Betulkah kerajaan tidak ada pilihan?

Defisit bajet melonjak jika harga petrol Kekal

DEFISIT bajet kerajaan akan meningkat sehingga sekali ganda kepada lebih enam peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun ini jika ia mengekalkan harga runcit petrol dan diesel pada parasnya sebelum ini.

Menteri Kewangan kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata ini bermakna jumlah hutang kerajaan akan meningkat dan ia akan menyukarkan lagi pengurusan ekonomi negara, terutama dalam menghadapi kemungkinan berlakunya kelembapan ekonomi dunia.

Beliau menegaskan, kerajaan juga akan dituduh tidak bertanggungjawab kerana beban hutang itu akan ditanggung generasi akan datang.

“Dalam berdepan masalah harga minyak dunia yang tinggi ketika ini, kerajaan mempunyai dua pilihan, iaitu menjadi popular dengan terus mengekalkan harga runcit minyak, tetapi membuat pinjaman besar atau mengambil pendekatan tidak popular, tetapi bertanggungjawab dengan menaikkan harga.

“Dalam hal ini kita memilih untuk menjadi kerajaan yang bertanggungjawab, walaupun ia tidak popular,” katanya pada taklimat media di Putrajaya, semalam.

Dalam pembentangan Bajet 2008 pada Ogos tahun lalu, kerajaan memperuntukkan bajet RM168.799 bilion, yang mana RM39.227 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, sementara bakinya untuk perbelanjaan pengurusan termasuk pemberian subsidi.

Hasil kerajaan tahun ini pula diunjurkan RM147.093 bilion. Ia bermakna defisit bajet keseluruhan kerajaan tahun ini adalah RM20.933 bilion atau bersamaan 3.1 peratus daripada nilai KDNK negara.

Bagaimanapun, unjuran defisit itu berdasarkan anggaran perbelanjaan subsidi minyak RM8.8 bilion, yang dikira ketika harga minyak mentah dunia pada paras AS$70 setong.

Jika berdasarkan kepada harga minyak mentah dunia AS$125 setong, sekiranya kerajaan mahu mengekalkan harga runcit petrol dan diesel pada paras sebelum ini, iaitu masing-masing RM1.92 dan RM1.58, subsidi perlu ditanggung kerajaan tahun ini meningkat kepada RM28 bilion.

Berdasarkan kepada harga minyak mentah AS$128 setong pula, jumlahnya ialah RM33 bilion.

“Justeru, jika kerajaan tidak melakukan sesuatu, defisit bajet kerajaan akan meningkat kepada lebih enam peratus, lebih tinggi daripada 5.5 peratus ketika kemuncak krisis ekonomi pada 1997.

“Angka ini tidak boleh diterima kerana kita sekarang bukan berdepan dengan masalah kelembapan ekonomi seperti ketika krisis ekonomi dulu,” tegas Nor Mohamed.

Defisit dalam bajet dibiayai kerajaan menerusi hutang. Justeru, lebih besar kadarnya, maka lebih banyak hutang yang perlu diambil kerajaan.

Nor Mohamed menjelaskan, defisit yang tinggi adalah tidak baik untuk negara kerana ia menjejaskan penarafan Malaysia, sekali gus menyebabkan kos meminjam kerajaan dan sektor swasta tempatan meningkat.

“Kos meminjam yang tinggi akan menjejaskan keanjalan kerajaan menguruskan ekonomi kerana jika negara dilanda kelembapan ekonomi, kerajaan tidak mampu untuk melaksanakan pakej rangsangan,” katanya sambil menegaskan, kelembapan ekonomi yang dialami dunia ketika ini adalah benar-benar berlaku dan Malaysia perlu mempersiapkan diri untuk menghadapinya.

Mengenai sasaran defisit bajet bagi tahun ini selepas pengurangan subsidi minyak, beliau berkata, kerajaan akan mengumumkan angka yang realistik pada pembentangan Bajet 2009 Ogos ini.

Pada taklimat media itu, Nor Mohamed turut menjelaskan mengapa kerajaan tidak sepatutnya menggunakan semua keuntungan Petronas untuk subsidi minyak.

Beliau menjelaskan, Petronas adalah aset negara dan sumber minyak dan gas terhad yang diuruskannya perlu digunakan secekap mungkin, bukan saja untuk manfaat generasi sekarang, tetapi juga generasi akan datang.

“Jika kita menggunakan semua yang ada sekarang, apa akan jadi kepada anak dan cucu cicit kita pada masa depan.

