yang dilaksanakan bagi mengekang gejala itu ialah menyediakan khidmat kaunseling dan bimbingan kepada mereka yang terdedah terhadap bahaya moral.
“Selain itu kita juga mewujudkan Pusat Remaja kafe@TEEN bagi membantu remaja mengatasi masalah fizikal, mental dan sosial remaja,” katanya.
Sumber : Sinar Harian, 30/04/2010
Lihatlah Betapa Celarunya Pemikiran Para Politikus Sekularisme
Apakah pandangan yang jelas emosi ini wajar dipandang secara serius? Begitu rendah sekali pemikiran seorang yang bergelar senator ini yang nampaknya cuba mencipta kelainan ketika mengutarakan cadangan dalam usaha mengatasi masalah masyarakat hari ini. Apakah wajar masalah pembuangan bayi itu diselesaikan dengan hukuman ”kasi”? Hakikatnya, masalah ini tidak akan dapat diselesaikan secara tuntas selagi individu, masyarakat dan negara tidak kembali kepada penyelesaian menyeluruh yang diberikan oleh Islam. Apakah jawaban Islam kepada seluruh masalah manusia saat ini? Tidak ada jalan untuk keluar dari seluruh masalah ini melainkan dengan menerapkan dan mengembalikan semula Islam sebagai suatu mabda’(ideologi) dalam kehidupan umat manusia secara kaffah.
Wahai para politikus sekular yang duduk di kerusi-kerusi empuk Parlimen! Manusia sehebat manapun tidak akan mampu menyelesaikan masalah dirinya sendiri secara tuntas melainkan jika ia kembali kepada penyelesaian menyeluruh yang telah diberikan oleh Penciptanya, Allah SWT.
Firman Allah SWT:
”Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat. Walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya; Dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya)”. [TMQ Al Hajj (22) : 73].
FirmanNya lagi:
”Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”. [TMQ Al Ahzab (33) : 72].
Firman Allah SWT:
”Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); Padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan”. [TMQ Al ‘Ankabuut (29) : 41].