Minyak naik jenayah pun akan terus naik

APMM patahkan cubaan seleweng 19,000 liter diesel subsidi

SANDAKAN 12 Jun — Cubaan lima kapal nelayan untuk menyeleweng 19,000 liter diesel bersubsidi berjaya dipatahkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam satu serbuan di sebuah jeti di Sungai Siguntur di sini hari ini.

Serbuan dilakukan kira-kira pukul 1 pagi, ketika kapal nelayan tersebut sedang mengepam diesel bersubsidi itu ke sebuah lori minyak yang dipercayai untuk kegunaan industri.

Pegawai Memerintah KM Labas Left Komander Mohamad Faaiz Mohd Noor berkata lima juragan bersama tujuh krew kapal itu dan pemandu lori minyak yang kesemua mereka berusia di antara 15 hingga 53 tahun ditahan dalam serbuan itu.

Tangki minyak kapal nelayan terbabit didapati telah diubah suai bagi membolehkan ia diisi dengan kapasiti minyak yang lebih banyak dan diesel turut disembunyikan dalam bekas yang dikhususkan untuk menyimpan ikan, katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati diesel bersubsidi itu diperolehi dari Jabatan Perikanan melalui pusat pengepaman minyak kapal nelayan di Jalan Sim-Sim berhampiran Bandar Sandakan.

Katanya empat daripada kapal nelayan itu berdaftar di Sandakan, manakala sebuah lagi berdaftar di Lahad Datu.

Mohamad Faaiz berkata dua daripada kapal nelayan itu pernah ditahan sebelum ini kerana terlibat dalam kegiatan sama dan beroperasi semula dengan menggunakan nombor pendaftaran yang baru.

Menurutnya tiga daripada krew kapal tersebut juga didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata seperti agensi penguatkuasaan yang lain, APMM akan meningkatkan operasi membanteras kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi itu berikutan kenaikan harga diesel dan petrol bermula Khamis lepas.
— BERNAMA

Sumber: Utusan Malaysia 12/06/08

Ulasan:

Adalah satu perkara biasa apabila harga barangan naik, maka penjualan pasar gelap (black market) akan berlaku. Inilah hakikat hidup di dalam sistem Kapitalis hari ini. Justeru, jika ada cubaan untuk menyeleweng minyak di kala harga minyak tengah melambung tinggi sekarang adalah suatu yang lumrah dan boleh dijangkakan.

Ini adalah antara dampak buruk dari naiknya harga bahan bakar ini. Sudahlah rakyat terbeban dengan jumlah kenaikan yang melampau, kini terpaksa berhadapan pula dengan pihak berkuasa apabila mereka cuba mencari alternatif untuk mendapatkan harga minyak yang lebih rendah.  

Baik pihak kerajaan atau pihak polis mahupun pihak berkuasa lainnya, mereka tentunya akan berhadapan dengan kenaikan “kadar jenayah” seiring dengan kenaikan harga minyak ini. Namun, sebagai pemerintah yang sering menzalimi rakyat dan hanya memerintah untuk kepentingan sendiri, mereka tentunya tidak peduli tinggi mana sekalipun kadar jenayah, asalkan perut mereka boleh disumbat sebanyak-banyaknya setiap hari.