“Petronas perlu melabur untuk memastikan ia boleh terus menjana pendapatan, seterusnya menyumbang kepada hasil kerajaan.

“Kerajaan perlu menggunakan sebahagian hasil diraihnya daripada Petronas untuk terus membangunkan negara dan melabur dalam sektor yang boleh menjana pendapatan bagi memastikan apabila sumber minyak negara habis nanti, kita masih ada pendapatan,” katanya.

Petronas tahun lalu meraih keuntungan sebelum cukai, royalti dan duti eksport RM86.8 bilion.

Daripada jumlah itu, RM52.3 bilion diserahkan kepada kerajaan dalam bentuk dividen, royalti dan duti eksport, RM7.8 bilion adalah bayaran cukai asing dan kepentingan minoriti, manakala bakinya sebanyak RM26.7 bilion dilaburkan semula.

Sejumlah RM52.3 bilion yang diserahkan semula kepada kerajaan itu bersamaan dengan 35 peratus daripada jumlah hasil kerajaan tahun lalu sebanyak RM141.09 bilion.

Sumber: Berita Harian  12/06/08
 
Ulasan:
 
Segala hasil daripada sumber  minyak dan hasil sampingannya seperti gas asli adalah untuk rakyat kerana ia adalah milik umum dan bukannya untuk dijadikan sebagai sebahagian daripada pendapatan negara. Minyak yang sepatutnya menjadikan kehidupan rakyat makmur kini telah menjadi punca kepada kesengsaraan rakyat. Walaupun bayaran rebat sebanyak RM625 dan RM150 setahun mungkin dapat meredakan sedikit kesusahan sebahagian dari pengguna kenderaan, tetapi bagaimana pula mereka hendak menghadapi kenaikan harga komponen kenderaan seperti tayar, alat ganti dsb, ini belum masuk lagi kenaikan barangan runcit yang lain?
 
Alasan bahawa kerajaan akan menghadapi defisit bajet adalah disebabkan kerajaan menjadikan hasil minyak sebagai sumber pendapatan negara. Padahal, minyak bukan dimiliki oleh negara, tetapi ia adalah milik umat dan kekayaan daripadanya mesti dikembalikan kepada rakyat. Hanya kerajaan Kapitalis sebagai sebuah kerajaan penghisap darah rakyat sahaja yang menjadikan minyak sebagai sumber pendapatan untuk mentadbir negara. Dalam sebuah negara Islam (al-Khilafah), minyak adalah untuk dikongsi oleh setiap anggota masyarakat, kerana ini adalah hak mereka.

Kerajaan selalunya mengatakan mereka tiada pilihan, adakah ini benar? Ya benar, ini adalah satu pembohongan kerajaan Kapitalis! Siapakah yang memerintahkan mereka untuk menerapkan sistem ekonomi Kapitalis, walhal Allah memerintahkan mereka untuk menerapkan sistem Islam. Siapakah yang tidak memberi pilihan kepada mereka sehingga mereka tiada pilihan? Walhal mereka boleh memilih untuk membuang sistem Kapitalis ini dan menggantikannya dengan sistem Islam.

Di dalam Islam, kos pengurusan negara sebenarnya mesti ditampung daripada sumber lain dan bukan daripada kekayaan milik rakyat. Syariat Islam telah menetapkan bentuk pendapatan negara dan antaranya datang  daripada anfal, ghanimah, fai dan khumus, kharaj, jizyah, harta milik negara yang berupa tanah dan bangunan, harta usyur, harta tidak sah daripada para penguasa dan pegawai negara berupa harta hasil kerja yang tidak diizinkan oleh syara’, serta harta yang diperolehi dari hasil penyelewengan dsb. Pendapatan sedemikian sudah tentu tidak akan diperolehi kerajaan sekarang melainkan setelah syariat Islam diterapkan secara kaffah.

Justeru, pilihan sentiasa terbuka kepada pemerintah untuk menerapkan hukum Allah atau hukum Kapitalis, dan pilihan juga sentiasa terbuka kepada mereka untuk memilih jalan ke syurga (dengan menerapkan hukum Allah) atau jalan ke neraka (dengan menerapkan hukum kufur Kapitalis). Pemerintah sepatutnya sedar yang mereka masih mempunyai pilihan semasa nyawa mereka masih ada di badan. Apabila mereka berada di padang mahsyar nanti, maka di sinilah tempat yang mereka benar-benar tidak ada lagi pilihan. Hanya Allah sahajalah yang akan ‘memilih’ mereka sama ada untuk dimasukkan ke syurgaNya atu dihumbankan ke nerakaNya.